Kuala Lumpur: Pemain bass XPDC Pengyu, Zua mengesahkan kesahihan cerita Allahyarham Mael menyumbang dana untuk membangunkan Masjid Siti Khadijah, Kompleks Tahfiz AnNur di Besut, Terengganu seperti dimaklumkan seorang pengguna Facebook sebelum ini.
Zua ketika dihubungi berkata, bukan Mael saja tetapi semua anggota XPDC Pengyu seperti dia, Amy (dram) dan Jeff (gitar) termasuk pengurus mereka, Yazid turut membeli lot yang ditawarkan.
"Saya dilantik sebagai duta tahfiz ketika itu untuk mencari dana masjid. Saya tawarkan lot-lot dan sekali gus belajar di situ. Jadi, saya tanya anggota XPDC Pengyu dan mereka bersetuju membeli lot.
"Arwah Mael dan anggota XPDC Pengyu antara penyumbangnya. Mereka beli dalam beberapa lot sebagai tanda sokongan.
"Masjid ini dah siap sepenuhnya dan pada 13 Mei ini pengurusan tahfiz akan buat tahlil untuk Mael di situ," katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, tular satu berita dalam kalangan netizen mengaitkan Mael sudah mewakafkan lot untuk membangunkan masjid terbabit.
Ia mendapat pujian peminat yang kagum dengan usaha dan kerja amal Allahyarham.
"Sekurang-kurangnya Mael pernah buat kebajikan. Diam-diam dia buat pahala dan kita perlu mendoakan kesejahteraan dia di sana.
"Besar pahala Mael. Itu sebabnya kita tak boleh tengok orang secara zahir. Moga Allah merahmati arwah," katanya.