LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Penerbit dan enam pelakon Mentega Terbang yang mencetuskan kontroversi dengan jalan cerita yang didakwa mempersendakan Islam sudah dirakam keterangan semalam.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Saaduddin, berkata, mereka dirakam percakapan mereka pada jam 1 tengah hari di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

"Kes masih dalam siasatan pihak USJT dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, filem indie, Mentega Terbang yang ditayangkan secara percuma di platform penstriman digital mencetuskan kontroversi dengan memaparkan jalan cerita bertentangan dengan agama Islam dan dilakonkan mereka yang beragama Islam.

Filem arahan Khairi Anwar dan diterbitkan Tan Meng Kheng ini mula ditayangkan melalui platform penstriman Viu pada 19 Januari lalu dengan skrip ditulis bersama Khairi Anwar, Arjun Thanaraju dan Ting Teng Hui.

Ia mengisahkan remaja Muslim bernama Aishah tertarik kepada agama yang mempercayai konsep kelahiran semula selepas kematian menjadi makhluk lain sebagai balasan.

Malah ada babak yang menunjukkan ayah Aishah berfahaman liberal tidak menyekat anaknya itu murtad selepas mengkaji pelbagai kitab agama lain konon mencari jawapan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 5:24 PM