Ferzalfie Fauzi


JAWATANKUASA khas bagi mengkaji isu gangguan seksual dan psikologi atlet, sukan berprestasi tinggi negara yang diketuai bekas Chef de Mission Sukan SEA 2017, Datuk Marina Chin (gambar) tidak menunggu lama bahkan sudah memulakan tugas berikutan kes berkenaan yang menjadi titik hitam di sebalik pencapaian hebat atlet negara tahun ini.

Menurutnya, jawatankuasa berkenaan akan memberi cadangan, mencari latar belakang apa yang berlau dalam sukan negara dan langkah-langkah yang boleh diambil sekiranya berlaku isu berkaitan gangguan seksual dan psikologi atlet.

“Sekarang kami masih lagi dalam proses (selepas atlet wanita negara didakwa dirogol jurulatih terjun dari China) dan kalau boleh mahu mengkaji sedalam-dalamnya isu ini,” kata Marina ketika ditemui media selepas melancarkan Majlis Sukan Kumpulan Habib hari ini.

Jelasnya, mereka harus melihat garis panduan dan prosedur yang betul kerana Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) juga menghadapi masalah yang sama.

“Kita memerlukan maklum balas dari persatuan sukan kebangsaan, untuk melihat apa kod etika dan prosedur yang mereka jalankan.

“Dalam pada itu kita cuba dapatkan persatuan negara, atlet, pengurus, jurulatih, ibu bapa untuk memperoleh maklum balas dari mereka. Selepas mendapat semua maklumat berkenaan barulah kita akan bincangkan dan menulisnya dalam bentuk laporan,” kata Marina.

Marina yang juga bekas pengetua Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), mengakui bahawa perkara seperti ini berlaku di peringkat Olimpik dengan membabitkan beberapa negara yang dianggap kuasa besar sukan dunia.

“Ia berlaku di England dan Amerika Syarikat. Pasukan gimnastik Amerika Syarikat tidak menyembunyikan perkara-perkara seperti ini dan memaklumkan kepada umum.

“Jadi untuk kes terbaru ini, kita masih lagi dalam proses untuk melihatnya secara mendalam,” katanya yang juga bekas atlet olahraga negara.

Jumaat lalu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas ini melalui satu kenyataan media dengan harapan ia dapat menambah baik kelemahan dan penyelesaian masalah gangguan seksual dan psikologi membabitkan atlet negara untuk jangka masa panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 1:16 PM