FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Riadz Radzi


LUSA umat Islam akan mula berpuasa. Bagaimanapun, berikutan penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, kita bakal menyambut Ramadan dalam situasi yang cukup berbeza.

Ia sesuatu yang kita tidak pernah alami selama ini. Tiada solat Tarawih di masjid dan surau, tiada Bazar Ramadan, malah kita juga tidak dibenarkan pulang ke kampung untuk menyambut Ramadan bersama keluarga tersayang.

Malah, idea awal mengadakan E-bazar Ramadan menerusi kaedah pandu lalu serta ‘bungkus dan ambil’ makanan juga tidak dibenarkan.

Bukan itu saja, PKP yang memasuki fasa ketiga bermula 15 April hingga 28 April ini juga menidakkan kita untuk menikmati juadah bufet Ramadan di hotel dan berbuka puasa beramai-ramai di mana-mana restoran kegemaran.

Malah, tahun ini kita mungkin tidak dapat merasai kemeriahan persiapan Aidilfitri. Lokasi membeli baju raya popular antaranya Masjid India, Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di Kuala Lumpur, Bangi Sentral di Bandar Baru Bangi dan Seksyen 7, Shah Alam pastinya sunyi tidak seperti tahun-tahun sebelum ini.

Apatah lagi kawasan sekitar Masjid India dan Jalan TAR kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di situ. Berani nak ke situ?

Mahu tidak mahu, suka atau tidak, ini yang kita perlu hadapi. Yang pasti, kita perlu menghadapi new normal atau kebiasaan baru. Ramadan dan Aidilfitri tahun ini adalah new normal paling ketara.

Namun, semua yang berlaku ini ada hikmah dan sebabnya. Jangan terlalu negatif, janganlah marah apabila tidak dapat pulang ke kampung dan janganlah berputus asa apabila tidak dapat berniaga di bazar Ramadan.

Banyak perkara positif khususnya buat umat Islam untuk melalui Ramadan dalam tempoh pelaksanaan PKP ini. Yang pasti, inilah masanya untuk kita ‘kembali’ bersama keluarga di bulan yang mulia ini.

Dalam Ramadan sebelum ini, berapa kali kita berbuka puasa bersama anak-anak? Tidak dinafikan mungkin ada yang tidak sampai 10 kali kerana sibuk bekerja atau perlu menghadiri undangan berbuka puasa di luar atas kapasiti kerja.

Jadi, inilah masanya untuk ‘membayar’ kembali ‘hutang’ itu dengan anak-anak.

Arahan tidak membenarkan solat Tarawih di masjid dan surau juga boleh dimanfaatkan dengan mengerjakan solat itu bersama keluarga di rumah. Bagi golongan bapa, inilah masanya untuk menjadi imam solat Tarawih kepada isteri dan anak-anak yang selama ini mungkin tidak pernah dilakukan.

Selain itu, lebih banyak aktiviti kerohanian boleh dilakukan bersama keluarga di rumah. Membaca al-Quran satu juzuk setiap hari sepanjang bulan Ramadan adalah salah satu daripadanya. Ataupun sekurang-kurangnya satu helai setiap hari. Tiada masalah, bukan?

Industri hiburan antara yang terjejas teruk sepanjang tempoh ini. Tiada sebarang konsert atau persembahan artis, pawagam ditutup, penggambaran filem atau drama tidak dibenarkan atau perlu ditunda.

Kebiasaannya apabila ditemu bual mengenai aktiviti mereka sepanjang Ramadan, sebahagian besar artis akan memberi jawapan mereka akan mengurangkan aktiviti kerjaya kerana mahu memberi tumpuan terhadap ibadah puasa.

Maksudnya, setiap tawaran persembahan atau lakonan tidak akan diambil sepanjang Ramadan, malah ada yang bercuti sehingga Aidilfitri.

Nampaknya inilah masanya paling sesuai buat mereka menunaikan apa yang selalu diperkatakan setiap kali menjelang Ramadan itu. Duduk rumah dan fokus dengan ibadah puasa.

Dalam pada itu, walaupun kes positif Covid-19 mencatatkan dua angka sejak beberapa hari lalu, ia bukanlah tiket untuk kita sesuka hati melanggar arahan PKP. Ia penting bagi membantu usaha meratakan lengkuk kes positif Covid-19 yang kini terus dijalankan.

Perang melawan virus Covid-19 tidak memerlukan kita mengangkat senjata, berjuang di medan perang atau hidup dalam serba kekurangan. Untuk menjadi wira dalam perang ini, kita hanya perlu duduk di rumah dan jaga kebersihan. Itu saja!

Janganlah berangan nak pulang ke kampung. Baru-baru ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polis akan menambah sekatan jalan raya di seluruh negara bagi memastikan kawalan pergerakan dapat dipertingkatkan berikutan ada ura-ura orang ramai ingin balik ke kampung untuk menyambut Ramadan.

Tak kiralah anda rakyat biasa atau pemimpin, semuanya tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

Dalam masa sama, kita juga perlu bersedia untuk tidak menyambut Aidilfitri tahun ini seperti biasa. Kemeriahan Aidilfitri yang akan disambut 32 hari dari hari ini pastinya berbeza. Namun, itulah new normal yang kita perlu hadapi hari ini.

Siapa sangka, tahun 2020 yang kita nanti-nantikan selepas Perdana Menteri keempat dan ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Wawasan 2020 pada 1991, ini yang akan kita hadapi.

Jadi, buat masa ini duduklah di rumah.

Penulis Pengarang Hiburan Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 8:28 AM