GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka 1 September ini dilihat tidak wajar dan membahayakan nyawa.

Pandangan itu diluahkan aktivis pendidikan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berpandangan kes jangkitan harian masih menunjukkan peningkatan mendadak dan di paras lima angka, pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) adalah yang terbaik dan perlu diteruskan.

Aktivis pendidikan Prof Madya Dr Zuraidah Abdullah berkata, status terkini Covid-19 pada hari ini yang semakin meningkat menyebabkan pembukaan sekolah pada 1 September ini wajar ditangguhkan.

"Namun begitu KPM boleh merancang dan merangka pembukaan sekolah ini secara berperingkat-peringkat.

"KPM boleh merangka sesi persekolahan berdasarkan status persekitaran kesihatan sekolah berdasarkan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Sebagai contoh bagi negeri yang berada pada fasa empat dicadangkan supaya sekolah dibuka kepada guru dan pelajar tingkatan 4 dan 5 untuk menghadiri pembelajaran secara bersemuka dengan memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat," katanya kepada Harian Metro.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan, Pentadbiran, Perancangan dan Dasar Pendidikan Universiti Malaya (UM) berkata, bagi negeri yang berada pada fasa tiga, pihak KPM boleh memberi peluang kepada ibu bapa memilih sama ada anak mereka yang akan menghadapi peperiksaan SPM dan STPM untuk hadir ke sekolah.

"Manakala bagi fasa satu dan dua PPN, kekal meneruskan pembelajaran murid dengan PdPR yang dirancang sekolah dan guru.

"KPM dan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu bekerjasama dalam menentukan sekolah dibuka semula," katanya.

Zuraidah berkata, apa yang penting semua pihak perlu memberi kepentingan terhadap nyawa anak-anak dan kesihatan rakyat Malaysia.

"Walaupun, terdapat pandangan pakar kesihatan yang mengatakan tidak ramai kanak-kanak dijangkiti Covid-19 namun mereka ini menjadi pembawa kepada penularan wabak ini ke rumah.

"Ya, ramai mengatakan PdPR kurang memuaskan tetapi bagi saya setidak-tidaknya KPM berusaha dan guru juga mengambil pelbagai inisiatif untuk membantu murid-muridnya melalui banyak inovasi yang dilakukan sekolah," katanya.

Selain itu, pendapat sama turut disuarakan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Alif Anas Md Noor yang menggesa KPM menangguhkan sesi PdP secara bersemuka, 1 September ini.

"Memandangkan ramai daripada mereka khusus pelajar yang akan mengambil peperiksaan belum divaksin, ini adalah masa yang tidak sesuai.

"Kita lihat kajian kes di England, ramai pelajar walaupun sudah mendapat vaksin terpaksa dirawat di hospital kerana varian Delta.

"Paling merisaukan kita, unjuran kes diramal KKM akan mencapai tahap kemuncak penularan pada pertengahan September dengan 24,000 kes positif sehari," katanya.

Alif Anas berkata, selain itu, varian Delta lebih berbahaya dan mengganas selain kerisauan akan kemasukan varian Lambda.

"Pada masa sama kadar vaksinasi kita belum mencapai sasaran imuniti kelompok kebangsaan dan masih ramai guru sekolah juga belum lengkap suntikan vaksin.

"Walaupun murid adalah golongan berisiko rendah, tetapi jika dijangkiti boleh menjadi pembawa kepada keluarga," katanya.

KPM dalam kenyataan pada 17 Julai lalu, memaklumkan sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 September ini, manakala PdPR diteruskan sehingga 31 Ogos.

Keputusan itu selepas mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 serta hasil perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 3:54 PM