Hafiz Ithnin

"Pernah diceritakan telefon itu berdering sendiri. Walaupun sudah tidak mempunyai wayar," kata seorang rakan media tempatan kepada penulis.

Mungkin apa yang dimaklumkan beliau kepada penulis itu ada betulnya atau hanya kisah-kisah misteri yang disampaikan dari mulut ke mulut mengenai rumah agam dua tingkat itu.

Kediaman itu mempunyai sejarah tersendiri sehingga dijadikan salah satu elemen wajib dikunjungi dalam Laluan Warisan Sandakan di Sabah.

Kunjungan 12 deligasi media dari Kuala Lumpur dan Sabah yang dianjurkan Tourism Malaysia Sabah baru-baru ini untuk menerokai laluan warisan itu sememangnya menarik perhatian penulis yang kali pertama ke sana.

Ini kerana terdapat 11 tapak warisan yang wajib untuk dikunjungi salah satunya adalah rumah agam berkenaan yang dinamakan sebagai Agnes Keith House.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam kediaman yang cukup besar itu, menjadi tanda tanya kepada penulis mengapa kediaman Agnes itu begitu rapat dengan sejarah Sabah?

AGNES House kediaman bersejarah.
AGNES House kediaman bersejarah.

Menurut pemandu pelancong, Abdul Saat Walli, Agnes Keith Newton pernah mendiami kediaman itu dan beliau seorang penulis buku dari Amerika Syarikat yang tiba di Sandakan pada 1934 kerana mengikuti suaminya, Harry Keith.

"Agnes menulis tiga buku yang salah satunya paling terkenal iaitu buku berjudul Land Below The Wind pada 1939 yang menceritakan mengenai kehidupan masyarakat tempatan Sabah dan alam semula jadinya.

"Buku ini cukup popular dan kualiti penulisan Agnes mengenai buku turut mengalahkan 600 buku lain dalam pertandingan kategori buku bukan fiksyen anjuran Atlantic Monthly," katanya.

Tambahnya, hasil sentuhan magis Agnes di dalam penulisannya itu menjadikan antara sebab Sabah begitu terkenal di seluruh dunia.

"Malah, gelaran Negeri Di Bawah Bayu yang sinonim dengan Sabah adalah inspirasi daripada karya wanita itu sehingga beliau boleh dianggap sebagai duta negeri ini terutama membabitkan Sandakan," katanya.

RUANG tamu yang cukup luas.
RUANG tamu yang cukup luas.

Mengenai sejarah kediaman itu, Abdul Saat berkata, Agnes House sebenarnya salah satu rumah milik kerajaan dan beliau difahamkan suami Agnes adalah seorang konservator hutan yang pertama di Sabah.

"Jadi kediaman ini sudah didirikan sebelum 1934 lagi," katanya.

Di dalam kediaman itu bukan sahaja terdapat barangan kelengkapan rumah lama, malah mesin taip, senjata dan termasuk telefon yang dikatakan pernah berdering walaupun tidak mempunyai wayar.

Hasil pencarian penulis mengenai Agnes House terdapat pelbagai kisah yang menarik mengenainya terutama membabitkan 'dark tourism.'

Hal ini pernah dikongsikan laporan rakan setugas, Rodly Fadly (26 Mei 2017) memandangkan kediaman itu bukan sahaja mempunyai artifak sejarah terutama barangan peribadi Agnes yang masih disimpan rapi tetapi terdapat kisah misteri yang pernah ditulis Agnes sendiri.

ABDUL Saad menunjukkan pedang yang disimpan rapi di dalam Agnes House.
ABDUL Saad menunjukkan pedang yang disimpan rapi di dalam Agnes House.

Agnes pernah menulis, beliau tidak percaya kepada hantu tetapi setiap hari dia melihat seorang wanita tinggi lampai mengucapkan selamat tinggal kepada suaminya, mengambil bayinya dan turun ke jalan seorang diri. Berdiri di hujung jalan dan menoleh ke belakang.

Tidak sekadar itu, kisah seram turut dialami seorang lagi penghuni, Rosemary, isteri kepada G L Carson yang menetap di rumah agam berkenaan selama 12 tahun antara 1955 hingga 1967.

Menurut Rosemary, dia terbangun pada waktu Subuh dan terdengar pintu di bilik hujung rumah ditutup beberapa kali, diikuti bunyi orang berjalan menuju ke biliknya.

Apabila dia membuka mata, Rosemary mendapati satu lembaga wanita berdiri di hujung katil sambil memerhati ke arahnya. Dia tidak mengetahui apa yang berlaku kerana selepas itu dia pengsan.

Manakala, seorang pembantu rumah yang bekerja ketika Tom Bayles tinggal di situ pada 1967 hingga 1968 pula terserempak dengan wanita sedang berdiri di anak tangga.

Sebenarnya terdapat pelbagai catatan dalam bentuk makalah yang dipamerkan di satu sudut rumah itu yang menceritakan kejadian seram dialami penghuni rumah berkenaan.

MESIN jahit dan mesin taip lama turut dipamerkan di salah satu bilik di dalam rumah agam berkenaan.
MESIN jahit dan mesin taip lama turut dipamerkan di salah satu bilik di dalam rumah agam berkenaan.

Ia membuktikan di sebalik keunikan serta sejarahnya, Rumah Agnes Keith turut menyimpan cerita misteri yang pastinya menjadikan ia lebih menarik untuk dikunjungi.

Sekiranya anda seorang gemarkan segmen 'dark tourism,' mengapa tidak mengunjungi kediaman itu? Di sebalik sejarah tersimpan 1,001 kisah misteri yang pasti anda ingin merungkainya.

Bercerita mengenai kisah Agnes House pastinya tidak cukup ruangan ini untuk mencatatnya. Jadi, anda sendiri perlu menerokainya sendiri!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 7:00 AM