DONALD Trump. FOTO fail AFP
DONALD Trump. FOTO fail AFP
AFP

Washington: Donald Trump dijangka melakukan pengumuman untuk merebut peluang kembali ke jawatan Presiden untuk 2024, minggu depan, kata penasihat lamanya, Jason Miller.

Bekas presiden itu yang akan berusia 78 tahun apabila pilihan raya akan datang, membayangkan satu lagi perebutan jawatan Presiden ketika berkempen untuk calon Parti Republikan menjelang pilihan raya pertengahan, minggu ini dan berkata, beliau akan membuat "pengumuman yang sangat besar" pada Selasa.

"Presiden Trump akan mengumumkan pada Selasa dia bertanding untuk presiden," Miller memberitahu bekas pembantu, Trump Steve Bannon pada podcast, War Roomnya yang popular.

"Ia akan menjadi pengumuman yang sangat profesional," tambahnya.

Miller berkata, Trump memberitahunya, "tidak perlu ada sebarang soalan, sudah tentu saya bertanding."

Pencalonan Trump akan menandakan percubaan ketiganya untuk jawatan presiden, termasuk kekalahannya kepada Joe Biden pada 2020.

Selepas itu dia mempromosikan dakwaan penipuan yang tidak berasas, termasuk yang membawa kepada rusuhan yang tidak pernah berlaku sebelum ini di bangunan Capitol di Washington.

Pengumuman besar Trump di Florida dibuat selepas keputusan mengecewakan untuk beberapa calon yang disokongnya pada pilihan raya pertengahan penggal.

Beberapa pilihan beliau kehilangan kerusi Republikan kepada Demokrat.

Di Pennsylvania, Demokrat merampas kerusi Senat AS yang sangat berharga dengan serangan berterusan terhadap doktor selebriti yang disokong Trump, Mehmet Oz, yang tidak pernah memegang jawatan awam sebelum ini dan kebanyakannya tinggal di New Jersey.

Trump berharap, dapat melakukan 'gelombang merah' Republikan untuk satu lagi pemilihan presiden buatnya, namun parti itu mencapai kemenangan yang jauh lebih kecil daripada diramalkan.

Dengan 211 kerusi setakat ini, Republikan kelihatan bersedia untuk memperoleh majoriti tipis dalam 435 kerusi Dewan Perwakilan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 10:25 AM