GOLONGAN belia negara harut sahut cabaran.
GOLONGAN belia negara harut sahut cabaran.
minda

Peluang menikmati waktu muda adalah peluang keemasan yang tidak ternilai harganya. Setiap manusia melalui pelbagai peringkat dalam kehidupan sejak lahir sehinggalah dewasa. Setiap orang akan melalui fasa kehidupan berbeza. Setiap fasa kehidupan pastinya ada keistimewaan dan kelebihan masing-masing.

Pada usia muda, seseorang akan lebih berpeluang untuk menjalani kehidupan dengan lebih sempurna lantaran keperluan hidup yang biasanya banyak diperoleh terutama nikmat kesihatan yang menjadi ciri utama semasa usia muda. Oleh itu, nikmat sihat yang dianugerahkan oleh Allah SWT mestilah digunakan sebaik mungkin. Nabi SAW bersabda bermaksud: "Manfaatkanlah lima perkara, sebelum datang lima perkara: (1) Masa mudamu sebelum masa tuamu. (2) Sihatmu sebelum sakitmu. (3) Kayamu sebelum miskinmu. (4) Waktu luangmu sebelum sibukmu. (5) Hidupmu sebelum datang matimu." (Hadis Riwayat al-Hakim)

Pentingnya usia muda semasa kehidupan manusia ini sangatlah besar. Banyak perkara yang dilalui oleh setiap manusia dalam pelbagai peringkat menentukan kejayaan ataupun kegagalan dalam hidup. Dalam usia muda dan bertenaga, seseorang akan dapat berusaha dengan lebih baik tanpa gangguan daripada masalah seperti kesihatan dan sebagainya. Kebijaksanaan juga biasanya akan lahir daripada kesempurnaa fizikal. Sebagaimana pepatah menyebut - akal yang cerdas berada pada badan yang cergas.

Rasulullah SAW banyak berpesan supaya menggunakan peluang semasa usia muda untuk melaksanakan ibadat kepada Allah SWT. Antaranya ialah sabda Rasulullah SAW berkenaan tujuh golongan yang mendapat perlindungan (bayang-bayang Allah) pada Hari Akhirat nanti ialah pemuda yang hidup dalam beribadat kepada Allah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seorang pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Allah." (Hadis Riwayat Bukhari)

Kesempurnaan untuk beribadat pastinya akan lebih kepada mereka yang masih bertenaga dan juga dalam keadaan yang sihat. Begitu juga dengan keadaan hidup yang lebih sempurna berbanding dengan mereka yang telah tua dan berusia. Sebagaimana disebutkan dalam hadis yang terdahulu agar tidak menunggu sehingga usia tua untuk beribadat kepada Allah SWT. Dua nikmat ini juga jangan disia-siakan. Sabda Rasulullah SAW bemaksud: "Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang." (Hadis Riwayat Bukhari)

Dalam konteks pemuda pada hari ini, mereka biasanya akan terlibat dengan beberapa tahap pengajian di peringkat pengajian tinggi setelah belajar beberapa tahun di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Pada masa inilah mereka akan sibuk dan juga sentiasa akan menghadapi cabaran antara kehidupan dengan cara 'orang muda' dan juga tuntutan untuk mengejar ilmu pengetahuan. Namun, perkara yang tidak dapat dinafikan bahawa pemuda inilah sebenarnya akan menjadi tunjang dan kekuatan sesebuah negara. Pada mereka diletakkan harapan untuk menjadi pemimpin pada masa akan datang. Banyak catatan sejarah tentang kehebatan golongan muda dalam pelbagai lapangan sehinggalah ke medan perang. Antara kisah agung tentang kehebatan orang muda dinukilkan Allah di dalam al-Quran. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambah mereka dengan hidayah petunjuk." (Surah al-Kahfi ayat 13)

Bagi pelajar yang menamatkan pengajian di peringkat sekolah dan akan memasuki alam universiti, maka mereka semestinya menghadapi pelbagai cabaran seperti memilih bidang ataupun jurusan yang sesuai dengan minat dan kelayakan mereka. Pada masa kini, akan bertembung pada kebiasaannya antara memilih bidang yang mereka minati ataupun mengambil kira kelayakan sebagaimana yang dicapai dalam peperiksaan. Kadangkala pula mereka terpaksa berkompromi dengan minat lantaran kelayakan yang berbeza. Namun, dalam banyak keadaan, pelajar juga akan berdepan cabaran pasaran kerja pada masa hadapan. Realiti yang kita mesti hadapi dan terima pada hari ini ialah cabaran yang besar serta saingan yang sangat tinggi untuk merebut peluang pekerjaan. Mungkin pada suatu masa, bidang seperti telekomunikasi dan teknologi maklumat adalah menjadi pilihan dan menjadi pasaran menyediakan pasaran kerja yang besar. Namun, keperluan sentiasa berubah dari semasa ke semasa. Sekiranya dalam bidang pekerjaan yang melibatkan kemahiran, maka kursus kemahiran yang akan menjadi pilihan pelajar.

Bagaimanapun, dalam bidang lain juga akan ada perkembangan dan membuka peluang pekerjaan yang pelbagai. Dalam bidang telekomunikasi sebagai contoh, perkembangan sentiasa berlaku dalam teknologi dan perhubungan terutama melibatkan media sosial. Pemain industri telekomunikasi sentiasa mengkaji dan merancang ke arah kemajuan yang sentiasa ke hadapan.

Oleh itu, setiap pelajar yang akan memasuki menara gading dan mendalami bidang masing-masing mestilah sentiasa menambah baik pengetahuan serta kemahiran yang dimiliki.

Tempoh dua minggu selepas keputusan peperiksaan biasanya menjadi tempoh yang sangat penting kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dalam jangka masa inilah mereka mesti membuat keputusan untuk meneruskan pengajian dalam bidang yang mereka pilih. Kebijaksanaan dalam memilih bidang yang terbaik akan menentukan masa depan mereka, apatah lagi masa depan negara.

Untuk mejadi sebuah negara maju dengan masyarakat berilmu dan berkemahiran tinggi, pastinya menuntut lebih usaha daripada pemuda sekarang. Merekalah yang akan menjadi pelapis kepada kepemimpinan negara pada masa ini sama ada mereka akan menjadi pemimpin yang akan menentukan dasar negara ke arah negara maju ataupun mereka akan menjadi pekerja membawa kemajuan dalam industri penting.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 7:00 AM