MENANGKAP ikan dalam longkang menarik perhatian bukan saja kanak-kanak tetapi juga pengunjung dewasa.
MENANGKAP ikan dalam longkang menarik perhatian bukan saja kanak-kanak tetapi juga pengunjung dewasa.
PENGUNJUNG memberi makan kepada Alpaca.
PENGUNJUNG memberi makan kepada Alpaca.
AYAM batik yang cantik.
AYAM batik yang cantik.
CURLY Feather Chicken persis nanas bergerak dengan bulunya yang terjongket.
CURLY Feather Chicken persis nanas bergerak dengan bulunya yang terjongket.
RUMAH kampung yang dibina memberikan suasana berada di kampung.
RUMAH kampung yang dibina memberikan suasana berada di kampung.
Suliati Asri


Digelar ‘Lamborghini’ dalam keluarga ayam kerana harganya yang mahal, Ayam Cemani kelihatan tenang saat ia dikerumuni pengunjung.

Memiliki bukan saja bulu bahkan daging, tulang, mata, organ dalaman dan seluruh badannya berwarna hitam berkilat, ayam ini sememangnya sangat unik.

Warna telur yang kebiruan juga menambahkan lagi keunikannya ayam yang berasal dari Indonesia itu.

Di sebelah kandangnya pula, Curly Feather Chicken sedikit mengejutkan. Mana tidaknya, melihat setiap hujung bulu ayam itu yang terjongket ke atas, ia menampakkan ayam yang berasal dari Asia Selatan ini seperti buah nanas yang boleh bergerak.

Itu belum lagi si Ayam Selasi (Sikly Chicken) dengan bulunya yang halus, Ayam Batik (Sebright Chicken) memiliki warna bulu seperti batik dan ayam Brahma yang digelar ‘raja segala ayam’ kerana saiznya besar.

Sejujurnya penulis sendiri tidak pernah mengetahui jenis ayam di seluruh dunia selain ayam kampung, ayam belanda, ayam serama dan ayam sabung yang biasa dilihat di negara ini.

Hakikatnya ayam sebenarnya punyai pelbagai spesies, bulu dan warna yang menarik untuk diketahui.

Justeru, sempena sambutan tahun Baru Cina dan Tahun Ayam, Farm In The City (FITC) mempamerkan 23 spesies ayam yang didatangkan khas dari beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Indonesia, Poland dan United Kingdom sepanjang tahun ini.

Pengurus Pembangunan Perniagaan, Rajagopal Yagambram berkata, bermula 2013, FITC mula mempamerkan haiwan mengikut zodiak Cina yang diimport dari seluruh dunia.

Justeru, katanya, sempena tahun ayam, FITC mempamerkan 23 spesies ayam yang tidak ada di negara ini.

“Ramai yang tidak tahu, ayam di seluruh dunia berbeza spesies, bulu, warna dan punyai keunikan tersendiri.

“Jadi, pengunjung bolehlah melihat dan mengenali dengan lebih dekat spesies ayam yang dipamerkan selain mengikuti pelbagai aktiviti yang sudah disusun FITC,” katanya.

Pelbagai aktiviti menarik juga turut disediakan khususnya untuk pelajar dan kanak-kanak yang datang ke FITC.

Kata Rajagopal, selain melihat spesies ayam ini, kami juga menyediakan aktiviti yang juga pembelajaran secara tidak formal kepada kanak-kanak.

“Pengunjung boleh memberi makan sesetengah ayam yang dipamerkan, tetapi perlu ada pemantauan daripada kakitangan FITC.

“Bagi kanak-kanak pula, mereka boleh mempelajari banyak benda termasuk mengenal jenis telur, kitaran telur dan banyak lagi yang lebih kepada sains,” katanya.

Selain 23 spesies ayam dari serata dunia, FITC yang terletak di Jalan Prima Tropika Barat, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor ini turut mempamerkan lebih kurang 120 spesies haiwan termasuklah Alpaca, kuda baka Fallabela yang diiktiraf paling kecil di dunia, kura-kura gergasi berusia lebih 30 tahun dan monyet Marmoset.

Berkonsepkan kampung di dalam bandar, FITC juga menawarkan lawatan interaktif yang memberi peluang kepada pengunjung mendekati pelbagai jenis haiwan selain memegangnya.

Haiwan di FITC tidak terkurung di dalam kandang, sebaliknya dibiarkan bergerak bebas dan berlegar-legar hingga menjadikan ia biasa dengan kehadiran pengunjung.

Diiktiraf Malaysia Book of Records dengan ‘Spesies Haiwan Paling banyak dalam Petting Zoo,’ FITC mempunyai 21 zon menarik yang membawa pengunjung seperti bersiar-siar di kampung mendamaikan.

21 zon tarikan ini termasuklah Turtle & Tortoise Farm yang mempamerkan pelbagai jenis kura-kura dan penyu yang mengujakan.

Reptiles Cavern, menempatkan ular sawa pelbagai jenis dan buaya terkecil bersantai.

Memasuki taman burung, Bird Aviary, telatah pengunjung yang teruja dan geli saat burung pelbagai spesies berwarna-warni dan pelbagai saiz hinggap menikmati makanan yang diberikan.

Di dalam sangkar burung itu juga, terdapat kolam kecil yang menjadi tempat pelbagai burung berendam termasuk Burung Wak-Wak atau Purple Swanphen dari Australia.

Ke zon seterusnya iaitu Savannah, Alpaca, kambing, rusa dan beberapa haiwan lain lagi bergerak bebas. Pengunjung juga boleh memberikan haiwan ini daun kangkung atau makanan berupa tablet yang dijual.

Wallaby iaitu spesies kanggaru paling kecil juga adalah penghuni di Savannah ini.

Bersesuaian dengan konsep kampung, pelbagai tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan ditanam di zon Vegetables and Fruits Farm.

Zon yang sentiasa menjadi tumpuan adalah Pet Village dan Longkang Fishing yang memberikan ruang santai untuk pengunjung terutama kanak-kanak bermain dengan arnab dan menangkap ikan di longkang.

Sesi memberi makan ikan koi, ikan tilapia, angsa putih dan hitam yang menjadi penghuni tasik buatan, Mood’s Lake cukup mengujakan.

Berdiri di pelantar Zon Fish Feeding, membunyikan loceng yang juga isyarat waktu makan sudah tiba kepada penghuni tasik cukup mengujakan.

Mana tidaknya, hampir semua penghuni tasik itu berpusu-pusu datang ke pelantar untuk mendapatkan makanan yang diberikan.

Usai itu, Jungle Walk menemukan pengunjung dengan monyet Marmoset dari hutan Amazon, Amerika Selatan selain si landak Afrika yang mempunyai duri sangat besar dan panjang.

Penjelajahan di Zon Exhibition Hall, Racoon dan Kampung Muhammad adalah lokasi di mana pengunjung berpeluang melihat pelbagai persembahan haiwan yang mencuit hari mengikut masa-masa ditetapkan.

Layari www.facebook.com/FarmInThe CityMalaysia untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 6:30 AM