FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
minda

Dalam mengharungi kehidupan, manusia sering memerlukan pelbagai perkara yang dapat membantu kelestarian hidupnya. Allah SWT bukan sahaja menganugerahkan kepada manusia keperluannya semata-mata, malah jika dikira segala kurniaan-Nya nescaya tidak terhitung jumlahnya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Nahl, ayat 18)

Allah SWT juga menciptakan manusia sebaik-baik kejadian. Namun, pada masa sama Allah SWT mengingatkan bahawa Dia akan menjadikan manusia seburuk-buruk kejadian jika disalahgunakan nikmat kurniaan-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya), Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah." (Surah al-Tin, ayat 4-5)

Manusia dikurniakan kelebihan yang pelbagai untuk memudahkan mereka menguruskan kehidupan. Kebiasaannya manusia dianugerah pancaindera dan anggota yang sempurna seperti kaki, tangan dan anggota badan lain. Antara anugerah Allah yang menjadi antara nikmat paling besar ialah mulut untuk berkata-kata. Allah SWT mengurniakan kepada manusia kemampuan untuk bertutur menggunakan mulut sebagai anggota sempurna.

Namun, perlu diingat di samping kelebihan mulut untuk berkata-kata yang baik mulut juga boleh membawa binasa. Ulama tasawuf juga menegaskan bahawa bencana mulut boleh membawa kepada kebinasaan iaitu merosakkan hati. Bahkan, ia dianggap racun kepada hati.

Rasulullah SAW menegaskan bahawa ramai dalam kalangan ahli neraka ialah kerana dosa disebabkan mulut mereka.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ya Rasulullah, terangkan kepadaku tentang amal yang mewajibkanku masuk syurga dan menjauhkanku dari api neraka?" Lalu Baginda bersabda: "Pangkal segala perkara adalah mendirikan solat lima waktu dan puncak kepada segala kebaikan adalah jihad." Kemudian Rasulullah SAW bertanya kepada Muadz: "Tahukah kamu apa kunci yang membuka semuanya?" Dan Baginda bersabda, "Jagalah ini (lidah dan mulut)." Muadz bertanya lagi: "Ya Rasul, adakah tuntutan kepada semua perkataanku?" Rasulullah bersabda, "Celakalah kau, ketahuilah kebanyakan manusia terjerumus ke dalam neraka akibat perkataan yang keluar dari lidahnya." (Riwayat Ahmad)

Perkataan yang diungkapkan bukan sahaja yang dapat didengari orang lain, tetapi perkataan juga boleh diungkapkan melalui tulisan yang dibaca sama ada melalui media cetak seperti akhbar, majalah dan lain-lain atau media elektronik. Malah, mutakhir ini kata-kata yang diungkapkan boleh disebarkan melalui media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram. Oleh itu, kita mestilah berhati-hati mengeluarkan perkataan kerana ia boleh tersebar luas dan pantas.

Oleh itu, apabila membincangkan mengenai kata-kata daripada mulut kita bukan bermakna kita hanya membincangkan mengenai suara yang didengari, tetapi termasuk tulisan yang dibaca. Tulisan yang diungkapkan akan menggambarkan minda penulis sama seperti kata-kata daripada mulut seseorang itu juga menggambarkan apa yang ada di dalam fikirannya. Maka, kedua-dua cara ungkapan itu boleh membawa kebaikan dan keburukan. Jika yang diungkapan itu baik, maka kebaikan itu akan menular dalam semua media.

Begitu juga sekiranya ungkapan yang ditularkan itu adalah suatu yang tidak baik, maka keburukan pula yang akan tersebar. Kedua-dua implikasi ini akan membawa kesan berbeza. Jika kebaikan, maka pahala akan diperoleh. Namun, jika ia membawa keburukan, maka dosa pula sebagai akibatnya.

Oleh itu, kita hendaklah berhati-hati apabila mengungkapkan kata-kata.

Rasulullah SAW mengingatkan kita supaya menjaga kata-kata dan hanya berkata yang baik. Sekiranya tiada perkara baik dalam ungkapan kita, maka lebih baik diam. Banyak perkara yang berlaku di sekeliling kita hari ini mengundang rasa ghairah umum terutama netizen untuk mencelah dan mengulas. Walaupun tanpa pengetahuan mengenai sesuatu perkara. Fenomena ini agak kurang baik untuk seorang Muslim. Sepatutnya setiap perkara perlu dipastikan kebenarannya sebelum diulas dan disebarkan.

Allah SWT berfirman: "Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya." (Surah al-Isra', ayat 36)

Semuanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT di akhirat. Allah SWT berfirman: "Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)." (Surah Qaf, ayat 18)

Dalam dunia moden, kita terdedah kepada anasir baik atau buruk. Terpulang kepada kita memilih isu atau perkembangan yang berlaku dalam masyarakat untuk dibincangkan. Tiada siapa boleh melarang selagi ia tidak melanggar peraturan dan jaga etika dalam berbicara atau menukilkan kata-kata supaya ia tidak menjadi tuduhan dan fitnah. Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya orang-orang yang suka hebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)." (Surah al-Nur, ayat 19)

Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam, barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan jiran tetangga dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetamunya." (Riwayat Bukhari)

Penulis Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 7:01 AM