GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Pemimpin dan kepemimpinan selalunya difahami dalam konteks politik semata-mata. Ia lebih kepada maksud seseorang yang diiktiraf oleh satu atau lebih daripada seorang, apabila pemimpin itu mempunyai pengaruh, berwibawa dan mempunyai kuasa.

Berlaku sama ada dalam jangka panjang atau pendek dalam situasi tertentu.

Namun, apabila merujuk kepada kepemimpinan dalam Islam sebagaimana disebutkan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: "Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah kamu; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anaknya dan pimpinannya; dan khadam adalah diamanahkan terhadap harta tuannya serta akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya." (Riwayat Bukhari)

Jelaslah bahawa setiap orang adalah pemimpin. Bermula daripada memimpin keluarga sehinggalah kepada memimpin sebuah negara. Sama ada menjadi pemimpin secara individu ataupun dalam satu organisasi yang lebih besar, sehinggalah seorang khadam juga pemimpin kerana dia bertanggungjawab terhadap harta tuannya.

Konsep asas yang ditegaskan oleh Baginda Rasulullah SAW ialah tanggungjawab terhadap mereka yang dipimpin. Sebagai lelaki (bapa) adalah bertanggungjawab atas kepemimpinannya terhadap keluarganya. Sebagai perempuan (isteri) pula, maka dia bertanggungjawab atas tugasnya terhadap suami dan anak-anaknya. Adapun seorang pekerja (khadam) pula, dia akan dipertanggungjawabkan atas harta dan keselamatan tuannya.

Dalam konteks negara, pemimpin dipilih melalui sistem demokrasi dalam pilihan raya. Semua warganegara yang berkelayakan akan memilih wakil mereka sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) ataupun Parlimen. Pemimpin yang dipilih melalui sistem pilihan raya akan bertanggungjawab terhadap rakyat di dalam kawasannya bertanding. Oleh itu, janganlah dipandang hanya kepada kelebihan dunia yang diperoleh sebagai pemimpin, tetapi akibat yang akan ditanggung di akhirat nanti jika tidak mampu menunaikan amanah.

Kisah anak perempuan Nabi Syu'aib AS ketika memperakukan kepada bapa mereka tentang akhlak Nabi Musa AS adalah pedoman kita dalam memilih pemimpin terbaik. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah." (Surah al-Qasas, ayat 26)

Dalam ayat di atas, Allah SWT menjelaskan dua sifat utama yang mesti ada kepada pemimpin yang dipilih ialah keupayaan dan sifat amanah. Keupayaan (kekuatan) bermaksud keupayaan seseorang pemimpin itu dalam bidang atau skop kepemimpinannya. Contohnya, jika pemimpin bidang teknologi maka hendaklah dipilih seorang yang mempunyai pengetahun, mahir atau pakar dalam bidang itu. Itulah tanda aras keupayaannya untuk memimpin dalam bidang tersebut. Manakala, dalam memimpin masyarakat secara umumnya, pilihlah pemimpin yang paling berkelayakan dan berkemampuan secara holistik.

Sifat amanah pula akan menjamin kepemimpinannya tidak menyeleweng daripada bidang kuasanya. Malah, dia akan berlaku adil sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat." (Surah al-Nisa', ayat 58)

Peringatan Allah SWT dalam ayat di atas menjelaskan kepada kita betapa pentingnya sifat amanah pemimpin. Malah, jika tidak amanah akan membawa kepada akibat buruk kepada diri sendiri dan boleh membawa kemusnahan kepada negara. Nabi SAW menggambarkannya sebagai kehancuran dalam sabda Baginda: "Apabila manusia telah mengabaikan amanah maka nantikanlah saat kehancuran." Maka orang pun bertanya: Bagaimana amanah itu diabaikan wahai Rasulullah? Baginda bersabda: "Apabila diserahkan urusan (tanggungjawab) kepada bukan ahlinya maka nantikanlah saat kehancuran." (Riwayat Bukhari)

Seseorang yang dipilih sebagai pemimpin hendaklah memiliki keupayaan dan sifat amanah sebagaimana dinyatakan di atas. Apatah lagi jika dilantik pula sebagai menteri atau orang yang bertanggungjawab terhadap sesuatu tugas khusus. Contohilah Nabi Yusuf AS ketika dilantik menjaga perbendaharaan negara. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Yusuf berkata: "Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya." (Surah Yusuf, ayat 55)

Peringatan Rasulullah SAW kepada seorang pemimpin yang tidak mampu memimpin urusan dengan baik amatlah berat. Bahkan, tidak akan masuk syurga bersama mereka. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Pemimpin yang menguasai urusan Muslimin, tetapi tidak bersungguh-sungguh memerhatikan kepentingan kaumnya, tidak nasihat menasihati demi kebaikan dan kesejahteraan mereka, kelak dia tidak dapat masuk syurga bersama-sama mereka." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Oleh itu, berusahalah menjadi pemimpin yang baik. Di samping berdoa agar mendapat ikutan (rakyat) yang bertakwa. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri dan zuriat keturunan kami: perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu) bertaqwa." (Surah al-Furqan, ayat 74)


Penulis Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan (UM), Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 6:00 AM