FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Syarifah Dayana Syed Bakri

Pandemik Covid-19 yang sudah melebihi dua tahun ternyata membawa pelbagai masalah. Selain isu kesihatan, ia juga menyebabkan sesi persekolahan tergendala di seluruh dunia.

Mana-mana kerajaan di dunia pastinya tidak mahu menutup sekolah terlalu lama kerana ia jelas mengganggu proses pembelajaran khususnya kanak-kanak di peringkat rendah.

Namun, ada masanya peraturan perlu diubah mengikut kesesuaian semasa.

Disebabkan bosan dengan polisi yang kerap berubah, guru di Perancis mengadakan mogok selepas kecewa dengan kerajaan yang dikatakan gagal melaksanakan polisi bersesuaian untuk sekolah dalam menguruskan pandemik Covid-19 dan melindungi kakitangan dan murid daripada jangkitan.

Reuters melaporkan, guru, ibu bapa dan pentadbiran sekolah berdepan kesukaran selepas pengumuman keperluan menjalankan ujian yang baru diumumkan sebelum tamat cuti Krismas dan dipinda sebanyak dua kali.

Ia menyebabkan guru terbeban dan keletihan menguruskan perkara di luar bidang tugas mereka.

Kesatuan guru SE-UNSA juga berpandangan bahawa kerajaan serta menteri bertanggungjawab sepenuhnya ke atas keadaan huru-hara yang berlaku dek protokol yang sentiasa berubah sehingga tiada jaminan sekolah dapat berfungsi dengan baik.

Bukan saja di Perancis, saya yakin kebanyakan sekolah di seluruh dunia juga berdepan masalah sama.

Tetapi, di satu sudut dunia, terdapat negara yang tidak pening kepala berdepan sebarang perubahan sejak Covid-19 dikesan lebih dua tahun lalu kerana ia membuat keputusan untuk menutup sekolah.

AFP melaporkan, selepas dua tahun, Uganda membuka semula sesi persekolahan.

Menteri Pendidikan, John Muyongo berkata, semua pelajar akan menyambung semula kelas secara automatik dengan memasuki darjah berikutnya ketika persekolahan dihentikan dalam tempoh itu.

Kira-kira 15 juta murid tidak bersekolah di Uganda sejak Mac 2020, apabila bilik darjah ditutup ketika Covid-19 melanda dunia.

Bagaimanapun, tindakan berkenaan mendapat kritikan kumpulan hak asasi kanak-kanak yang menyifatkan kanak-kanak ketinggalan terlalu jauh dalam pelajaran.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) menggesa agar sekolah tetap dibuka untuk kanak-kanak di mana saja bagi memastikan mereka terus mendapat akses kepada pendidikan.

Badan amal, Save The Children pula berpandangan bahawa pelajar akan berjuang untuk kembali menyesuaikan diri selepas ketinggalan jauh dan mungkin terdapat kadar keciciran yang tinggi dalam beberapa minggu akan datang jika tiada campur tangan segera dalam menyokong golongan itu.

Keadaan sama turut berlaku di Malaysia di mana kanak-kanak mungkin berdepan keciciran kerana gagal menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) berikutan penularan Covid-19.

Berita Harian melaporkan Pakar Pendidik dari Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berpandangan ramai murid khususnya di peringkat tahun satu dan tahun dua berdepan masalah itu yang memerlukan perhatian serius.

Katanya, ia secara tidak langsung menyebabkan mereka berdepan masalah pembelajaran pada masa akan datang.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu segera membangunkan Pelan Pemulihan Pendidikan Negara bagi memastikan masalah keciciran pendidikan dapat dipantau dan diselesaikan segera serta mencadangkan agar pembangunan pengajaran hibrid berasaskan internet dan teknologi maklumat ditambah baik.

Dr Anuar berkata, Menteri Kanan Pendidikan sendiri mengaku di Dewan Rakyat bahawa pencapaian pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sejak 2020 adalah sederhana saja.

Katanya, masih ramai murid tidak hadir PdPR sepanjang 2020 dan 2021 khususnya di kawasan pedalaman, luar bandar atau murid daripada keluarga miskin di bandar.

Ahli keluarga saya ada yang bergelar guru dan mengajar pelajar tingkatan lima. Katanya, ada pelajar yang sudah mula bekerja dan hanya menghadiri PdPR sekadar buat syarat saja.

Kerja yang diberi tidak dibuat, kerana bekerja lebih penting untuk membantu keluarga.

Jika ditanya guru, pasti ada 1,000 kisah kenapa murid tidak hadir PdPR. Tolak tepi kisah budak terlebih manja, pasti ada jiwa yang mahu fokus kepada pelajaran tetapi faktor di luar kawalan menyebabkan mereka terpaksa mengalah.

Mungkin berkongsi telefon pintar dengan adik-beradik lain? Mungkin telefon pintar si ayah perlu guna untuk kerja? Atau mungkin juga tiada langsung telefon pintar dalam keluarga mereka?

Memasuki tahun 2022, semoga urusan anak-anak di seluruh dunia yang gigih menuntut ilmu dan guru-guru yang ikhlas mencurahkan ilmu ini dipermudahkan.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 6:15 AM