RUMAH NOR di Bandung menjadi sebutan kerana keunikan seni binanya.
RUMAH NOR di Bandung menjadi sebutan kerana keunikan seni binanya.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

SEBUAH karya dikatakan unik andainya berhasil mewujudkan idea kreatif yang belum pernah diketengahkan sebelum ini.

Begitu juga dalam seni bina, ia menjadi unik jika dapat berfungsi secara optimum dalam mewadahi setiap kegiatan dan keperluan melalui idea kreatif yang berbeza untuk setiap rekaan.

Aaksen Responsible Architecture selaku perancang utama menerapkan keperluan itu ketika merancang reka bentuk Rumah NOR di Bandung, Indonesia yang kini menjadi sebutan kerana keunikannya tersendiri.

Rumah NOR atau lebih dikenali sebagai NOR House terletak di Jalan Pahlawan No 32, Bandung, Jawa Barat.

Nama NOR House dikatakan mewakili nama kedua-dua anak keluarga itu iaitu Adara Kaila Eleanor dan Sophia Cyrilla Eleonora.

NOR atau Nur dalam bahasa Arab juga bermaksud cahaya.

RUANG tamu hanya menempatkan perabot jimat ruang.
RUANG tamu hanya menempatkan perabot jimat ruang.

REKAAN surau menarik yang menyerlahkan lagi kelainan kediaman ini.
REKAAN surau menarik yang menyerlahkan lagi kelainan kediaman ini.

Setiap elemen di dalam rumah itu sangat unik dan satu persatu dirancang sesuai dengan keperluan kegiatan serta keinginan pemiliknya.

Mulai dari kawasan ruang di dalam rumah, bentuk, pemilihan warna, susun atur perabot, hingga ke penataan cahaya semuanya dirancang secara teliti dan cermat.

Konsep spiritual turut menjadi konsep utama rekaan dan diwujudkan melalui jendela segi tiga pada atap dengan tulisan kalimah Allah dalam bahasa Arab.

Apa yang menariknya, cahaya dari jendela itu menerangi ruang surau di bawahnya sebagai lambang petunjuk Allah yang memberi pencerahan dan bimbingan kepada umatnya.

Rumah dua tingkat seluas 1,237 kaki persegi itu menempatkan tingkat satu untuk ruang keluarga, tempat makan, dapur, surau dan tandas.

Manakala tingkat kedua menempatkan bilik tidur utama, bilik tidur dua anak pemilik kediaman itu dan tandas.

TANGGA yang dibina berdekatan dengan jendela besar.
TANGGA yang dibina berdekatan dengan jendela besar.

Rumah yang didominasi warna putih itu direka dengan gaya seni bina kontemporari dan diselitkan atap fumira sebagai fasad (facade).

Interpretasi tradisi dan hukum Islam menjadi dasar pemikiran Aaksen untuk menyelitkan elemen cahaya dalam keseluruhan rekaan dengan memaksimumkan bukaan serta menggunakan material yang paling ringan.

Contohnya, jendela besar setinggi dinding memberi pencahayaan maksimum untuk penghubung antara ruang di tingkat dua.

Kedudukan tingkap di kawasan tangga juga bagi memastikan ruang itu menerima pencahayaan optimum.

RUANG dapur dan meja makan yang direka sebaris panjang untuk menampakkan lebih luas.
RUANG dapur dan meja makan yang direka sebaris panjang untuk menampakkan lebih luas.

BILIK tidur yang selesa dengan pengudaraan dan pencahayaan maksima.
BILIK tidur yang selesa dengan pengudaraan dan pencahayaan maksima.

Keterbatasan keluasan turut melahirkan konsep perabot jimat ruang pada rekaan dekorasi dalamannya.

Ruang dapur pula direka memanjang satu baris dan disatukan dengan ruang makan bagi menyerlah lagi keluasan kawasan keluarga itu.

Rekaan rumah ini secara keseluruhannya jelas menyerlahkan keperluan utama pemiliknya.

Ia menjadikan Rumah NOR sebuah karya seni bina unik yang menjelaskan konsep sebenar kediaman Rumahku Syurgaku.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 6:30 AM