PESERTA dapat melalui kawasan pekerja ladang yang cukup mencabar.
PESERTA dapat melalui kawasan pekerja ladang yang cukup mencabar.
Hafiz Ithnin


Meskipun nama lokasi tanah tinggi ini cukup masyhur dalam kalangan pelancong di dalam dan luar negara, namun sebenarnya masih tersembunyi 'si kesuma' di dalamnya.

Ini yang terdetik di hati penulis tatkala beraksi dalam perlumbaan larian ultra denai terkemuka Malaysia, Cameron Ultra 2024 (Cultra) di Cameron Highlands, Pahang, baru-baru ini.

Selama hampir 30 jam penulis beraksi bagi menamatkan perlumbaan 100 kilometer (km) dalam tempoh 30 jam yang berakhir hampa pada kilometer 92 sebenarnya tidak secara total merasai 'kesakitan' kegagalan itu, namun masih merasa bertuah kerana dapat menikmati pelbagai permata pelancongan yang tersembunyi di tanah tinggi itu.

Mana tidaknya, jika bukan kerana menyertai acara itu, mungkin penulis yang sudah beberapa kali ke Cameron Highlands tidak dapat menikmati keindahan panorama yang tersembunyi di sana.

Bagi penulis nama seperti Gunung Irau, Brinchang dan Berembun sudah biasa di dengar. Namun, nama Gunung Brinchang Barat berketinggian 2,005 meter dari aras laut baru kali pertama didengari.

 LALUAN ‘eksklusif’ untuk peserta yang menjadi pelancong sukan.
LALUAN ‘eksklusif’ untuk peserta yang menjadi pelancong sukan.

Gunung Brinchang Barat sebenarnya dikatakan antara gunung tertinggi di kawasan pelancongan tanah tinggi be

rkenaan. Ia mempunyai keindahan tersendiri kerana diliputi 'hutan lumut' yang unik.

Malah, penulis difahamkan Gunung Brinchang Barat antara lokasi pendakian yang meningkat naik namanya dalam kalangan mereka yang gemarkan aktiviti pendakian. Ia mula dikenali sekitar 2020 disebabkan keunikan hutan lumutnya.

Ketika melalui trek pendakian itu, penulis dapat merasakan suasana nyaman kerana ia terletak di kawasan tanah tinggi dan laluan denainya juga boleh dikatakan mencabar kerana agak lembap dan berlumpur. Namun, keindahan ketika berada di dalamnya tidak boleh disangkal lagi.

Difahamkan juga di Cameron Highlands ada 28 lokasi pendakian gunung sahaja dan jika termasuk bukit dengan hampir 35 puncak yang boleh diterokai pengunjung. Namun, ada beberapa lokasi pendakian yang tidak dibuka kepada pengunjung atas beberapa faktor.

PANORAMA waktu pagi di ladang teh yang cukup mendamaikan.
PANORAMA waktu pagi di ladang teh yang cukup mendamaikan.

Selain gunung berkenaan, penulis juga melalui Gunung Jasar (1,696 meter dari aras laut) yang sebenarnya mudah untuk ditawan oleh pendaki yang baharu sahaja ingin berjinak-jinak dengan dunia pendakian kerana ia tidak mengambil masa lama untuk menawannya. Perkara ini kerana laluan denainya tidak begitu panjang dan hanya mengambil masa hanya sekitar satu jam setengah, tetapi masih mempunyai cabaran tersendiri.

Tidak hanya melalui kawasan pergunungan dan bukit yang mencabar, penulis juga dapat menikmati keindahan beberapa air terjun yang terkenal di Cameron Highlands iaitu Air Terjun Robinson yang terletak di Tanah Rata.

Air Terjun Robinson ini adalah lokasi laluan denai bagi pengunjung yang gemarkan aktiviti ekopelancongan. Menariknya, laluan itu menghubungkan antara pekan Tanah Rata dan Habu Ringlet.

Selain itu, peserta larian juga dapat melalui salah satu lagi air terjun yang menarik iaitu Parit Falls yang terletak dalam Taman Eko Rimba Parit Falls. Di lokasi ini ada jambatan yang berada di atas laluan air terjun.

 HUTAN lumut di Gunung Brinchang Barat pada waktu malam.
HUTAN lumut di Gunung Brinchang Barat pada waktu malam.

Pada hemat penulis, ia satu lokasi ekopelancongan menarik untuk diterokai bagi mereka yang gemar menerokai kawasan air terjun kerana di sekitarnya masih hijau dan menjanjikan suasana ketenangan.

Jika bercerita mengenai Cameron Highlands, pasti tidak ketinggalan untuk menyingkap produk pelancongan paling terkenalnya iaitu ladang teh. Sebenarnya, bagi mereka yang menyertai acara larian denai ultra ini, kami berpeluang melalui pelbagai lokasi unik dan menarik di sekitar ladang teh milik Syarikat BOH.

Bagi pengunjung atau pelancong biasa mungkin hanya di beberapa lokasi yang dibenarkan melaluinya, tetapi bagi peserta larian ini, kami dapat melalui pelbagai laluan ladang teh yang eksklusif diberikan kepada peserta untuk menikmati keindahannya.

Sehingga kini, penulis tidak dapat melupakan perasaan tenang dan nyaman ketika melalui beberapa laluan ladang teh itu yang sebenarnya tidak dibuka kepada orang ramai.

Apatah lagi, dapat melihat dengan dekat pekerja ladang pada waktu awal pagi bersiap sedia melakukan pelbagai tugasan di ladang. Meskipun penat melalui ladang teh yang mempunyai pelbagai bentuk muka bumi, tetapi panorama memukau berkenaan menjadi pengubat ketenangan seketika.

Pada hemat penulis, acara ini sebenarnya bukan bersifat perlumbaan semata-mata kerana memperkenalkan destinasi pelancongan sukan dalam kalangan rakyat tempatan dan antarabangsa.

AIR Terjun Robinson antara lokasi terkenal dan ditawarkan kepada pelancong sukan.
AIR Terjun Robinson antara lokasi terkenal dan ditawarkan kepada pelancong sukan.

Ia juga terbukti tatkala penulis bertanya kepada rakan pelari dari luar negara mengapa mereka sanggup ke Cameron Highlands semata-semata menyertai acara itu, kebanyakan mereka menjelaskan mengenai keunikan dunia tropika asli yang ada di kawasan tanah tinggi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 7:00 AM