KEHARMONIAN kaum penting untuk membina kemajuan negara.
KEHARMONIAN kaum penting untuk membina kemajuan negara.
Oleh Dr Zuraimy Ali

Perpaduan rakyat adalah kunci kestabilan sesebuah negara dari sudut ekonomi, sosial dan politik. Ia berjaya dibuktikan apabila Kerajaan Perpaduan yang dibentuk melalui kerjasama dan persetujuan gabungan parti dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak telah memberikan keyakinan terhadap pelabur luar untuk terus melabur di dalam negara di samping keyakinan kukuh terhadap tatakelola yang telus dan bebas daripada rasuah mahupun penyalahgunaan kuasa.

Pendirian ini dinyatakan melalui ucapan tegas Perdana Menteri Malaysia bagi tekad membina negara Malaysia Madani dengan lebih progresif dan mampan. Agenda Madani ialah cetusan dan ilham Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertujuan memenuhi maksud menggapai langit dan mengakar ke bumi dalam erti kata menjadikan Malaysia negara yang hebat dan luar biasa dari pelbagai sudut anjakan sama ada pemikiran, adab, nilai dan sikap seluruh rakyat Malaysia.

Manakala, ketidakstabilan politik dan sikap prejudis terhadap kaum yang sering dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab telah menyebabkan berlakunya kerosakan dan kebobrokan di dalam negara Malaysia. Bahkan media massa memaparkan isu ketirisan, penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah, penyeludupan dan jenayah kolar putih yang terancang sejak puluhan tahun sudah pun didakwa dan ada yang masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Ia berjaya dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang inginkan negara Malaysia dalam tempoh kurang 10 tahun lagi mampu bangkit sebagai sebuah negara yang hebat.

Namun, persepsi perkauman yang cuba diheret oleh pihak tidak bertanggungjawab pasti akan gagal apabila seluruh rakyat semakin bijak dan bersatu padu membina kemajuan negara bersama-sama kepemimpinan negara bagi menjamin masa depan yang lebih cerah di dalam usaha mengangkat martabat rakyat dan negara. Bahkan naratif yang cuba dimainkan segelintir pihak bahawa Melayu akan 'hilang' mungkin merujuk kepada Melayu yang tamak haloba dan rasuah itulah yang mungkin berlaku dalam tempoh 10 tahun lagi mahupun kurang dari tempoh tersebut.

Naratif itu mungkin ada benarnya bahawa dalam tempoh 10 tahun atau kurang dari itu, Melayu yang hebat pasti tidak 'hilang' bahkan terjelma melalui dasar kukuh kerajaan perpaduan seperti kata Laksamana Hang Tuah: "Takkan Melayu hilang di dunia." Kebangkitan Melayu terus kekal utuh sepanjang zaman jika bijak menilai dan memilih pemimpin yang benar-benar ikhlas membela nasib orang Melayu berbanding kelompok pimpinan Melayu yang mengumpul kekayaan luar biasa buat keluarga dan kroni mereka sahaja sehingga puluhan tahun orang Melayu masih hidup miskin dan mudah dijadikan alat perkauman sempit.

Amalan kronisme, nepotisme dan memunggah kekayaan negara secara tidak beramanah sehingga mengheret kepada isu perkauman melampau telah menjadikan perpaduan negara sukar dicapai.

Jika seluruh rakyat bersatu memperkukuhkan perpaduan kaum maka tidak mustahil kestabilan negara tercapai dan segala hasil kekayaan negara dapat diagihkan dengan adil dan amanah demi memastikan setiap anak-anak Malaysia tidak kira Melayu, Cina, India, Siam, Iban, Kadazan dan lain-lain lagi dapat menikmati kemudahan pendidikan, kesihatan, perniagaan dan lain-lain lagi yang terbaik di dunia.

Ini kerana perpaduan kaum adalah ramuan yang terbaik yang mampu diterjemahkan oleh semua kaum di Malaysia. Lihatlah keunikan Malaysia dengan kepelbagaian kaum dan agama dalam pandangan yang baik dan hasilnya pasti yang terbaik. Jika tidak hari ini, bila lagi? Terus kukuhkan perpaduan demi rakyat dan negara Malaysia tercinta. Generasi baharu yang terdidik dengan nilai dan ilmu pasti kekal bersatu padu demi kestabilan negara Malaysia.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara cawangan Perlis

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 6:30 AM