GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Membuat panggilan video lucah sebelum bertindak mengugut mangsa, sindiket dari Indonesia dikesan aktif menjalankan kegiatan itu menggunakan media sosial dan platform lain.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata polis daerah ini membuka tiga kertas siasatan berhubung kes pemerasan menggunakan panggilan video lucah bulan ini.

Menurutnya, ia membabitkan tiga mangsa lelaki berusia antara 19 hingga 23 tahun dengan anggaran kerugian setakat ini berjumlah lebih RM1,000.

Katanya, sindiket berkenaan menggunakan media sosial seperti Facebook, Wechat, Michat dan platform lain.

"Kes pertama dilaporkan pada 18 Disember lalu apabila mangsa berkenalan seorang wanita menggunakan nama akaun 'Dendrra' menerusi laman Facebook.

"Mereka kemudiannya membuat komunikasi lucah sebelum suspek memaparkan gambar bogelnya untuk menarik perhatian dan mangsa turut berbuat demikian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Zaidi berkata, kes kedua dilaporkan berlaku pada 22 Disember lalu apabila mangsa menerima pesanan mesej melalui aplikasi MiChat.

Katanya, suspek kemudian membuat panggilan video melalui aplikasi WhatsApp sebelum berlaku sesi berbogel antara mereka.

"Kes ketiga pula dilaporkan berlaku pada hari yang sama apabila mangsa berkenalan dengan seorang menerusi laman Facebook atas penama Fanesa Aprilia.

"Suspek yang kemudiannya berhubung menggunakan aplikasi WhatsApp kemudiannya mengajak mangsa untuk melakukan onani.

"Semua mangsa yang terpedaya tidak menyedari aksi tidak senonoh mereka dirakam sebelum diugut untuk memberikan wang," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan taktik sindiket yang memperdayakan mangsa menggunakan modus operandi seperti tiga kes berkenaan.

Katanya, sindiket itu mengugut mangsa untuk membuat pemindahan wang menggunakan video yang dirakam ketika sesi panggilan video sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 4:33 PM