PELBAGAI menu diketengahkan di The Rack Boutique Cafe adalah hasil resipi dan sentuhan Ainul Huda.
PELBAGAI menu diketengahkan di The Rack Boutique Cafe adalah hasil resipi dan sentuhan Ainul Huda.
PENCUCI mulut diberi nama Bingsu ini dilimpahi dengan buah sebenar dan ditaburi dengan empingan jagung bagi memberi kepelbagaian rasa dan tekstur.
PENCUCI mulut diberi nama Bingsu ini dilimpahi dengan buah sebenar dan ditaburi dengan empingan jagung bagi memberi kepelbagaian rasa dan tekstur.
GABUNGAN klasik makaroni dan keju diberi kelainan dengan menyelitkan bebola daging.
GABUNGAN klasik makaroni dan keju diberi kelainan dengan menyelitkan bebola daging.
ABU Yazid dan Ainul Huda menunjukkan hidangan istimewa kegemaran ramai di The Rack Boutique Cafe iaitu ‘Dulang Combo’.
ABU Yazid dan Ainul Huda menunjukkan hidangan istimewa kegemaran ramai di The Rack Boutique Cafe iaitu ‘Dulang Combo’.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Menjamah makanan secara berjemaah atau dalam dulang bukanlah janggal dalam tradisi orang Melayu malah ia adalah salah satu sunah Rasulullah yang amat digalakkan.

Penulis tertarik dengan kelainan yang ditampilkan The Rack Boutique Cafe di Selayang, Selangor ini kerana menghidangkan makanan ala Barat dalam dulang.

Pemilik bersama kafe itu yang juga suami isteri Abu Yazid Al-Bustami Samat, 25 dan isteri Ainul Huda Ainul Yakin, 25, berkata, idea menampilkan menu ala Barat dalam dulang itu diinspirasikan daripada keluarga mereka yang ramai dan selalu makan bersama.

“Saya dari keluarga yang besar kerana adik-beradik ramai, oleh itu kami suka makan bersama-sama sebab lebih seronok dan meriah apabila semua ada.

“Dari situ tercetusnya idea untuk mengetengahkan hidangan dalam dulang kerana mahu pengujung yang datang turut menikmati hidangan mereka secara berjemaah tidak kira bersama ahli keluarga mahupun rakan,” kata Abu Yazid.

“Kami ketengahkan menu ala Barat kerana menu itu jarang ‘diletak’ di atas dulang. Selain itu, kami percaya menu ala Barat seperti ini menjadi kegemaran ramai,” katanya.

“Semua hidangan adalah resipi istimewa isteri dan diolah agar sesuai dinikmati ramai. Saya menggemari bidang perniagaan manakala isteri mempunyai latar belakang katering dan mahir memasak.

“Semua hidangan di sini adalah air tangan isteri saya.Walaupun menunya mungkin boleh didapati di tempat lain tapi setiap satunya unik dan mempunyai kelazatan tersendiri,” katanya.

Dihidangkan dengan menu popular yang mula menjadi tular di laman sosial iaitu ‘Dulang Combo’, sekali pandang ia pasti menggamit perhatian sesiapa saja.

Terdapat empat makanan dalam satu dulang dan menu utamanya adalah chicken chop iaitu dua keping ayam yang digoreng dan diselaputi dengan sos lada hitam istimewa.

Berlainan dengan dengan rasa sos lada hitam lain, sos lada hitam di The Rack Boutique Cafe ini menggabungkan rasa manis dan pedas yang ternyata menepati selera orang tempatan.

Chicken chop itu dilengkapi dengan tiga hidangan lain iaitu kentang goreng, bebola daging keju dan spageti bolognese dengan harga bagi sedulang hanya RM35.

Walaupun sekali pandang ia sesuai dihidangkan untuk dua orang saja tapi, ia lebih dari mencukupi dan satu dulang boleh dimakan bersama tiga atau empat orang.

Selain itu, menu lain yang turut menjadi perhatian ramai adalah ‘Roti John Cheese Tarik’ (RM10) sesuai bagi mereka yang gemarkan keju kerana kejunya yang banyak.

Selain sos keju yang ‘banjir’ pada bahagian atas roti itu, keunikan roti berkenaan terletak pada keju mozarela yang ‘tersembunyi’ pada bahagian dalam inti membuatkan keju itu bertali seperti piza apabila ditarik.

Antara menu lain yang turut menjadi pilihan adalah ‘Meatball Mac n Cheese’ (RM10) dan ‘XXL Chicken’ (ayam goreng dihidangkan bersama keju mozarela).

Pengunjung juga pasti tidak mahu ketinggalan mencuba pencuci mulut yang diberi nama ‘Bingsu’ iaitu ais kisar yang limpahi dengan susu, perisa dan buah segar dengan hanya RM8 semangkuk.

Selain buah segar menjadi tarikan, Bingsu di kafe berkenaan turut ditaburi empingan jagung bagi memberi kepelbagaian tekstur dalam hidangan itu.

Pelbagai perisa yang boleh dipilih namun yang menjadi pilihan ramai adalah strawberi dan mangga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 11:39 AM