MENELITI semula kurikulum sedia ada khususnya pelajar yang mengalami gangguan semasa pandemik Covid-19 antara langkah terbaik yang diambil jika membabitkan keciciran pembelajaran. - Gambar hiasan
MENELITI semula kurikulum sedia ada khususnya pelajar yang mengalami gangguan semasa pandemik Covid-19 antara langkah terbaik yang diambil jika membabitkan keciciran pembelajaran. - Gambar hiasan
Suliati Asri

Terdapat pelbagai perspektif dalam memberi definisi sebenar berkaitan keciciran murid. Ada takrifan dibuat merujuk kepada  keciciran pembelajaran atau keciciran pendidikan.

Maka dalam konteks pendidikan, fokus tidak seharusnya diberikan kepada keciciran pendidikan semata-mata sebaliknya ia perlu juga memberi penekanan kepada keciciran pembelajaran.

Justeru, apabila berbicara mengenai kajian yang dilakukan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai terdapat 100,000 pelajar keciciran, Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Dr Mohd Nazri Abdul Rahman berkata, isu itu lebih memberi fokus kepada 'keciciran pendidikan' yang tercicir daripada sistem arus perdana.

Menurutnya angka itu lebih merujuk kepada keciciran murid keseluruhannya iaitu keciciran pembelajaran, keciciran pendidikan wajib dan keciciran pendidikan selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Maka, punca dan sebab perlu diteliti secara berasingan serta ia tidak boleh dirangkumkan secara bersama kerana setiap satu bentuk keciciran ini memerlukan tindakan yang berbeza mengikut puncanya.

"Jika keciciran pendidikan, maka perlu diteliti puncanya. Mungkin kini ia mencatatkan angka yang tinggi disebabkan kesan pandemik Covid-19 yang berlarutan atau desakan ekonomi.

"Jika keciciran pembelajaran, mungkin punca utama adalah bebanan kurikulum dan kesan sekolah ditutup serta keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran Dirumah (PdPR) untuk anak-anak yang tidak dapat mengaksesnya.

"Untuk keciciran membabitkan pembelajaran selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula, mungkin  perlu diteliti semula program-program yang ditawarkan di universiti serta kebolehpasaran graduan selepas pengajian di universiti.

"Justeru, untuk menghukum dan menyatakan bahawa punca keciciran pendidikan ini daripada satu isu adalah tidak adil khususnya yang membabitkan prospek pendidikan dalam zaman digital hari ini, di mana pendidikan boleh berlaku secara terbuka dalam persekitaran yang pelbagai," katanya.

Dr Mohd Nazri berpendapat, satu tindakan proaktif khususnya melalui 'Taskforce' untuk menilai, meneliti dan mengkaji isu serta permasalahan ini secara lebih menyeluruh bagi mendapatkan punca sebenar bagi setiap bentuk keciciran ini.

Ini kerana katanya, selepas satu sesi persekolahan, sesi pengajian di kolej dan universiti berlangsung secara fizikal selepas pandemik Covid-19, kesan dan impak kepada sistem pendidikan sudah pasti dapat dinilai secara jelas khususnya data-data berhubung keciciran pendidikan dan keciciran pembelajaran.

"Seterusnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pemegang taruh perlu bersama membangunkan pelan pemulihan pendidikan berdasarkan kepada isu dan permasalahan ini kerana ia dilihat semakin meruncing jika berlarutan.

"Ini belum mengambil kira pendidikan untuk anak-anak minoriti seperti Orang Asli, anak jalanan dan lain-lain. Jika ini ditambah, mungkin angkanya akan lebih besar lagi," katanya.

Dr Mohd Nazri berkata, bagi memastikan perkara ini tidak berlarutan, cadangan atau inisiatif terbaik adalah dengan memperincikan bentuk keciciran itu kerana tindakan tidak sama.

BEBANAN kurikulum dan terdapat anak-anak yang tidak dapat mengakses PdPR turut menjadi kemungkinan punca keciciran. - Gambar hiasan
BEBANAN kurikulum dan terdapat anak-anak yang tidak dapat mengakses PdPR turut menjadi kemungkinan punca keciciran. - Gambar hiasan

Namun menurutnya, jika berkaitan dengan keciciran pendidikan selepas SPM, ada baiknya kursus-kursus pengajian di universiti dapat ditawarkan secara 40 hingga 50 peratus dalam talian manakala selebihnya sahaja yang memerlukan kehadiran fizikal dilaksanakan.

"Perkara ini perlu kerana dalam persekitaran pembelajaran hari ini, langkah ini dilihat sesuai dilaksanakan khususnya untuk melebarkan lagi peluang pendidikan sepanjang hayat.   

"Tambahan pula, ini memberi peluang kepada lebih ramai pelajar yang mengalami desakan ekonomi berpeluang meneruskan pengajian sambil bekerja dan hanya berada di universiti untuk masa-masa tertentu sepenuh masa," katanya.

Jika keciciran pembelajaran pula, antara langkah terbaik yang wajar diambil kata Dr Mohd Nazri ialah dengan meneliti semula kurikulum sedia ada khususnya kepada anak-anak yang mengalami gangguan pandemik Covid-19.

"Semakan kurikulum ini bukan sekadar menganjalkan kurikulum terbabit sebaliknya perlu diteliti semula hasil pembelajaran yang perlu dikuasai setiap anak-anak mengikut tahap.

"Ini kerana hari ini kita hanya menganjalkan kurikulum selepas Covid-19 tetapi tidak mengambil kira impak yang dialami anak-anak ini di mana akhirnya mereka masih mengikuti kurikulum yang sama," katanya.

Sementara itu, Pengarah Akademik dan Antarabangsa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Abdul Rahim Razalli berkata, dalam usaha mengurangkan masalah keciciran dalam kalangan murid, pihak kerajaan dan sekolah perlukan memainkan peranan secara proaktif.

Katanya, pembabitan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) juga harus diperkasakan melalui kerjasama dan aktiviti yang membabitkan pihak sekolah serta ibu bapa.

"Dalam konteks pendidikan khususnya murid sekolah pula, usaha yang boleh dilakukan adalah menerusi pendekatan bersepadu membabitkan kerjasama antara kementerian.

"Langkah ini perlu kerana ia membabitkan pembinaan generasi akan datang terutama peluang dan bidang pekerjaan masa hadapan," katanya.

Satu sistem data raya juga, kata Drof Dr Abdul Rahim, perlu diwujudkan bagi mengenal pasti dan melaksanakan intervensi awalan gejala keciciran khususnya membabitkan keciciran sengaja dan paksa.

Menurutnya, data itu diperlukan untuk tujuan tindakan intervesi awalan berdasarkan demografi seperti kaum, lokasi, pendapatan, dan jenis sekolah dijadikan indikator mengukur tahap keciciran murid.

"Bagi tujuan menarik minat, motivasi dan kehadiran pelajar mengikuti kelas di bilik darjah, guru harus meneroka kaedah, teknik, aktiviti dan bahan bantu mengajar yang sesuai dengan era murid masa kini.

"Manakala keciciran dalam pembelajaran dapat diatasi dengan memperkasakan pengendalian Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) terutamanya dalam menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira) sebagai asas untuk menguasai ilmu-ilmu dalam mata pelajaran daripada peringkat sekolah rendah hingga menengah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 7:00 AM