ANTARA peserta antarabangsa yang menyertai MMTF kali ke lima.
ANTARA peserta antarabangsa yang menyertai MMTF kali ke lima.
LALUAN Bukit Larut mempunyai cabaran tersendiri.
LALUAN Bukit Larut mempunyai cabaran tersendiri.
Hafiz Ithnin


CUACA panas ketika memulakan perlumbaan pada jam 10 pagi 'menyambut' kehadiran pelumba denai ultra dalam kategori 50 kilometer (km) yang turut disertai penulis.

Ternyata acara larian denai ultra antara yang terkenal dan terbesar di Malaysia ini ibarat perayaan bagi peminat acara perlumbaan ini kerana ia menyajikan cabaran yang tersendiri. Bukan sekadar laluan bahkan, cuaca yang tidak menentu.

Bagi peminat larian denai ultra tempatan dan antarabangsa, acara perlumbaan The North face Malaysia Mountain Trail Festival (MMTF) sememangnya tidak asing lagi kerana ia ibarat perayaan perlumbaan.

Acara itu yang baru sahaja berlangsung pada 24 hingga 27 November lalu menawarkan lima kategori iaitu Vertical KM, 100km, 50km, 25km dan 13km.

Sehari sebelum acara perlumbaan kesemua kategori berlangsung iaitu hari pengambilan kit perlumbaan, aura kemeriahan MMTF edisi kelima itu cukup terasa kerana ia berjaya menarik kehadiran 1,600 pelumba tempatan dan luar negara.

Pengarah Perlumbaan MMTF, Muhamad Azim Tan berkata, MMTF pada tahun ini merekodkan 2,400 pendaftaran dan hanya 1,600 pelumba sahaja yang menyertai semua kategori itu pada tahun ini memandangkan terdapat penundaan tarikh di saat akhir kerana pengumuman Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

"Namun, bagi mereka yang tidak dapat menyertai perlumbaan pada tahun ini, boleh menundanya untuk acara yang bakal dilangsungkan pada tahun depan.

"Sememangnya, sebelum acara MMTF kali ini berlangsung terdapat pelbagai cabaran pada pihak kami. Namun, dengan jumlah pendaftaran yang tinggi itu menunjukkan acara ini sememangnya ditunggu-tunggu pelari denai bukan sahaja tempatan malah luar negara," katanya yang turut merekodkan kehadiran pelumba dari 31 negara asing.

PESERTA berehat di check point sebelum meneruskan perlumbaan di laluan Bukit Larut.
PESERTA berehat di check point sebelum meneruskan perlumbaan di laluan Bukit Larut.

Kehadiran jumlah peminat larian denai itu ternyata memberi kesan positif kepada Taiping, Perak yang sememangnya terkenal sebagai salah satu bandar pelancongan tempatan.

Bersandarkan pengalaman penulis yang menyertai larian itu, menamatkan perlumbaan dalam tempoh sebelum 17 jam bukan sesuatu yang mudah.

Bagi kategori 50km terdapat lima laluan aras tinggi yang perlu ditempuhi peserta dengan aras ketinggian terkumpul 2,950 meter (m). Paling mencabar pastinya ketika melalui laluan pendakian ke Bukit Larut setinggi 1,250m.

Permulaan perlumbaan pada sebelahpagi yang dilihat begitu selesa sebenarnya tidak berpanjangan kerana sebaik sahaja menjengah jam 12 tengahari melalui kawasan lapang yang berbukit rasa bahang menjadi cabaran kepada pelumba.

Meskipun 70 peratus laluan perlumbaan adalah laluan denai, tetapi melalui beberapa kawasan lapang di aras tinggi agak terbuka bukan sesuatu yang mudah untuk menahan rasa hangat ketika perlumbaan. Apatah lagi setiap peserta mengejar masa untuk tiba di 'check point' (titik pemeriksaan) yang mempunyai 'sub cut of time.'

MMTF menjadi ‘buruan’ peminat larian denai tempatan dan antarabangsa.
MMTF menjadi ‘buruan’ peminat larian denai tempatan dan antarabangsa.

Mujur pihak penganjur sentiasa bersiap siaga dengan menyediakan pelbagai keperluan kepada pelumba di setiap check point dari segi makanan, minuman dan bantuan kecemasan bagi mengelakkan pelumba mengalami risiko strok haba.

Cuaca panas yang dijangka menjadi cabaran perlumbaan pada hari itu sebenarnya bukan menjadi noktah tetapi sebaik sahaja memasuki sekitar jam 5 petang, hujan lebat pula menjadi rintangan besar dalam perlumbaan.

Ketika hujan lebat, penulis sudah berada dalam laluan pendakian ke Bukit Larut yang perlu tiba ke check point ke empat dalam tempoh lima jam sejauh 10km.

Laluan berlumpur sepanjang pendakian 'menegak' ke puncak Bukit Larut sememangnya mencabar ketika hujan memandangkan laluan denainya menjadi lumpur, sekali gus menjadi laluan licin yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal untuk tiba dalam tempoh yang ditetapkan.

Meskipun, MMTF adalah satu perlumbaan, manisnya dalam kalangan pelumba semangat saling membantu untuk mendaki ketika melalui laluan mencanak dan licin itu jelas kelihatan.

PESERTA merakam memori di lokasi check point.
PESERTA merakam memori di lokasi check point.

Dalam perjalanan pendakian itu, peserta mendapat khabar bahawa perlumbaan terpaksa dibatalkan kerana cuaca buruk tetapi bagi mereka yang sudah mendaki Bukit Larut masih boleh meneruskan perlumbaan dan layak mendapat status penamat jika tiba dalam tempoh masa penamat keseluruhan iaitu 17 jam.

Rasa lega mendapat khabar boleh meneruskan perlumbaan kerana menempuhi laluan denai di Bukit Larut pada sebelah malam bukan sesuatu perkara yang mudah.

Bagi penulis, MMTF sememangnya salah satu acara sukan pelancongan lasak terbaik di Malaysia kerana ia bukan sahaja memberi cabaran kepada pelari denai tempatan dan luar negara menikmati identiti laluan denai tempatan, hutan hujan tropika malah menyemarakkan lagi pelancongan di Taiping.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 6:10 AM