Negara sangat memerlukan generasi muda yang mengemudi negara pada masa hadapan. Segala harapan diletakkan atas bahu generasi muda yang ada sekarang untuk memikul tugas dan tanggungjawab membina serta membangunkan negara.
Seterusnya memacu negara ke arah negara maju sebagaimana menjadi cita-cita kepemimpinan negara sejak sekian lama. Perkara ini bukan suatu yang mustahil untuk dicapai jika setiap warganegara melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing dengan penuh semangat dan dedikasi yang tinggi.
Menjelang Julai setiap tahun adalah tempoh yang penuh dengan kenangan dan lakaran sejarah kecemerlangan anak-anak muda untuk meneruskan pengajian di peringkat menara gading. Selepas mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peringkat diploma, maka sampai masa untuk meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi. Bukan mudah mencipta sesuatu kecemerlangan dan bukan suatu perkara mudah juga untuk terus kekal cemerlang.
Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan segelintir pelajar di peringkat ini yang tidak meneruskan pengajian. Antara puncanya ialah kerana mereka sudah biasa dengan pekerjaan dan mendapat sumber pendapatan. Boleh diterima jika pelajar ini terpaksa tidak meneruskan pengajian kerana desakan dan keperluan membantu keluarga. Tetapi, ada sebahagian yang lain hanya kerana inginkan kehidupan selesa dan mewah. Maka, apabila mendapat segalanya mereka tidak perlu lagi menyambung pengajian.
Jika dirujuk dari perspektif Islam, tuntutan menuntut ilmu sangat tegas. Bahkan, diberikan perhatian khusus oleh Allah SWT apabila penurunan ayat al-Quran yang pertama ialah arahan menuntut ilmu iaitu 'iqra'. Seterusnya dibandingkan pula golongan yang berilmu dengan golongan yang tidak berilmu. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna." (Surah al-Zumar, ayat 9)
Sekiranya generasi muda tidak berminat menimba ilmu pengetahuan, maka ia menjadi masalah besar kepada negara. Sejarah membuktikan bahawa negara maju adalah negara yang tinggi tahap ilmunya. Malah, dalam Islam, ilmu keduniaan mesti digabungkan dengan ilmu akhirat. Oleh itu, bukan matlamat hanya semata-mata keduniaan, tetapi mesti meletakkan akhirat sebagai matlamat utama. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (Surah al-Qasas, ayat 77)
Rentetan daripada itu, generasi muda mesti disuntikkan semangat untuk menimba sebanyak-banyaknya ilmu pengetahuan. Jika negara memerlukan pakar dalam bidang teknologi, maka mereka mesti diberikan peluang dan disediakan kemudahan secukupnya untuk menuntut ilmu teknologi. Sekiranya perlu ke luar negara, maka kerajaan mesti menaja pengajian mereka di luar negara. Begitu juga dalam bidang perubatan, pembuatan, bahasa dan sebagainya.
Setiap pelajar yang terpilih pula wajib menggalas tanggungjawab masing-masing dengan amanah dan kesedaran tinggi untuk menyumbangkan tenaga kepada negara. Jangan menjadikan matlamat utama adalah untuk mendapat gaji atau pendapatan lumayan semata-mata, tetapi khidmat kepada negara lebih utama. Bagi yang belajar dalam negara, manfaatkan peluang berada di pusat pengajian tinggi untuk menggali sebanyak mungkin khazanah ilmu daripada pensyarah masing-masing.
Tidak dapat dinafikan, menjadi satu cabaran besar kepada generasi muda sekarang ialah media sosial yang berleluasa. Ramai yang terleka dengan terlalu melayan segala jenis media sehingga banyak masa terbuang begitu sahaja. Pelajar universiti juga tidak terkecuali daripada fenomena ini.
Perkara ini yang sepatutnya menjadi agenda utama apabila kita mahu pulihkan generasi muda daripada kelesuan yang mereka hadapi sekarang.
Tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa generasi muda kini juga banyak terpengaruh dan menghabiskan masa dengan berhibur. Hiburan yang berlebihan sebenarnya melekakan. Tidak salah berhibur secara sederhana, tetapi biar berpada dan cukup sekadar healing atau rawatan ketika menghadapi masalah dan tekanan.
Dalam konteks meredakan tekanan atau mendapatkan ketenangan, Rasulullah SAW banyak menunjukkan pedoman. Antaranya, baginda menganjurkan supaya didirikan solat. Solat jangan hanya dilihat secara luarnya terdiri daripada hukum-hakam tertentu. Ataupun hanya tuntutan untuk dilakukan lima kali sehari secara matematiknya semata-mata. Solat juga sebenarnya adalah sumber kerehatan dan kedamaian serta kenangan. Rasulullah SAW bersabda kepada Saidina Bilal: "Wahai Bilal, rehatkan kami dengan bersolat." (Hadis Riwayat Ahmad)
Hanya ilmu yang menjamin kemajuan sesebuah negara. Tanamkan azam yang kuat apabila mendapat peluang keemasan untuk menyambung pelajaran supaya mencapai matlamat utama untuk menjadi yang terbaik. Peluang keemasan tidak datang berulang kali. Gunakan peluang sebaik mungkin dan cuba uruskan perkara sampingan dengan bijaksana.
Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan