AKTIVITI turun cenuram di kawasan air terjun.
AKTIVITI turun cenuram di kawasan air terjun.
Roselan Ab Malek


KAMPUNG Janda Baik di Bentong, Pahang bukan asing kepada peminat alam semula jadi kerana terdapat khazanah alam yang begitu menarik di sekitarnya.

Antaranya, Air Terjun Tampik yang begitu indah dan mempesonakan dalam hutan Janda Baik yang bagaikan menyeru kehadiran ramai pelancong domestik dan luar negara ke destinasi berkenaan.

Lebih menarik, kewujudan destinasi ekopelancongan itu memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat apabila ia diuruskan penduduk Kampung Janda Baik sendiri dengan menubuhkan Persatuan Sahabat Alam Tampik Janda Baik (SATJB).

Persatuan itu muncul sebagai antara pelopor modul pelancongan berasaskan komuniti yang pertama di Semenanjung dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan.

Penduduk kampung sepakat mengawal kedatangan pengunjung dan meletakkan harga untuk pakej percutian dan lawatan ke lokasi di Air Terjun Tampik serta di kawasan lain.

SATJB bukan saja menyediakan peluang pekerjaan untuk orang tempatan, malah keuntungan yang diperoleh dibahagikan sama rata kepada ahlinya dalam kalangan penduduk tempatan.

Antara agensi yang terbabit ialah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Pelancongan Pahang, Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang (Motac) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Malah, SATJB kini menjadi contoh dari aspek pengurusan atau pengoperasian yang berada di bawah kawal selia penduduk setempat yang lebih sistematik.

Pengerusinya Rohaimi Anuar berkata, persatuan menguruskan kawasan Air Terjun Tampik seluas 30 hektar di mana ahlinya terdiri daripada anak kampung Janda Baik sendiri.

"Di samping mengamalkan konsep keuntungan dikongsi bersama, kami juga mengawal selia tempahan bilik penginapan dengan satu sistem tempahan untuk semua hotel dan resort di kawasan yang dikawal selia.

MENJADI perhatian si kaki lensa untuk merakam keindahan alam.
MENJADI perhatian si kaki lensa untuk merakam keindahan alam.

"Sistem ini mempunyai jadual yang tersusun dan berterusan khusus kepada pengusaha pelancongan dan JPNP pula mengeluarkan sijil penyewaan Hutan Simpan Tampik, secara tidak langsung turut memberi pendapatan kepada kerajaan negeri," katanya.

Katanya, konsep itu amat menepati dasar kerajaan untuk memajukan pusat pusat pelancongan secara lestari, memelihara alam sekitar dan menyatupadukan masyarakat setempat berasaskan komuniti setempat (CBT).

Persatuan itu dibimbing pegawai dari FRIM dan dipajak selama lima tahun daripada JPNP serta jika berprestasi baik, ia akan disambung semula.

AKTIVITI laluan denai yang mencabar dan menguji  ketahanan.
AKTIVITI laluan denai yang mencabar dan menguji ketahanan.

Berkonsepkan CBT, kami bekerjasama dengan pengusaha hotel dan chalet, pengusaha kenderaan serba rupa bumi (ATV), 'paintball', 'water tubing', jurulatih turun cenuram, pengusaha warung dan kedai makan serta kenderaan.

Katanya, manfaat yang diterima dari konsep ini ialah penjagaan hutan oleh persatuan serta dapat membantu JPNP dalam menangani isu pencerobohan hutan simpan tanpa permit.

Selain itu, ia dapat menjana kewangan jabatan dengan persatuan memastikan setiap pelancong ke Air Terjun Tampik mendapatkan permit.

Kawasan Air Terjun Tampik ini berketinggian 600 meter dan mempunyai lapan tingkat terletak di Banjaran Titiwangsa dalam kawasan Hutan Simpan Lentang.

Rohaimi berkata, kawasan yang dibenarkan untuk mandi-manda di tingkat empat dan lima sahaja untuk pengunjung.

POKOK meranti bukit bersaiz besar berusia lebih 100 tahun.
POKOK meranti bukit bersaiz besar berusia lebih 100 tahun.

Jelasnya, sambil bermain dengan ikan di air yang jernih dan bersih, pengunjung dapat melihat pelbagai spesies burung.

"Perjalanan hanya mengambil masa sekitar 45 minit untuk naik dan turun sambil menikmati suasana alam semula jadi yang sungguh indah selain kaya fauna dan flora.

"Dalam perjalanan, pengunjung boleh mengetahui pelbagai spesies pokok hutan kerana lebih 30 batang pokok sudah dilabel FRIM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 6:20 AM