Keperluan asas.
Keperluan asas.
Dr Nor Hazrul Mohd. Salleh

ALLAH SWT menciptakan manusia bersama dengan keperluan kepada makanan. Keperluan kepada makanan adalah antara keperluan asas yang tidak boleh dipisahkan daripada manusia selamanya. Malah, Allah SWT menciptakan manusia bersama keperluan asas yang tidak boleh diabaikan terutama makanan.

Makanan diibaratkan seperti bahan bakar yang membekalkan tenaga kepada manusia. Ia dianggap sebagai penerus hidup yang membekalkan tenaga dan semangat untuk meneruskan kehidupan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata." (Surah al-Nahl, ayat 114)

Manusia biasanya akan mencari apa sahaja sumber makanan untuk survival kehidupan mereka sama ada daripada sumber haiwan ataupun tumbuhan. Oleh itu, kita dapati sumber makanan manusia terlalu banyak dan pelbagai. Ia boleh didapati secara senang di serata tempat di alam semesta ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa terdapatnya perkaitan yang signifikan antara makanan dan perkembangan jasmani, emosi, rohani dan daya intelektual manusia. Oleh itu, Nabi Muhammad SAW mengingatkan umatnya supaya memberikan perhatian yang serius terhadap makanan yang masuk ke dalam perut manusia. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Perut adalah tempat bermula pelbagai penyakit." (Riwayat Muslim)

Pemakanan manusia mestilah seimbang dan mengandungi pelbagai jenis seperti vitamin, anti-oksidan, mineral, protein
di samping kandungan air yang mencukupi. Malah, air adalah keperluan utama tubuh badan manusia. Air juga adalah asas utama penciptaan makhluk Allah. Tidak mungkin boleh ditukarkan kandungan air dengan apa jenis minuman ataupun jenis cairan yang lain. Perkara ini dijelaskan Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: "Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?" (Surah al-Anbiya', ayat 30)

Keperluan manusia kepada makanan berbeza dan berkembang mengikut peredaran masa yang dilalui dalam hidupnya. Ketika baru dilahirkan, bayi hanya memerlukan kepada susu ibunya sahaja ataupun apa sahaja jenis susu daripada sumber lain. Sehinggalah seseorang manusia itu membesar, maka bertambahlah kepelbagaian makanan yang diperlukan. Akan bermulalah keperluan kepada makanan yang lebih kompleks yang bersumberkan tumbuhan, haiwan, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Dalam konteks ini, sangatlah wajar kita berpandukan kepada pesan Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas." (Surah al-A'raf, ayat 31)

Allah SWT meletakkan syarat dan kaedah untuk menjamin makanan yang diambil oleh manusia adalah bermanfaat dan tidak memudaratkan. Antaranya ialah agar hanya memakan makanan yang baik dan halal. Manakala, jika daripada sumber haiwan, mestilah yang disembelih secara halal. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, kerana sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa) dan sesungguhnya syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah (menghasut) kamu; dan jika kamu menurut hasutan mereka (untuk menghalalkan yang haram itu), sesungguhnya kamu tetap menjadi orang-orang musyrik." (Surah al-An'am, ayat 121)

Perkara ini penting bagi memastikan makanan yang dimakan oleh manusia adalah bermanfaat dan membawa kepada kesihatan, bukannya kemudaratan. Sehubungan itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu." (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Mendapat makanan yang menyihatkan adalah keperluan utama setiap manusia. Pemakanan yang sihat adalah asas kepada kelestarian hidup mereka. Ia adalah perisai utama daripada dijangkiti penyakit yang berbahaya. Pemakanan yang seimbang dan sihat bukan sahaja untuk membekalkan tenaga untuk bergerak dan meneruskan kehidupan semata-mata. Malah, ia adalah sebagai perisai yang mencegah daripada pelbagai penyakit.

Keperluan manusia kepada makanan bukan hanya sebagai pilihan biasa. Tetapi, ia adalah sebagai keperluan asas kepada jasmaninya. Tanpa makanan, tidak mungkin manusia itu akan dapat meneruskan hidup. Oleh itu, sejak daripada permulaan kejadian manusia, mereka sentiasa berusaha mencari sumber makanan walau bagaimana keadaan sekalipun. Betapa banyak pertempuran antara manusia berlaku lantaran perebutan untuk mendapatkan sumber makanan untuk mereka terus hidup.

Berdasarkan kepada pentingnya makanan kepada semua manusia dan sistem pemakanan yang seimbang, maka lahir banyak pertubuhan di peringkat nasional dan antarabangsa yang cakna berkaitan perkara ini. Lahirnya adalah atas kesedaran bahawa tanggungjawab memastikan makanan sampai kepada semua orang adalah tanggungjawab semua pihak. Jika tidak, akan berleluasalah kes-kes kebuluran sepertimana berlaku di benua seperti Afrika dan beberapa tempat yang sudah merebaknya penyakit berjangkit dan lain-lain ancaman yang buruk.

Mendapat makanan yang mencukupi adalah menjadi hak kepada setiap manusia di muka bumi ini. Oleh itu, pihak bertanggungjawab mesti berusaha menyediakan keperluan asas ini dengan mencukupi. Begitu juga menyediakan perancangan strategik bagi menjamin bekalan makanan kepada setiap penduduk adalah memenuhi keperluan mereka. Apatah lagi menyediakan keperluan asas ini kepada mereka yang tidak mendapat bekalan yang secukupnya.

Penulis Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 5:59 AM