PENGERUSI HKTB Peter Lam (empat dari kiri) pada pelancaran Hong Kong Live in Kuala Lumpur, semalam.
PENGERUSI HKTB Peter Lam (empat dari kiri) pada pelancaran Hong Kong Live in Kuala Lumpur, semalam.
Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Lembaga Pelancongan Hong Kong (HKTB) yakin kemasukan pelancong Malaysia ke Hong Kong khususnya komuniti Muslim akan meningkat tahun depan.

Pengarah Serantau Asia Tenggara HKTB Simon Wong berkata, jumlah pelancong dari Malaysia ke negara Kota Dunia Asia ialah 500,000 tahun lalu dan ia dijangka meningkat hujung tahun ini.

Beliau berkata, sebagai usaha meningkatkan jumlah pelancong Muslim, HKTB memperkukuhkan fasiliti seperti ruang solat dan surau serta pilihan restoran makanan halal.

“Ketika ini Hong Kong mempunyai lebih 60 restoran yang mempunyai pensijilan halal berbanding 30 restoran dua tahun lalu dan ia menawarkan pilihan citarasa tempatan.

“Pelancong Muslim juga kini boleh bercuti di Hong Kong dengan yakin kerana pelbagai pilihan restoran bersijil halal serta kemudahan masjid dan madrasah untuk menunaikan ibadat.

“Malah, HKTB turut memperkenalkan buku panduan untuk pelancong Muslim Warna-Warni Hong Kong agar perjalanan ke kota itu dapat dirancang dengan mudah,” katanya pada pelancaran Hong Kong Live in Kuala Lumpur di sini, semalam.

Pesta pelancongan Hong Kong Live in Kuala Lumpur yang diadakan di Suria KLCC pada 7 hingga 12 November ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia mengetahui cara menerokai Hong Kong seperti masyarakat tempatan.

Hong Kong mempunyai kepelbagaian tarikan dan destinasi hebat seperti Big Bus Tours Hong Kong, Dukling, Hong Kong Disneyland, Madame Tussauds Hong Kong, Ngong Ping 360, Ocean Park Hong Kong, Peak Tramways dan sky100 Hong Kong Observation Deck.

Simon berkata, Hong Kong adalah negara bukan Islam kelima yang menawarkan pengalaman pelancongan mesra Muslim terbaik di dunia, sekali gus memberikan gambaran terbaik kepada bakal pelancong ke negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 6:34 PM