SALINA akui sebati dengan watak sebagai anggota polis.
SALINA akui sebati dengan watak sebagai anggota polis.
Ridzuan Abdul Rahman


PELAKON Salina Saibi mengakui mendapat banyak tawaran berlakon drama lain ketika terbabit dengan drama bersiri kepolisan Gerak Khas (GK) terbitan Skop Productions.

Salina, 38, berkata, dia turut menerima tawaran dari syarikat produksi Indonesia, namun terpaksa menolak kerana mahu menumpukan perhatian kepada GK.

"Saya tak tahu kenapa saya setia dengan GK. Saya pun dah bertekad, kalau boleh saya nak bermula dan berakhir dengan drama popular ini.

"Itu membuatkan saya tolak banyak tawaran. Saya minta maaf kepada semua syarikat produksi terbabit. Apa boleh buat kerana saya nak berlakon dalam keadaan seronok dan mengaku gembira berlakon drama ini.

"Saya pun pernah berjanji dengan Datuk Yusof Haslam untuk kekal dalam GK sehingga menemui penamatnya," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia tidak menjangka Yusof mengekalkannya sehingga musim terakhir GK tahun ini yang dinamakan Gerak Khas The Finale.

"Mungkin Datuk suka watak, sikap dan disiplin saya, sehinggalah saya bertahan selama 15 tahun dalam drama ini.

"Ketika dengan Gerak Khas memang saya ada berlakon juga dengan produksi lain tapi jumlahnya tak banyak kerana lebih utamakan GK.

"Tambah lagi watak saya dikira antara watak utama cerita ini dan terbabit dalam keseluruhan episod. Saya memang suka watak ASP Salina dan karakternya," katanya.

RAKAN pelakon, Salina (kanan) bersama Errra Fazira yang beraksi dalam GK.
RAKAN pelakon, Salina (kanan) bersama Errra Fazira yang beraksi dalam GK.

Selain itu, Salina juga bersikap memilih watak kerana mahu menjaga integriti watak ASP Salina sendiri.

"Bagaimanapun saya ada juga terima tawaran berlakon cerita hantu dan watak-watak yang sesuai. Tapi saya pun sibuk menjalani penggambaran GK dan memang tiada masa untuk berlakon cerita lain.

"Sebabnya nanti saya juga yang penat kerana setiap hari 'shooting'. Sebelum kahwin memang okay kerana boleh ambil dua tiga tawaran serentak. Sekarang masa memang tak cukup.

"Saya hanya terbabit 'shooting' pada Isnin hingga Jumaat, manakala Sabtu dan Ahad diberikan cuti kerana menguruskan keluarga dan perniagaan sendiri," katanya.

Pemenang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) menerusi filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam itu menjual korset, produk kecantikan dan kesihatan serta kuih raya.

Dalam masa sama, isteri kepada Azmir Osman ini turut membesarkan dua anaknya iaitu Farah Syakira dan Farah Aqeela.

Biarpun GK sudah berakhir, Salina bersyukur kerana beberapa tawaran lain sudah menantinya.

"Insya Allah ada drama-drama yang dah menanti. Saya dapat tawaran berlakon untuk slot Samarinda dan Akasia. Terima kasih TV3 kerana membuka peluang.

"Sebenarnya orang tak tahu saya dah habis dengan GK. Apabila tahu, barulah mereka tawarkan berlakon.

"Maklumlah shooting untuk satu musim GK memakan masa yang panjang. Sekarang saya ada tiga projek drama. Insya Allah saya juga akan berlakon filem.

"Saya sekarang sedang fokus kuruskan badan dan tambahkan stamina untuk berlakon. Selain itu saya juga ada terbabit dalam 'game show', berlakon sitkom dan supertele untuk Astro," katanya.

Salina juga pernah membintangi filem berjudul Dhaka Attack terbitan produksi dari Bangladesh.

"Mereka mahu watak polis wanita dari Malaysia dan pilih saya. Mereka gandingkan saya dengan Fahrin Ahmad. Sangat terharu apabila saya jadi pilihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 6:30 AM