Riadz Radzi


KETIKA artikel ini ditulis, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (Mat Kilau) arahan Syamsul Yusof terbitan Studio Kembara sudah mencatat kutipan lebih RM16 juta dalam tempoh enam hari tayangan.

Ini memang fenomena dalam industri filem tempatan. Bak kata Syamsul, ia tsunami filem Melayu terutama selepas ia berjaya mengatasi kutipan filem Hollywood yang ditayangkan di sini, ketika ini.

Senario penonton pergi ke pawagam memakai kostum watak dalam filem biasanya berlaku terhadap filem Hollywood seperti Star Wars atau filem adiwira seperti Spider-Man, Batman, Avengers dan lain-lain.

Setahu saya, tidak pernah berlaku untuk filem tempatan, tetapi ia berlaku dengan Mat Kilau.

Ramai yang datang lengkap berbaju Melayu, bersamping dan bertanjak, malah turut berpencak silat di luar pawagam.

Ada juga golongan kanak-kanak yang terus mahu mempelajari silat selepas menonton filem ini.

SYAMSUL ketika penggambaran filem Mat Kilau.
SYAMSUL ketika penggambaran filem Mat Kilau.

Ini kesan positif terhadap sosial dan budaya. Maksudnya penonton datang ke pawagam dengan semangat filem itu.

"Ini satu kebangkitan bukan saja kepada pahlawan tapi juga pawagam di Malaysia dan penonton itu. Kalau kita tengok mereka pakai busana lengkap dengan keris dan tanjak serta yang perempuan pun pakai baju klasik.

"Nampaklah penonton ke pawagam mereka membawa semangat bangsa itu sendiri. Alhamdulillah dan sebab itulah saya mengambil projek ini, menghasil dan mengarahkan filem ini dengan begitu teliti sekali. Ini kerana saya tahu tanggungjawab ini besar dan penonton Malaysia dan Melayu mengharapkan sesuatu dalam filem ini," kata Syamsul dalam temu bual bersama Harian Metro, baru-baru ini.

Mat Kilau membawa nafas baru dalam industri perfileman tempatan terutama dalam penerbitan filem epik dan sejarah.

Kebiasaannya, filem genre sedemikian sering dianggap tak boleh jual, tak laku dan sukar menarik penonton selain kos pembikinan yang tinggi.

Sudah ada bukti beberapa filem begitu. Walaupun dikatakan berkualiti, tetapi jumlah kutipannya menyedihkan sehingga penerbit rugi besar.

Lalu, kita membuat kesimpulan filem seperti itu penonton tak suka, tak boleh jual.

Jadi, kenapa Mat Kilau ini berpusu-pusu orang nak tengok hinggakan pawagam full house?

Mungkin ada yang setuju dan tidak, tetapi aksi pertarungan yang mengetengahkan seni bela diri silat dalam filem ini adalah tarikan utamanya.

Dalam apa saja filem aksi, babak pertarungan adalah yang paling mudah menarik perhatian penonton.

Nampaknya Syamsul berjaya menggarap aksi itu dengan baik hingga orang 'melekat' di kerusi pawagam. Ramai yang terkesima kerana tidak menyangka pelakon-pelakon terbabit mampu melakonkan babak itu dengan begitu berkesan.

Pastinya koreografer aksi silat dalam filem ini sudah menjalankan tugasnya dengan cemerlang.

Nama Syamsul itu sendiri juga adalah tarikan utama penonton. Reputasi Syamsul selaku pengarah sudah terbukti hebat seperti filem KL Gangster, KL Gangster 2, Munafik dan Munafik 2.

Jadi, tentunya ramai tertunggu-tunggu buah tangan Syamsul dalam filem epik dan sejarah pula. Apatah lagi Mat Kilau sudah 'terperam' agak lama.

Tak mustahil isu sensasi dan kontroversi membabitkan
kisah peribadi Syamsul turut membantu. Dan, ia akhirnya tenggelam dengan fenomena
Mat Kilau.

Diharapkan fenomena yang dicetuskan Mat Kilau ini akan berterusan dengan penerbitan filem-filem genre sama selepas ini.

Jika industri filem Hong Kong boleh membawa seni bela diri kung-fu, wing chun, wushu dan lain-lain ke Hollywood, tidak mustahil silat boleh mengikut jejak yang sama.

Penulis Pengarang Hiburan, Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 5:59 AM