GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohd Rizal Azman Rifin

SATU peringatan yang pernah disuarakan Rasulullah SAW seperti terkandung dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Betapa banyak orang yang berpuasa (tetapi) tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya selain rasa lapar dan dahaga belaka.”

Perkara sedemikian terjadi kepada orang yang berpuasa disebabkan ada sebilangannya tidak menghiraukan adab serta etika berpuasa.

Alangkah baiknya kita sentiasa berusaha menjadikan ibadat puasa Ramadan kali ini yang terbaik iaitu menepati kehendak yang sudah diaturkan buat diri kita.

Banyak berlaku dalam masyarakat kita juga apabila masuk bulan Ramadan, mereka sanggup menahan lapar dan dahaga, tetapi ibadat solat fardu diabaikan.

Sikap seperti itu sudah pasti tidak akan memberikan sebarang makna di sisi Allah SWT.

Selain itu, terdapat juga yang tidak dapat membezakan Ramadan dengan bulan-bulan yang lain. Mereka anggap berpuasa hanya menahan lapar dan dahaga semata-mata.

Hal itu sepatutnya diperbetulkan kerana Ramadan adalah bulan yang mempunyai adab dan tertibnya.

Orang yang sedang menunaikan perintah Allah SWT dengan berpuasa perlu memelihara dan menjaga keperibadian diri seperti tidak mengumpat, bercakap kosong, menghina orang lain atau mengeluarkan kata-kata berunsur fitnah.

Semua itu adalah perbuatan terlarang ketika berpuasa.

Malah, jika dihayati sedalam-dalamnya, perbuatan itu juga adalah larangan Allah SWT sepanjang masa tanpa terhad kepada bulan Ramadan sahaja.

Perbuatan harian lain yang lazim dilakukan adalah berbelanja secara boros semata-mata mahu memenuhi kehendak selera ketika berbuka mahupun ketika bersahur.

 Seolah-olah puasa pada bulan Ramadan adalah pesta makan. Falsafah ibadat puasa adalah untuk mendidik kita supaya sentiasa hidup dalam kesederhanaan.

Tidak tepat apabila selepas seharian menahan peritnya rasa lapar dan dahaga, waktu berpuasa dijadikan medan balas dendam untuk makan dan minum semahunya.

Ia sangat berlawanan dengan intipati pendidikan dalam bulan Ramadan. Selain itu, Ramadan juga sinonim dengan gelaran bulan al-Quran.

Sepanjang Ramadan ini, aktiviti bertadarus dan membaca al-Quran tidak dapat dipisahkan.

Masing-masing tidak mahu ketinggalan meraih ganjaran pahala besar di sisi-Nya dengan membaca al-Quran.

Ada juga dalam kalangan umat Islam masih bersikap acuh tidak acuh dengan amalan itu, sebaliknya tetap memenuhi ‘selera’ mata menonton siaran televisyen.

Bulan Ramadan ini juga tidak boleh bersikap malas dan sentiasa mahu melebihkan aktiviti tidur.

Atas alasan penat dan mengantuk kerana tidak dapat makan dan minum seperti biasa, lantas tiada cara lain menghabiskan waktu melayan kehendak mata dengan tidur.

Bagaimanapun, tidak bermakna kita tidak boleh tidur pada siang hari kerana Rasulullah SAW juga pernah memberitahu bahawa tidur orang berpuasa itu adalah ibadat.

Namun persoalannya, tidur yang biasa kita lakukan hanyalah sekadar mahu menghabiskan waktu siang semata-mata, bukannya niat bangun malam untuk beribadat.

Ramadan juga adalah ‘saudara kembar’ dengan ibadat sunat solat Tarawih.

Inilah masanya ruang masjid dan surau dipenuhi jemaah. Namun, sedarkah kita fenomena lazim berlaku setiap tahun berhubung solat sunat Tarawih?

Sudah menjadi pandangan biasa, masjid dan surau dipenuhi jemaah pada awal Ramadan sahaja.

Sedangkan pada malam-malam selepasnya, ruang legar masjid dan surau mulai kosong khususnya ketika tinggal beberapa hari untuk menyambut Aidilfitri.

Orang lain berkemungkinan besar berada di pusat beli-belah bagi mempersiapkan diri dan ahli keluarga menyambut Aidilfitri.

Maka, sangat rugi sesiapa yang meninggalkan solat Tarawih walaupun statusnya hanya amalan sunat sahaja.

Solat Tarawih hanya ada pada bulan Ramadan sahaja. Justeru, apa salahnya kita berikan tumpuan sepenuhnya untuk tempoh selama sebulan ini untuk memperbanyakkan amal ibadat.

Kita tidak mengetahui sama ada masih berpeluang lagi untuk bertemu Ramadan pada tahun yang mendatang.

Mungkin ini Ramadan kali terakhir buat kita. Jadi, penuhi setiap saat ketika Ramadan untuk meraih sebanyak yang terdaya ganjaran pahala.

Antara amalan yang mungkin sedikit terabai ialah beriktikaf di masjid. Sedangkan amalan iktikaf di masjid ketika bulan Ramadan atau pada bulan lain sangat dianjurkan kepada kita.

Iktikaf di masjid bukan bererti kita mengasingkan diri daripada orang lain semata-mata kerana mahu fokuskan diri terhadap amal ibadat kepada Allah.

Seperti dijelaskan oleh seorang ulama terkenal iaitu Syeikh Soleh al-Uthaimin, beliau menyatakan, jika seseorang beriktikaf itu diperlukan untuk menyelesaikan hajat dan keperluan orang lain, maka pada ketika itu urusan berkenaan adalah lebih perlu diutamakan daripada terus beriktikaf.

Demikian beberapa kecuaian yang lazim kita lakukan mungkin tanpa sedar ketika berpuasa pada bulan Ramadan.

Kita wajib berusaha untuk menjadikan kualiti ibadat puasa kali ini dan tahun-tahun akan datang lebih baik dan sempurna.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 9:19 AM