ZAKAT fitrah yang diwajibkan kepada setiap orang menjadi perkongsian nikmat yang Allah SWT kurniakan. FOTO BERNAMA
ZAKAT fitrah yang diwajibkan kepada setiap orang menjadi perkongsian nikmat yang Allah SWT kurniakan. FOTO BERNAMA
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Kehadiran Ramadan sebulan membuka ruang buat seorang Muslim melalui satu perjalanan yang panjang dalam episod untuk mensucikan diri daripada segala dosa. Perkara ini sangat jelas daripada program yang telah dianjurkan oleh Islam sepanjang bulan ini sebagaimana yang difahami daripada banyak hadis Rasulullah SAW.

Antara hikmah atau matlamat utama berpuasa adalah untuk mencapai takwa. Manakala takwa pula ialah darjat tertinggi seseorang Muslim. Ia dapat dicapai dengan meninggalkan segala dosa. Berdasarkan beberapa hadis juga, dapat difahami antara program khusus yang disediakan kepada seorang Muslim itu semasa berpuasa ialah menjaga diri daripada melakukan perkara dilarang oleh Allah SWT.

Antara perkara besar ialah menjaga lidah daripada perkara yang menyebabkan dosa terutamanya dosa besar.

Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Di samping berpuasa dengan meninggalkan makan minum dan mengawal hawa nafsu, seorang Muslim juga dianjurkan melakukan amal ibadat tertentu seperti membaca al-Quran dan membanyakkan sedekah. Antara matlamat perkara ini ialah untuk mendidik jasmani dan rohani sepanjang Ramadan. Menahan diri daripada makan dan minum adalah program khusus berkaitan penjagaan jasmani. Mengawal makan minum dengan baik dan mengikut peraturan tertentu seperti masa yang ditetapkan untuk bersahur dan berbuka.

Selain mendapat keberkatan, dalam pensyariatan sahur itu sendiri sebenarnya terdapat hikmah besar iaitu sebagai persediaan bekalan untuk menghadapi satu hari berpuasa tanpa makan dan minum.

Apabila berakhirnya Ramadan, maka diwajibkan setiap Muslim untuk menunaikan zakat fitrah. Perkara ini telah dijelaskan oleh baginda Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: "Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan ke atas umat Islam dengan satu gantang tamar, satu gantang tepung barli sama ada yang merdeka atau hamba sahaya, lelaki atau perempuan dalam kalangan umat Islam." (Hadis Riwayat Muslim)

Melalui kewajipan berzakat, Allah SWT menghendaki agar kelebihan yang ada pada seseorang yang dikurniakan-Nya dikongsikan dengan orang lain yang memerlukan.

Zakat hendaklah dikeluarkan atau diberikan kepada beberapa golongan sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya dan orang-orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Taubah, ayat 60)

Melalui zakat fitrah juga sebenarnya seorang Muslim itu berkongsi dengan saudaranya yang lain daripada golongan fakir dan miskin dan mereka yang layak untuk menerima zakat bagi berkongsi kurniaan Allah SWT kepada mereka. Zakat fitrah yang diwajibkan kepada setiap orang menjadi perkongsian nikmat yang Allah SWT kurniakan. Hasil daripada itu ialah wujudnya kasih sayang sesama Muslim. Bagi mereka yang dikurniakan Allah SWT dengan kelebihan yang banyak terutamanya kemampuan dari segi harta benda, akan berkongsi dengan saudara mereka yang lain yang hidup dalam serba kekurangan. Walaupun zakat fitrah hanya dikeluarkan pada akhir bulan Ramadan, ia juga memberi makna yang besar dalam kehidupan mereka yang layak menerima zakat.

Perkataan zakat bermakna pembersihan dan penyucian mempunyai makna yang sangat mendalam iaitu menyucikan dan membersihkan harta daripada mereka yang berkemampuan dan berkongsi dengan mereka yang memerlukan. Allah SWT berfirman: "Ambilah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Taubah, ayat 103)

Daripada ayat ini dapat difahami bahawa di dalam harta kurniaan Allah SWT kepada seseorang itu sebenarnya ada hak orang lain iaitu golongan yang memerlukan. Apabila sebahagian harta dikongsikan dengan nilai yang ditetapkan syariat, maka berlaku hubungan pembayar zakat dengan penerima.

Bagi orang yang mengeluarkan zakat, mereka membersihkan harta daripada harta milik orang lain sebenarnya. Bagi penerima pula mereka menikmati kurniaan Allah SWT yang tidak dikurniakan secara langsung kepadanya tetapi melalui perantaraan orang lain.

Lazimnya, dalam kehidupan biasa, apabila seseorang itu mendapat kelebihan atau kegembiraan dalam hidupnya, maka dia meraikannya untuk dirinya sendiri. Tetapi berbeza dengan kaedah Allah SWT yang menghendaki seseorang untuk menzahirkan kesyukuran di atas nikmat Allah dengan berkongsi kepada orang lain. Dengan itu, bukan dia sahaja dapat merasai anugerah Allah SWT kepadanya, tetapi juga mereka yang di sekelilingnya dapat bersama merasai. Signifikan pensyariatan zakat fitrah itu bukan hanya untuk diri sendiri. Malah, bertujuan agar seluruh umat Islam dapat merayakan bersama hari raya dengan penuh kegembiraan sebagai mensyukuri kejayaan mereka.

Maka, seseorang itu apabila dia berpuasa dengan mensucikan diri daripada dosa serta menghindari daripada melakukan perkara yang berdosa dia juga membuktikan kesyukurannya kepada Allah SWT dengan menunaikan zakat fitrah.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 7:00 AM