MUAHMMAD Darwibi Hakimi Suhaimi antara yang hadir untuk mengambil keputusan SPM 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat hari ini. FOTO Bernama
MUAHMMAD Darwibi Hakimi Suhaimi antara yang hadir untuk mengambil keputusan SPM 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat hari ini. FOTO Bernama
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

SELEPAS melalui pendidikan rendah dan menengah selama 11 tahun, pastinya peluang menyambung pengajian ke peringkat pengajian tinggi menjadi matlamat semua pelajar. Selepas menghabiskan tempoh yang agak lama dalam pendidikan pada peringkat yang pertama dan kedua, maka pengajian di peringkat yang ketiga ataupun pengajian di peringkat tinggi menjadi matlamat utama.

Oleh itu, setiap pelajar ketika menghadapi peperiksaan utama sama ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), pasti sudah berusaha sedaya upaya untuk menguasai setiap pelajaran supaya mendapat keputusan cemerlang. Selepas itu berusaha untuk memasuki universiti terbaik dalam negara.

Namun, pelajar pada usia 18 tahun atau 19 tahun mungkin tidak akan memahami cabaran dan masa hadapan yang akan ditempuh selepas mereka menamatkan pengajian di peringkat tinggi. Mereka memerlukan panduan dan bimbingan daripada mereka yang lebih berpengalaman dan arif dalam bidang tertentu untuk memilih jurusan yang sesuai. Di sekolah biasanya diwujudkan unit kerjaya bagi memberi bimbingan kepada pelajar.

Kini, keperluan untuk seseorang pelajar itu memiliki kemahiran tertentu adalah menjadi tuntutan yang tidak boleh diabaikan. Pembelajaran pada abad ke-21 ini menuntut pelajar menghadapi sistem pendidikan lebih canggih dan berteknologi tinggi.

Sekiranya pelajar tidak menguasai ilmu teknologi terkini, kemungkinan akan mengganggu proses pembelajaran di dalam kelas. Sebagai contoh, penggunaan alat-alat pembelajaran terkini menjadi perkara yang tidak dapat dielakkan. Apatah lagi dengan cadangan kerajaan supaya pembelajaran masa hadapan digabungkan antara pembelajaran secara bersemuka dan pembelajaran atas talian.

Bermakna, pelajar sepanjang tempoh pembelajaran mereka tidak lagi hanya belajar dalam bilik kuliah dan menggunakan pendekatan biasa. Tetapi, akan belajar secara atas talian yang sudah pasti menggunakan alat komunikasi seperti telefon pintar atau gajet lain yang bersesuaian.

Oleh itu, menjadi tuntutan kepada pelajar untuk bersedia menghadapi situasi ini yang juga pada masa sama secara tidak langsung sebenarnya memerlukan komitmen lain. Malah, ibu bapa mesti bersedia menyediakan peralatan ini demi menjamin kelangsungan anak mereka belajar. Ia komitmen tambahan kerana terpaksa menyediakan kelengkapan yang lebih daripada biasa.

Begitu juga dengan keperluan lain untuk pembelanjaan harian dan bayaran yuran, sara hidup serta komitmen lain yang pelbagai. Berdasarkan kehidupan pelajar masa ini, maka persediaan untuk menghadapi pengajian di alam baharu di menara gading adalah cabaran yang berbeza. Maka, semua perkara yang diperlukan untuk menghadapi tempoh pengajian selama empat hingga lima tahun mestilah diambil kira secara serius.

Dalam konteks pengajian dan juga peluang kerjaya pada masa hadapan, semua pelajar mesti membuat kajian dan memilih bidang kerjaya yang memberikan peluang lebih besar kepada mereka. Mungkin pada peringkat sekolah menengah, pelajar hanya menumpukan kepada matlamat untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan supaya mereka layak diterima masuk ke institusi pengajian tinggi. Tetapi, apabila mereka memilih pusat pengajian untuk melanjutkan pelajaran, pada masa sama, mesti juga diambil kira bidang bersesuaian dan membuka peluang lebih besar untuk kerjaya pada masa hadapan.

Pastinya kecenderungan dan minat setiap pelajar berbeza. Terpulang kepada minat berdasarkan kepada kelayakan masing-masing untuk membuat pilihan terbaik. Peluang yang disediakan majikan juga sudah pasti mengambil kira kelebihan yang ada pada setiap pelajar.

Antara kemahiran terpenting yang mesti dimiliki setiap pelajar ialah kemahiran komunikasi.

Mana-mana subjek berkaitan dan terkandung di dalam kurikulum pengajian mereka biasanya tidak akan menjadi masalah kerana mereka sudah memilih bidang diminati dan bersesuaian.

Namun, apa yang membezakan mereka dengan pelajar lain ialah setakat mana mereka mempunyai kemahiran tambahan yang memberi nilai tambah.

Mungkin mereka mencapai keputusan cemerlang dalam pengajian. Tetapi, apabila mereka berhadapan dengan proses pemilihan untuk bekerja, kelebihan lain yang dimiliki akan menjadi penentu kepada kelayakan atau peluang dipilih.

Antara kemahiran yang menjadi keperluan pada masa kini ialah kemahiran untuk menguasai teknologi terkini terutama berkaitan komunikasi dan maklumat.

Mengambil kira keperluan sesuatu majikan untuk memajukan syarikat atau jabatan masing-masing, maka penggunaan teknologi telekomunikasi dan maklumat seakan-akan menjadi keutamaan. Banyak persaingan antara mereka akan berlaku berdasarkan kemampuan masing-masing untuk menyebarluaskan dan mempromosi syarikat dan jabatan masing-masing kepada pihak luar. Maka, seseorang pekerja baharu yang diambil mesti memenuhi keperluan mereka.

Tegasnya, pada masa ini yang diambil kira bukan lagi keputusan cemerlang seseorang pelajar dalam peperiksaan semata-mata. Bahkan, keperluan asas seperti kemahiran dan penguasaan ilmu sampingan juga menjadi tuntutan. Oleh itu, ketika mereka di pusat pengajian tinggi tidak cukup dengan hanya menumpukan kepada pengajian dalam kelas. Bahkan, mesti juga mempersiapkan diri mereka dengan keperluan berkenaan supaya mereka akan laku apabila memasuki pasaran kerjaya pada masa hadapan.

Justeru, dalam mengejar untuk mencapai tahap kemahiran atau kelayakan sampingan sebagai kelebihan kepada seseorang, sifat al-Qawiy (kuat dari segi keilmuan) dan amanah menjadi teras dan prinsip asas.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 5:59 AM