Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Kubu Bharu: Peguam yang mewakili pelakon Hafidz Rosdi, Datuk Akberdin Abdul Kader memaklumkan anak guamnya disahkan waras dan pertuduhan yang didakwa ke atasnya layak dibicarakan.

Akberdin memaklumkan tarikh baharu ditetapkan oleh mahkamah untuk sebutan semula kes ialah pada 17 Julai ini.

"Dalam sebutan tadi, pendakwa raya telah memaklumkan pada mahkamah laporan hospital psikiatri telah dikeluarkan dan mereka sudah dapat salinan dokumen.

"Semua dokumen tersebut berkaitan kes ini termasuk psikiatri, akan diberikan sebelum sebutan kes akan datang pada 17 Julai.

"Mengikut laporan terbabit, Hafidz sekarang ini sihat dan waras, jadi kes perbicaraan boleh diteruskan," katanya ditemui di luar Mahkamah Majistret di sini, sebaik sebutan kes selesai.

Menurutnya, status kesihatan Hafidz semasa kejadian (memukul isteri) itu berlaku adalah satu perkara lain.

"Sekarang ini Hafidz sihat dan itu pendakwa kena buktikan sewaktu perbicaraan.

"Kes masih di peringkat awal dan dokumen lain selain daripada doktor pakar pun belum dapat, jadi kena tunggu baru tahu apa sebenarnya keterangan ada dalam bilik pendakwaan," katanya.

Akberdin berkata, akan ada sebutan baru, namun belum dibicarakan lagi.

"Selepas teliti semua keterangan dalam bentuk dokumen yang diserahkan itu, maka baru boleh buat keputusan untuk pertimbangkan kembali kes ini atau tindakan selanjutnya.

"Fokus kita ini adalah untuk pastikan tertuduh sihat menjalani perbicaraan," katanya.

Terdahulu dalam sebutan kes yang berlangsung, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru diberitahu, Hafidz disahkan waras dan pertuduhan didakwa ke atasnya layak dibicarakan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa' Zamri pada sebutan semula dan laporan psikiatri hari ini di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali yang bertindak sebagai Majistret.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah memberikan tarikh lain bagi serahan dokumen.

Mendengar perkara itu, peguam Datuk Akberdin Abdul yang mewakili tertuduh kemudian memohon pihak pendakwaan memberikan salinan berhubung laporan psikiatri itu sebelum tarikh sebutan kes seterusnya.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian menetapkan 17 Julai ini bagi sebutan semula kes.

Sebelum ini pada 30 Mac lalu, Hafidz ke Hospital Bahagia untuk menjalani pemeriksaan psikiatri sebagaimana yang diperintahkan selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Pada 13 Mac lalu, Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menumbuk pipi kiri isterinya sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya di sini.

Mengikut pertuduhan Hafidz didakwa menumbuk isterinya Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya di sini jam 3.22 pagi pada 2 Mac lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Hafidz kemudian dibenarkan diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Untuk rekod, Hafidz atau dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2 tahun.

Selain pertuduhan itu, Hafidz turut berhadapan dengan kes di Mahkamah Rendah Syariah di Shah Alam apabila 20 Jun ini ditetapkan bagi perbicaraan pengesahan lafaz cerai. Kes penceraian itu dibuat mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Shuhada memfailkan perceraian di mahkamah itu pada 27 Februari lalu, susulan keputusan dan persetujuan kedua-dua keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 1:18 PM