Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung filem Mentega Terbang yang mencetuskan kontroversi dengan jalan cerita yang didakwa mempersendakan Islam.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Saaduddin, berkata, sehingga kini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima lapan laporan polis di mana satu kertas siasatan sudah dibuka.

Menurutnya, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksan dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

"Kes masih dalam siasatan pihak USJT dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, filem indie, Mentega Terbang yang ditayangkan di platform penstriman digital mencetuskan kontroversi dengan memaparkan jalan cerita yang bertentangan dengan agama Islam dan dimainkan oleh pelakon beragama Islam.

Filem arahan Khairi Anwar dan diterbitkan Tan Meng Kheng ini mula ditayangkan melalui platform penstriman Viu pada 19 Januari lalu dengan skrip ditulis bersama Khairi Anwar, Arjun Thanaraju dan Ting Teng Hui.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 6:25 PM