GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Noor Mohamad Shakil Hameed

Gangguan seksual terhadap atlet wanita berlaku lagi. Kali ini seorang jurulatih wushu sedang didakwa di mahkamah atas 10 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun. Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai hubungan amanah iaitu jurulatih didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sekitar Februari lalu di sebuah rumah di Taman Kajang Mewah di Kajang, Selangor.

Ironinya, ini bukan kes pertama jurulatih sukan dituduh melakukan gangguan seksual terhadap atlet wanita yang berada di bawah kendaliannya. Misalnya, pada tahun lalu negara digemparkan dengan pendedahan gangguan seksual oleh bekas perenang kebangsaan, Cindy Ong. Malah, atlet terjun negara, Datuk Pandelela Rinong juga pernah mendedahkan mengenai isu gangguan seksual dialaminya serta rakan atlet yang lain yang membabitkan bekas jurulatihnya yang dikatakan sering membuat lawak lucah terhadap rakan atlet.

Jelas sekali, isu gangguan seksual dalam sukan di Malaysia semakin membimbangkan dan perlu ditangani segera bagi membina ruang yang selamat dan terjamin kepada semua atlet di samping meyakinkan ibu bapa berkaitan keselamatan anak-anak mereka yang menceburi sukan.

Satu hasil kajian yang dilakukan pada 2017 juga menyokong situasi yang membimbangkan ini di mana berdasarkan penyelidikan yang dilakukan oleh Kolej Poly-Tech Mara terhadap 422 atlet, mendapati sebanyak 15.9 peratus responden pernah mengalami gangguan seksual dalam sukan, menyaksikan separuh daripada atlet terbabit pernah mewakili negara di pertandingan antarabangsa. Dalam hal ini, kira-kira 28 peratus daripada mangsa dilaporkan terjejas dari segi fizikal dan mental mereka, sekali gus mempengaruhi prestasi sukan serta kerjaya dalam jangka panjang.

Walaupun pihak terlibat sentiasa dibawa ke muka pengadilan, insiden memalukan seperti ini terus berlaku sekali gus menuntut langkah segera daripada pihak kerajaan agar kita dapat melindungi atlet wanita negara. Sewajarnya arena sukan negara perlu menjadi tempat selamat buat atlet dan bukan di sebaliknya sehingga menjejaskan keselamatan diri serta menghancurkan masa depan mereka.

Justeru, semua pihak yang terlibat perlu memandang serius isu gangguan seksual terhadap atlet ini kerana ia boleh memberikan pelbagai implikasi negatif terhadap sukan tanah air. Antaranya, sudah pasti gangguan seperti ini akan memberi kesan psikologi dan emosi yang serius kepada atlet. Mereka bukan saja rasa diaibkan, malah akan sentiasa beranggapan diri mereka tidak selamat dan berada dalam ketakutan. Akibatnya mungkin ada dalam kalangan mereka yang pernah menjadi mangsa boleh terdorong untuk mengambil tindakan di luar kawalan seperti membunuh diri kerana sangat tertekan dan malu.

Selain itu, insiden seperti ini juga pastinya akan menjejaskan prestasi atlet kerana mereka tidak dapat memberikan perhatian serius terhadap latihan disebabkan terlalu memikirkan nasib yang bakal dialami apabila setiap kali menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih terbabit. Tindakan jurulatih umpama harapkan pegar, pegar makan padi seperti ini bukan saja merosakkan masa depan atlet malah menjejaskan prestasi sukan negara.

Di samping itu, pendedahan demi pendedahan seperti ini juga boleh menjejaskan semangat dan motivasi individu yang memasang impian untuk menjadi atlet negara. Golongan muda yang mengikuti perkembangan kes seperti ini pastinya tertanya-tanya apa jaminan keselamatan mereka jika terpilih untuk mewakili negara suatu hari kelak. Bukankah ini boleh membunuh sama sekali segala impian dan cita-cita mereka untuk bergelar atlet serta menyumbang khidmat bakti kepada negara.

Pada masa sama, ibu bapa juga akan lebih berhati-hati, malah tidak keterlaluan untuk dikatakan kes seperti ini boleh menyebabkan ibu bapa tidak mahu lagi menggalakkan mahupun membenarkan anak-anak mereka menceburi bidang sukan. Sudah tentu dalam hal ini keselamatan dan maruah diri anak akan menjadi keutamaan ibu bapa berbanding membenarkan mereka menjadi atlet dan berhadapan risiko gangguan seksual.

Walaupun bukan semua jurulatih bertindak seperti ini, namun beberapa pendedahan yang telah dibuat selama ini membuktikan ia satu masalah yang cukup serius yang sedang mencengkam dunia sukan tanah air. Jujurnya, tingkah laku beberapa individu jurulatih yang tidak bertanggungjawab seperti ini mencetuskan persepsi dan pandangan negatif anggota masyarakat umpama kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Oleh itu, demi keselamatan diri dan maruah atlet, demi meyakinkan ibu bapa tentang keselamatan anak-anak mereka serta demi kemajuan sukan negara, isu gangguan seksual ini perlu dinoktahkan segera. Dalam konteks ini, pihak terlibat perlu memberi perhatian terhadap inisiatif dan langkah untuk mencegah daripada berlaku dan bukannya hanya mampu mengambil tindakan selepas sesuatu kejadian didedahkan.

Misalnya, perlu dibuat tapisan yang sewajarnya tentang latar belakang serta tingkah laku seseorang individu yang hendak dilantik sebagai jurulatih, khususnya kepada atlet wanita. Mudahnya, jangan lantik hanya berdasarkan pengalaman, kelayakan serta kemahiran dalam bidang sukan tersebut semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi penilaian pelbagai aspek peribadi yang lain kerana jurulatih adalah individu paling rapat dan kerap berhubungan dengan atlet. Kita mahukan jurulatih yang bertindak sebagai ibu bapa dan penjaga atlet.

Di samping itu, atlet juga perlu diberikan pendedahan dan kesedaran tentang ciri-ciri gangguan seksual yang boleh berlaku agar mereka mempunyai pengetahuan jelas tentang isu. Hal ini penting kerana tanpa pengetahuan yang betul, atlet tidak sedar sesuatu perbuatan yang dibuat oleh jurulatih itu sebenarnya boleh dikategorikan sebagai gangguan seksual.

Semoga kes terbaharu ini membuka mata semua pihak tentang betapa seriusnya isu gangguan seksual dalam arena sukan tanah air. Cukuplah yang didedahkan, kita tidak mahu ada lagi atlet menjadi mangsa.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2022 @ 7:00 AM