EBIT Liew (tengah) mengagihkan air kepada penduduk terjejas di Pinggiran Batu Caves.
EBIT Liew (tengah) mengagihkan air kepada penduduk terjejas di Pinggiran Batu Caves.
Noor Mohamad Shakil Hameed

Nama Ebit Liew bukan asing lagi di negara kita. Pendakwah bebas yang cukup popular ini sering menarik perhatian khalayak melalui pelbagai aktiviti kebajikan yang dilakukannya dengan membantu golongan yang ditimpa bermacam musibah.

Ironinya, Ebit Liew tidak pernah mengharapkan sebarang ganjaran mahupun pujian sebaliknya menggunakan hasil titik peluhnya sendiri untuk menyediakan pelbagai bantuan kepada anggota masyarakat yang memerlukannya. Justeru, tidak salah untuk kita menobatkan insan mulia ini sebagai ikon kebajikan negara dan jujurnya kita berharap dapat melahirkan lebih ramai lagi individu seperti Ebit Liew di negara kita.

Umum mengetahui hanya senyuman, keikhlasan dan kemurahan hati pendakwah bebas ini menjadi modal dan formula mujarab dalam membantu golongan miskin dan kurang berkemampuan yang memerlukan pelbagai bantuan. Beliau tidak pernah merungut mahupun mengharapkan apa-apa sokongan dari mana-mana pihak, sebaliknya bergerak sendiri dan menggunakan duitnya sendiri untuk menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.

Jujurnya kita percaya Ustaz Ebit Liew cukup ikhlas dalam menghulurkan bantuan dan tidak pernah berniat untuk mencari populariti murahan atau menunjuk-nunjuk segala pemberian dan pertolongannya.

Antara sikap dan cara kerja beliau yang cukup menarik perhatian kita ialah, Ebit Liew sentiasa menjadi orang pertama yang menghulurkan bantuan kepada golongan yang ditimpa musibah. Beliau akan bergerak secara senyap dan cukup pantas dalam menyediakan bantuan. Ini membolehkan golongan yang terdesak dapat menerima bantuan yang diperlukan dengan segera. Malah, jika kita meneliti modus operandi beliau selama ini, sumbangan dan bantuan yang dihulurkan juga tidak pernah memilih agama, bangsa mahupun latar belakang mangsa. Ringkasnya, bantuan yang disalurkan tidak pernah terhad atau untuk kelompok tertentu sahaja sebaliknya semua lapisan anggota masyarakat disantuni dengan penuh jujur, ikhlas dan berhemah.

Malah, tingkah laku dan budi pekerti beliau yang sentiasa lemah lembut dan menghormati orang cukup dikagumi khalayak. Tuntasnya, bantuan yang dihulurkan berpaksikan kepada semangat persaudaraan dan kasih sayang semata-mata yang dengan jelas mencerminkan kualiti unggul peribadi Ebit Liew.

Antara sumbangan Ebit Liew yang cukup terkesan ialah bantuan yang dihulurkan kepada keluarga yang cukup tersepit ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara tempoh hari. Kita sedar PKP di seluruh negara menyebabkan ramai yang hilang punca pendapatan secara total. Golongan yang cukup terkesan ialah peniaga dan pekerja gaji hari. Peniaga tidak dapat menjalankan perniagaan dan pekerja gaji hari pula tiada pendapatan kerana tidak bekerja.

Akibatnya keluarga seperti ini terlalu sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup dan tiada punca pendapatan untuk menampung perbelanjaan harian diri dan keluarga.

Baru-baru ini, ketika penduduk Selangor menghadapi masalah ketiadaan bekalan air akibat pencemaran, Ebit Liew turut menghulurkan bantuan dengan menyediakan dua lori tangki air di beberapa kawasan yang terjejas. Jelas sekali, kerja kebajikan Ebit Liew ini tidak ada sebarang batas dan sempadan. Bantuan beliau meliputi hampir setiap negeri dan rakyat yang hidup dalam susah dan memerlukan pelbagai bantuan.

Dalam hal ini, penulis juga cukup yakin betapa Ustaz Ebit Liew berjaya mencetuskan gelombang kesedaran dalam kalangan anggota masyarakat masih ramai yang lebih susah daripada kita dan memerlukan pelbagai bantuan untuk meneruskan kelangsungan kehidupan mereka. Kita yang sering merungut kerana ditimpa pelbagai dugaan dan musibah boleh insaf apabila mengetahui masih ramai yang lebih susah dan malang dari kita.

Kita bersyukur kerana adanya insan mulia seperti Ustaz Ebit Liew yang sanggup mengeluarkan duit poketnya sendiri dan menyantuni anggota masyarakat yang memerlukan bantuan. Ironinya kita masih memerlukan lebih ramai lagi dermawan seperti Ustaz Ebit Liew kerana bilangan orang miskin dan gelandangan yang memerlukan bantuan ramai. Malah, inisiatif individu seperti ini sudah semestinya sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kerajaan dalam membantu golongan yang miskin dan susah.

Tuntasnya, kita perlu melahirkan lebih ramai lagi dermawan seperti Ustaz Ebit Liew. Justeru, kita berharap Ustaz Ebit Liew akan meneruskan kerja-kerja kebajikan dan marilah kita sama-sama membantu beliau sebaik yang mungkin.

Harus diingat adakalanya bantuan Ebit Liew ini sering disalah tafsir pelbagai pihak, oleh itu kita berharap Ebit Liew tidak berputus asa dan akan meneruskan bantuannya. Ingat, kalau kita tidak mampu menghulurkan bantuan seperti beliau sekalipun, janganlah mencemuh atau menghalang usaha murni beliau.

Semoga Ustaz Ebit Liew menjadi suri teladan dan ikon kebajikan yang boleh melahirkan lebih ramai anggota masyarakat yang boleh tampil menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukannya.


Penulis adalah pentadbir sebuah universiti awam dan penganalisis isu semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 6:00 AM