AKTIVITI kesukarelawanan boleh mengajar pelajar erti kehidupan sebenar.
AKTIVITI kesukarelawanan boleh mengajar pelajar erti kehidupan sebenar.
Suliati Asri


Aktiviti kesukarelawanan atau khidmat masyarakat sangat sinonim dengan organisasi atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Namun, aktiviti ini juga semakin mendapat perhatian masyarakat, orang perseorangan termasuk pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).

Status sebagai mahasiswa IPT bukah penghalang kepada pelajar untuk turut sama mengikuti pelbagai aktiviti kesukarelawanan, sekali gus menghulurkan bantuan kepada semua lapisan masyarakat.

Aktiviti kesukarelawan ini tidak hanya memberikan pengalaman atau membantu mereka yang memerlukan, tetapi juga sebenarnya memberi banyak nilai tambah kepada pelajar dalam pelbagai hal.

Ketua Program Pengurusan Dengan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Dr Khairunneezam Mohd Noor berkata, dalam konteks nasional, kerajaan sebenarnya mahu menggalakkan pelajar IPT supaya berfikir di luar kotak.

Dengan itu, menurutnya apabila pelajar menamatkan pengajian, mereka bukan saja menjadi mahasiswa yang mencari kerja (job seeker) semata-mata, tetapi menjadi penyedia pekerjaan 'job provider.'

"Apabila kita sebut kesukarelawanan, ia berada di tengah-tengah antara 'job seeker' dan 'job provider'.

"Dalam konteks ini, kesukarelawanan ini mengajar pelajar tidak hanya berfikir untuk mencari pekerjaan semata-mata, tetapi sebagai nilai tambah kemahiran insaniah (soft skills) dan menyumbang kepada negara melalui aktiviti kesukarelawanan serta keusahawanan," katanya.

MOHAMAD Aiman Syafiq membersihkan rumah mangsa banjir ketika mengikuti aktiviti kesukarelawanan.
MOHAMAD Aiman Syafiq membersihkan rumah mangsa banjir ketika mengikuti aktiviti kesukarelawanan.

Sedar atau tidak, ramai ikon pelajar yang terbabit dalam kesukarelawanan sehinggakan ada antara mereka sudah menetap di luar negara bersama NGO yang disertai.

Dr Khairunneezam yang sudah 17 tahun terbabit dalam program sukarelawan bersama pelajar berkata, ada pelajar yang mengikuti program sukarelawan ini memperoleh banyak impak positif dalam diri dan kerjaya mereka selepas menamatkan pengajian.

"Apa yang saya nampak impak daripada aktiviti kesukarelawanan ini, pelajar tidak hanya tamat belajar dan kemudian cari kerja untuk makan gaji.

"Tetapi, ini membuka persepsi di mana mereka ini satu masa nanti boleh menyumbangkan sesuatu kepada pihak lain lebih daripada memenuhi kehendak sendiri.

"Mereka juga akan nampak ruang untuk menubuhkan NGO sendiri dan menjadi 'job creator' kepada pelajar lain yang mahu turut sama menjadi sukarelawan di bawah sayap mereka sebagai NGO," katanya.

Dr Khairunneezam berkata, tanpa sedar dengan mengikuti aktiviti kesukarelawanan ini pelajar juga memperoleh banyak peluang selepas habis belajar.

AKTIVITI kesukarelawanan turut memberi banyak nilai tambah kepada pelajar dalam pelbagai hal.
AKTIVITI kesukarelawanan turut memberi banyak nilai tambah kepada pelajar dalam pelbagai hal.

"Contoh terbaik adalah pelajar dapat kembangkan rangkaian dengan NGO luar negara.

"Apabila hal itu berlaku, mereka boleh melihat sendiri kemajmukan dalam kesukarelawanan itu.

"Maksudnya, kesukarelawanan ini tidak hanya fokus kepada satu-satu bangsa, agama atau negara, tetapi ia menyeluruh. Ia juga memperlihatkan elemen kepelbagaian, hormat-menghormati dan adil dalam memberikan bantuan," katanya.

Di pihak universiti pula, pelajar digalakkan untuk menyertai program kesukarelawanan.

Justeru, kata Dr Khairunneezam, ada antara universiti yang menganjurkan Program Gap Year iaitu program yang membenarkan pelajar menangguhkan pengajian selama setahun untuk bersama NGO mengikuti program kesukarelawanan.

DR Khairunneezam
DR Khairunneezam

"Menerusi program ini, universiti mahu menggalakkan nilai kesukarelawanan dalam kalangan pelajar.

"Justeru, dengan itu pelajar boleh menangguhkan pengajian dan mengikuti aktiviti kesukarelawanan dengan NGO yang mempunyai memorandum persefahaman (MOU) atau persetujuan dengan pihak univerisiti," katanya.

Mengulas mengenai relevan program kesukarelawan di kala pandemik Covid-19 ini, Dr Khairunneezam melihat pelajar dalam konteks kesukarelawanan dapat mempelbagaikan atau memvariasikan aktiviti mereka.

"Sebelum pandemik Covid-19, aktiviti kesukarelawanan ini banyak berkait kepada NGO tertentu, program anjuran atau projek yang sudah dilaksanakan oleh komuniti.

"Ia membabitkan program bersemuka dan kebanyakan agenda adalah ke arah kemiskinan masyarakat, pendidikan kanak-kanak golongan B40 dan golongan gelandangan. Ada juga yang terbabit dengan program kesukarelawanan luar negara.

"Namun, ketika pandemik dan kini kita di ambang endemik, mereka mempelbagaikan aktiviti dengan cara mempelbagaikan agenda bantuan secara dalam talian serta menggunakan media sosial.

MOHAMAD Aiman Syafiq
MOHAMAD Aiman Syafiq

"Apa yang saya lihat, kebanyakan pelajar bersama NGO atau masyarakat membuat pelbagai poster program untuk menyedarkan masyarakat mengenai bahaya Covid-19, perlunya menjaga penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan banyak lagi.

"Pandemik ini juga nyata tidak menghentikan semangat kesukarelawanan mereka dan ada yang bergerak sesama sendiri serta mengadakan program atau pengumpulan dana untuk membantu masyarakat yang terjejas dengan Covid-19 ini," tambahnya.

Sementara itu, Pegawai Tugas Khas di Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohamad Aiman Syafiq Mohd Noor, 26, berkata, dunia kesukarelawanan banyak mengajarnya erti sebenar kehidupan dan kerana itu walaupun sudah bekerja, dia masih aktif dalam aktiviti kemanusiaan.

"Apabila menyertai program kesukarelawanan atau misi kemanusiaan, saya dapat lihat dalam kesusahan sesebuah keluarga atau individu itu, masih ada kebahagiaan pada diri mereka.

"Selain itu, dunia kemanusiaan ini tidak ada kasta. Dari masyarakat kebanyakan sehingga golongan atasan, kebahagiaan itu kita boleh kongsi bersama," katanya.

Berkongsi bagaimana dia boleh berkecimpung dalam dunia kesukarelawanan, kongsi Mohamad Aiman Syafiq, ketika di universiti dia banyak terbabit dengan program kemasyarakatan yang dilaksanakan pihak fakulti, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Islam (FKP).

"Selain itu, saya turut didedahkan dengan subjek Dakwah Tatbiqi iaitu subjek yang mewajibkan pelajar melakukan aktiviti dakwah dan program kemanusiaan kepada masyarakat sekitar seperti orang asli, gelandangan serta golongan asnaf yang memerlukan.

"Perkara itu yang membuatkan saya rasa sayang untuk meninggalkan dunia kesukarelawanan sehingga sekarang," katanya.

Mengikuti aktiviti kesukarelawanan dan dalam masa sama mempunyai tuntutan sebagai pelajar, kata Mohamad Aiman Syafiq, aktiviti itu sama sekali tidak mengganggu pembelajaran di universiti.

"Alhamdulillah, aktiviti kesukarelawanan ini langsung tidak menjejaskan pembelajaran saya, malah ia membuatkan saya lebih semangat untuk terus belajar bagi membantu orang yang memerlukan dengan ilmu yang saya ada.

"Oleh itu, saya sangat menggalakkan pelajar untuk terbabit dalam aktiviti kesukarewalanan supaya mereka akan lebih jelas peranan diri sebagai pelajar dalam pelbagai situasi dan keperluan semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 6:20 AM