GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Antara keperluan utama setiap manusia ialah mendapat rezeki yang mampu menampung kehidupannya terutama yang mempunyai keluarga dan tanggungan yang banyak. Setiap insan yang beriman akan sentiasa berusaha dan mengharapkan kurniaan rezeki daripada Allah SWT hasil daripada segala usaha yang dilakukan. Dunia pada hari ini sangat mencabar khususnya dengan perkembangan ekonomi yang berlaku di seluruh dunia yang menyaksikan kemelesatan ekonomi yang sangat ketara.

Oleh itu, sebagai seorang Muslim perlu kembali kepada prinsip asas dalam agama Islam iaitu berjimat-cermat dan berhemah dalam berbelanja. Memang sebagai seorang yang bertawakal kepada Allah SWT sentiasa akan percaya bahawa rezekinya adalah di tangan Allah SWT. Namun, pada masa sama mestilah mengambil segala langkah yang patut untuk menguruskan harta miliknya dengan cara yang terbaik. Tambahan, pada masa ini berlakunya juga kenaikan harga barangan keperluan harian dan barang-barang lain.

Dalam konteks Islam rezeki adalah ketentuan Allah SWT. Segalanya ditetapkan Allah SWT secara azali. Namun, ia tidak menafikan tuntutan agar setiap manusia berusaha mencarinya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan tiadalah sesuatupun daripada makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan)." (Surah Hud, ayat 6)

Setiap orang yang berusaha pasti akan mendapat hasilnya. Bahkan, jika dihitungkan betapa banyaknya kurniaan dan nikmat Allah SWT kepada manusia ini sehingga tidak terkira. Malah, Allah SWT menjadikan seluruh langit dan bumi ini sebagai punca untuk mendapatkan rezeki. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan di langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu dan juga terdapat apa yang telah (ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu." (Surah al-Zariyat, ayat 22)

Menjadi kelaziman setiap tahun ramai yang tertunggu-tunggu bajet tahunan yang diumumkan pihak kerajaan yang dibentangkan di Parlimen. Perkara utama yang menjadi perhatian ialah manfaat yang akan diterima oleh setiap kelompok masyarakat sama ada orang biasa atau pekerja kerajaan dan swasta. Dengan kata lain, mereka menunggu-nunggu 'hadiah' yang akan dianugerahkan kerajaan kepada mereka. Bonus ini dianggap 'durian runtuh' yang akan membantu mereka secara segera. Tanpa memandang rendah kepada kelompok sebegini kita mestilah mengetahui memang ada dalam kalangan warganegara kita yang taraf hidupnya sedemikian. Bahkan, ada yang 'kais pagi makan pagi' dan 'kais petang makan petang.'

Realiti yang dihadapi sebahagian rakyat negara kita yang kurang berkemampuan ini mestilah diambil perhatian oleh pihak bertanggungjawab. Kesannya bukan kepada ketua isi rumah sahaja, tetapi akan membawa kepada masalah lain yang lebih teruk. Kita menyaksikan banyak masalah sosial berlaku termasuk masalah jenayah disebabkan kesempitan hidup. Berlaku juga keciciran dalam pendidikan sama ada di peringkat rendah, menengah atau peringkat universiti kerana masalah kewangan.

Bukanlah menjadi tanggungjawab pihak pemerintah secara total dalam isu melibatkan individu atau keluarga, namun mereka juga tidak bersalah seratus peratus. Bukannya senang berjuang dengan keperluan hidup masa kini yang semakin canggih dan moden. Banyak yang melibatkan kos yang tinggi seperti keperluan pembelajaran di bandar besar dan juga keperluan pengajian. Segalanya dalam bentuk yang lebih maju dan terkini. Maka, sudah pastinya menuntut kos yang tinggi.

Walaupun terdapat bantuan yang pelbagai daripada pihak kerajaan, namun masih memerlukan belanja tambahan yang banyak. Contoh yang ketara ialah penggunaan peralatan yang sesuai untuk pembelajaran yang lebih efisien seperti pembelajaran secara atas talian dan secara hibrid. Ia pasti memerlukan peralatan yang sesuai dan ada yang terpaksa mengeluarkan kos yang baharu untuk menyediakannya.

Walau apapun alasannya, sebagai seorang Muslim mestilah kembali kepada asas yang penting sebagaimana dinyatakan di atas iaitu prinsip berjimat-cermat dan bijak berbelanja. Menjadi sifat manusia biasa juga ialah mudah lupa diri apabila mendapat sesuatu. Bukan sahaja tidak pandai menguruskan perbelanjaan, bahkan terjerumus pula dengan pembaziran. Sedangkan Islam sangat menegah budaya membazir. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." (Surah al-Isra', ayat 26-27)

Kita sesungguhnya bersyukur dengan nikmat rezeki kurniaan Allah SWT kepada kita. Sama ada rezeki hasil daripada penat lelah kita berusaha mencarinya sendiri ataupun dalam bentuk pemberian daripada pihak lain. Oleh itu, hendaklah bijak dalam berbelanja dan menggunakannnya pada perkara yang utama. Mungkin kaedah 50-20-30 boleh diamalkan. Iaitu 50% pendapatan digunakan untuk keperluan asas seperti pendidikan, makan-minum, pakaian, kenderaan dan penginapan. Sejumlah 30% untuk melengkapkan dan keselesaan hidup. Manakala 20% lagi untuk simpanan berkaitan kecemasan dan lain-lain. Kita mesti mencuba sedaya upaya untuk menghindari berbelanja kepada perkara yang kurang berfaedah atau tidak mempunyai keutamaan yang besar. Banyak perkara yang lebih penting untuk diutamakan. Oleh itu 'ukurlah baju di badan sendiri.'


Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2023 @ 6:00 AM