Yayan Ruhian
Yayan Ruhian
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Hollywood, Yayan Ruhian, 54, cukup kagum dengan pengarah Syamsul Yusof serta keseluruhan produksi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang disifatkannya luar biasa.

Yayan yang berasal dari Indonesia berkata dia sememangnya sangat bangga dan bersyukur menjadi sebahagian daripada naskhah cukup penuh nilai sejarah itu.

"Saya memang tak nafikan, antara sebab utama menerima tawaran itu adalah kerana pengarahnya adalah Syamsul. Namanya bukan asing lagi bahkan cukup dikenali di Indonesia juga.

"Saya kagum dengan corak kreativitinya sebagai pengarah. Ideanya luar biasa serta cukup luas, bahkan dia teliti melakukan sendiri kerja-kerja teknikal dan bukan sekadar duduk mengarah.

"Pada saya, filem Mat Kilau ini sangat besar maknanya. Ia bukan sekadar filem untuk hiburan, tapi nilai sejarah yang dimiliki mendalam dan mampu beri impak besar kepada penonton," katanya.

Yayan juga turut memuji corak lakonan bintang utamanya Datuk Adi Putra yang baginya cukup tepat menggalas watak Mat Kilau.

"Adi bukan pelakon sembarangan. Berpasangan dengannya membuatkan Saya rasa sangat puas kerana dedikasi lakonannya terserlah dan caranya hidupkan watak itu luar biasa.

"Saya rasa watak saya pun menjadi lebih kuat kerana dipadankan dengan lakonan penuh jiwa raga daripada Adi. Kami saling melengkapi sewaktu di set penggambaran membuatkan persembahan ditunjukkan lebih padu," katanya.

Yayan menggalas watak antagonis sebagai Toga dalam filem itu yang bakal ditayangkan di pawagam pada 23 Jun nanti.

Nama pelakon ini bukan calang-calang dan sudah membintangi banyak filem Hollywood. Yayan paling diingati menerusi wataknya sebagai Tasu Leech dan filem ikonik Star Wars: The Force Awakens.

Selain itu, dia turut membintangi filem John Wick: Chapter 3, Beyond Skyline, sekuel The Raid, Yakuza Apocalypse, dan lain-lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 1:12 PM