KEGAGALAN dalam peperiksaan bukan pengakhir masa depan pelajar kerana sudah banyak peluang melanjutkan pengajian sudah diwujudkan pada masa kini. - Gambar hiasan
KEGAGALAN dalam peperiksaan bukan pengakhir masa depan pelajar kerana sudah banyak peluang melanjutkan pengajian sudah diwujudkan pada masa kini. - Gambar hiasan
BANYAK institusi mengambil inisiatif menganjurkan ekspo pendidikan sebagai usaha membantu pelajar membuat pilihan pengkhususan yang tepat. - Gambar hiasan
BANYAK institusi mengambil inisiatif menganjurkan ekspo pendidikan sebagai usaha membantu pelajar membuat pilihan pengkhususan yang tepat. - Gambar hiasan
DAPATKAN pelbagai maklumat sebelum membuat pilihan memasuki institusi kerana dikhuatiri maklumat kurang tepat boleh menyumbang konflik pada diri pelajar. - Gambar hiasan
DAPATKAN pelbagai maklumat sebelum membuat pilihan memasuki institusi kerana dikhuatiri maklumat kurang tepat boleh menyumbang konflik pada diri pelajar. - Gambar hiasan
PELAJAR cemerlang yang memasuki IPT perlu bijak merencana pengkhususan pengajian supaya tidak berdepan masalah sewaktu pengajian. - Gambar hiasan
PELAJAR cemerlang yang memasuki IPT perlu bijak merencana pengkhususan pengajian supaya tidak berdepan masalah sewaktu pengajian. - Gambar hiasan
Oleh Ruhaiza Rusmin


Hari ini keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diumumkan manakala esok keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula bakal menyusul.

Keputusan dua peperiksaan utama negara itu sekali gus bakal menjadi pencorak langkah pelajar dalam menentukan hala tuju masa depan.

Sejak sekian lama, keputusan akademik pada peringkat itu sering kali dijadikan penanda aras dalam menentukan masa depan. Sekiranya tidak cemerlang, mereka dikatakan tidak mempunyai pilihan lain. Begitulah tanggapan umum yang biasa dihadapi. Benarkah demikian?

Mengulas isu ini, Timbalan Rektor Perancangan dan Akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Md Tahir Md Azhar berkata, persepsi itu perlu diubah kerana yang penting ialah kebijaksanaan pelajar untuk mencorak masa depan.

Menurutnya, kejayaan atau kegagalan dalam peperiksaan bukan pengakhiran hidup kerana banyak peluang pendidikan diwujudkan kini bagi membantu mereka yang ingin belajar.

“Zaman sekarang bukan lagi zaman yang hanya memberi peluang kepada pelajar tertentu untuk belajar melalui kemasukan universiti.

“Sesiapa saja (boleh) memperoleh pendidikan asalkan ada keinginan dan bijak membuat perancangan hala tuju.

“Berjaya atau tidak dalam peperiksaan bukan lagi menjadi faktor peluang masa depan mereka tersekat tapi perancangan betul adalah kata kuncinya,” katanya.

Beliau mengakui pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang tidak mempunyai masalah membuat pilihan menyambung pengajian.

“Pelajar ini mempunyai kapasiti penuh untuk memilih program atau institusi pilihan berdasarkan sistem meritokrasi yang diguna pakai di institusi.

“Bagaimanapun, mereka juga perlu bijak membuat pemilihan berdasarkan kriteria diingini kerana keputusan cemerlang semasa peperiksaan utama bukan jaminan boleh cemerlang semasa di institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya.

Tegas beliau, apabila memasuki IPT bukan saja akademik diambil kira, malah pembabitan dalam aktiviti serta pengukuhan dalam pelbagai kemahiran juga adalah penting.

Justeru, katanya pelajar yang memasuki IPT perlu membuat pelbagai pertimbangan sebelum mengambil keputusan mengikuti sesuatu jurusan.

“Pertimbangan itu bagi mengelak mereka tidak menjadi mangsa kesilapan sendiri yang boleh mengundang masalah pada kemudian hari.

“Walaupun mereka bijak dengan senarai A tapi itu semua tidak berguna andai kata tersalah membuat peng­khususan pengajian,” katanya.

Bagi pelajar yang kurang cemerlang dan gagal melanjutkan pengajian ke universiti awam, masih banyak pilihan boleh dibuat antaranya melanjutkan pengajian ke politeknik, institusi swasta, kolej komuniti, institut latihan kemahiran ataupun bekerja.

Pernyataan ini adalah realistik selepas mengambil kira persekitaran kerjaya masa kini. Malah, kepelbagaian peluang itu adalah sejajar dengan sasaran dibuat kerajaan iaitu 300 ribu pekerja mahir dalam pelbagai sektor setahun.

Dalam Belanjawan 2014 misalnya, sejumlah RM330 juta dana pinjaman latihan bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia disediakan bagi tujuan pinjaman kepada lepasan SPM untuk mengikuti latihan kemahiran.

Bagaimanapun, kajian menunjukkan hanya 31 peratus lepasan SPM mengikuti aliran kemahiran manakala 23 peratus memasuki pasaran kerja tanpa sebarang latihan kemahiran.

Menurut Dr Md Tahir, kewujudan pelbagai pilihan itu bukan saja boleh membantu pelajar menyambung pengajian, malah bertujuan mengimbangi pasaran industri.

“Andai kata semua mahu menjadi doktor atau jurutera, siapa pula yang mahu menjadi jururawat, juruteknik, kerani dan sebagainya?

“Bidang seperti ini turut mempunyai permintaan luas dan ia boleh diisi pelajar daripada institusi tertentu.

“Proses pembelajaran hari ini tidak lagi seperti dulu yang cenderung kepada satu pilihan saja. Hari ini keadaannya cukup berbeza,” katanya sambil mengakui pasaran bagi pelajar berkemahiran sebenarnya sangat besar.

Beliau menjelaskan, proses pembelajaran hari ini bukan hanya sekadar tertumpu pada konsep akademik semata-mata.

“Proses pembelajaran hari ini adalah proses pembelajaran sepanjang hayat apabila setiap individu boleh melorongkan pilihan masing-masing mengikut keperluan sendiri.

“Jika ada beranggapan hanya keputusan akademik boleh memberi jaminan hidup, ia adalah silap,” katanya.

Beliau turut memberi ‘peringatan’ kepada pelajar agar sentiasa bersedia dengan pelbagai maklumat sebelum memulakan langkah menyambung pengajian.

“Tidak kira sama ada memilih IPT atau institusi kemahiran, yang penting dapatkan maklumat tepat agar pengkhususan dibuat itu boleh menjamin masa depan.

“Anda belajar untuk memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian bukan bergelar penganggur terhormat, jadi pilihan yang betul adalah penting,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 12:46 PM