AHMAD Faizal sedia ambil tindakan tegas.
AHMAD Faizal sedia ambil tindakan tegas.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dengan isu lucah atau gangguan seksual biarpun ia hanya sekadar gurauan.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas kepada pihak terbabit kerana boleh mengancam keselamatan dan kebajikan atlet negara.

Katanya, gurauan rogol atau berunsur seksual tidak boleh dianggap sebagai bahan gurauan atau jenaka.

"Gurauan berkenaan rogol atau berunsur seksual tidak boleh diterima sama sekali dalam apa jua keadaan. Apa yang menjadi keutamaan saya dan pihak KBS Malaysia adalah keselamatan dan kebajikan atlet kita," katanya dalam laman sosial Facebook.

Isu membabitkan gangguan seksual ini kembali menular apabila ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong memuat naik status di laman Twiternya bahawa dia pernah diganggu dengan gurauan lucah daripada seorang jurulatih.

Pandelela berpendapat kisah itu perlu diambil pengajaran kerana sukan negara memerlukan pemimpin terbaik yang mampu perbaiki kesalahan dan bukannya menutup mata kepada kejahatan.

Sebelum ini bekas perenang negara Cindy Ong turut sama berkongsi pekara yang sama diganggu oleh mereka yang berstatus jurulatih. Selain Cindy, seorang lagi bekas perenang yang mendakwa mengalami gangguan dan serangan seksual selama bertahun-tahun ketika bergelar perenang negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 7:57 PM