KETIADAAN perjanjian rasmi antara pemilik rumah dan kontraktor sukarkan siasatan kes penipuan.
KETIADAAN perjanjian rasmi antara pemilik rumah dan kontraktor sukarkan siasatan kes penipuan.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Tampil bergaya dan berlagak seperti berpengalaman luas dalam bidang pembinaan menjadi 'modal' segelintir kontraktor yang rancak menipu puluhan mangsa menerusi platform media sosial.

Modus operandinya mudah dengan mereka akan mempamerkan gambar rekaan yang menarik mengikut trend terkini kononnya hasil kerja sendiri namun kebanyakannya diciplak dari hasil kerja orang lain.

Mangsa yang kurang pengetahuan berkenaan hal berkaitan pengubahsuaian dan pembinaan rumah pula akan cepat termakan umpan lalu mengupah kontraktor terbabit untuk membina kediaman impian masing-masing.

Kontraktor itu yang bijak bermain kata-kata akan bertemu mangsa di tapak rumah dan memberikan harga yang tidak terlalu murah atau terlalu mahal untuk menyakinkan mangsa mendapatkan khidmat mereka.

Untuk menjayakan penipuan itu juga, kontraktor terbabit menghamburkan janji manis dan memberi dokumen berkaitan seperti sebut harga serta lakaran pembinaan namun tiada perjanjian rasmi diberikan sebaliknya hanya sekadar 'janji mulut'.

Selepas menerima wang pendahuluan, kontraktor berkenaan akan menjalankan kerja pengubahsuaian dan detik itu menjadi permulaan episod duka bagi pemilik rumah apabila kontraktor terbabit cabut lari tidak lama kemudian.

Ramai mangsa yang ditemui Harian Metro berkata, kontraktor yang dilantik hanya menyiapkan sekitar 20 hingga 50 peratus pengubahsuaian atau pembinaan dengan kerja yang dilakukan secara 'cincai'.

Jumlah kerugian dianggarkan mencecah jutaan ringgit berikutan setiap mangsa yang ditemui mendakwa ditipu sekitar RM30,000 hingga RM300,000, malah perlu membayar jumlah lebih besar jika ingin mengupah kontraktor lain.

Lebih menyedihkan apabila mangsa terbabit terpaksa tinggal menyewa kerana kediaman milik sendiri yang sepatutnya boleh didiami terbengkalai hingga bertahun-tahun akibat ditipu.

Ketiadaan perjanjian rasmi menyukarkan polis untuk menyiasat aduan itu sebagai satu kesalahan jenayah komersial menyebabkan hanya tindakan saman sivil dapat diambil ke atas kontraktor terbabit.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim berkata, pihaknya sendiri sudah menerima 18 aduan daripada mangsa penipuan beberapa kontraktor berbeza yang menggunakan modus operandi sama.

Menurutnya, kontraktor terbabit mengambil kesempatan atas kelompongan undang-undang berkaitan isu ini kerana tahu mereka boleh terlepas daripada tindakan pihak berkuasa atas alasan teknikal dan beliau berjanji akan membawa isu itu ke peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, berdasarkan aduan diterimanya, kebanyakan mangsa tertarik apabila melihat rekaan dalaman menarik di halaman dalam talian milik kontraktor terbabit dan terjerat apabila ditawarkan harga sangat berpatutan.

TERESA Kok Suh Sim. FOTO Arkib NSTP
TERESA Kok Suh Sim. FOTO Arkib NSTP

"Dianggarkan beberapa juta ringgit lesap akibat ditipu kontraktor yang menggunakan modus operandi sama.

"Saya terima satu aduan di mana mangsa ditipu dalam kerja ubah suai sebuah kafe dan terpaksa menanggung kerugian lebih RM500,000," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Teresa berkata, kebanyakan mangsa menemui kontraktor terbabit menerusi satu laman web yang menawarkan pelbagai perkhidmatan di mana pihak syarikat boleh mengiklankan khidmat mereka.

"Mangsa tertarik dengan gambar hasil kerja yang dipaparkan di halaman milik kontraktor berkenaan dan akan memasukkan butiran peribadi mereka sebelum dihubungi kontraktor.

"Kontraktor ini menawarkan pelbagai gaya rekaan dengan harga agak murah sebagai umpan. Jadi pengguna perlu berhati-hati supaya tidak terjerat.

"Yang menjadi mangsa ini pula semuanya daripada golongan profesional. Mungkin kerana kurang pengalaman dan rambang mata melihat rekaan cantik dengan harga yang murah, mereka akhirnya menjadi mangsa," katanya.

Kontrak bertulis elak risiko ditipu

Orang ramai yang mendapatkan khidmat kontraktor bagi proses pengubahsuaian atau pembinaan rumah dinasihatkan untuk menandatangani kontrak bertulis bagi mengelak ditipu.

Pengurus Besar Kanan Sektor Kontraktor dan Levi, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Suhaimi Mansor berkata, sebaiknya pemilik juga perlu mendapatkan nasihat daripada individu yang lebih arif atau pengamal undang-undang sebelum menandatangani sebarang perjanjian.

"Pemilik perlu memastikan kontraktor memberikan jangkaan tempoh siap kerja dan mematuhi jangkaan dilakukan dan pembayaran hanya dibuat mengikut peratusan siap kerja.

"Ketika tempoh pembinaan, pemilik juga perlu sentiasa memantau perkembangan kerja dijalankan dan memeriksa kualiti kerja," katanya.

Menurutnya, pemilik perlu mengasingkan lima hingga 10 peratus daripada nilai keseluruhan kontrak sebagai 'retention money' yang hanya boleh dibayar selepas semua kerja selesai dan kedua-dua pihak berpuas hati.

Katanya, bagi mengelak menjadi mangsa kontraktor penipu, orang ramai digalakkan membuat semakan menerusi pautan https://cims.cidb.gov.my/ dan hanya mengupah kontraktor berdaftar.

"Pemilik rumah boleh membuat carian kontraktor di pautan dan melihat pengalaman kontraktor di dalam kerja-kerja yang diperlukan.

"Ini akan memudahkan pemilik rumah untuk membuat pemilihan kerana pemilik boleh membaca ulasan ke atas hasil kerja kontraktor berkenaan dan mengetahui sekiranya ada aduan daripada pelanggan terdahulu," katanya.

PEMILIK digalak minta sebut harga bagi projek ubah suai rumah.
PEMILIK digalak minta sebut harga bagi projek ubah suai rumah.

Suhaimi berkata, pemilik digalakkan untuk meminta sebut harga dan membuat perbandingan dari segi harga dan jenis bahan digunakan daripada beberapa kontraktor berbeza.

Katanya, ia penting bagi memastikan sebut harga dan skop kerja yang bakal dijalankan mengikut bajet ditetapkan.

Menurutnya, bagi yang menjadi mangsa penipuan kontraktor, mereka dinasihatkan untuk berbincang dengan kontraktor berkenaan sama ada meneruskan kerja atau membayar ganti rugi.

"Sekiranya tiada persetujuan dicapai, pemilik rumah boleh mengajukan aduan terus ke tribunal pengguna melalui laman sesawang rasmi di ttpm.kpdnhep.gov.my/portal/home kerana tuntutan kerugian wang ringgit adalah di luar bidang kuasa CIDB.

"Bagi kes penipuan melalui media sosial, orang ramai boleh membuat aduan dan memberi maklumat kepada CIDB supaya dapat disalurkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Media Malaysia (SKMM).

"CIDB boleh mengambil tindakan terhadap kontraktor tidak berdaftar yang boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 di bawah Seksyen 29 Akta CIDB 1994 (Akta 520)," katanya.

Pemilik rumah terpaksa sewa rumah lain

Seorang wanita memohon pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kontraktor yang cabut lari hingga menyebabkan proses pengubahsuaian rumahnya kini terbengkalai sejak Januari 2022.

Wan Azila Wan Ismail berkata, dia bersama suaminya terpaksa keluar dari rumah berkenaan dan duduk menyewa berikutan kerja pengubahsuaian besar yang dirancang terbengkalai begitu sahaja.

Menurutnya, mereka mengambil keputusan mengubah suai rumah teres yang terletak di Putra Height, Subang Jaya selepas 16 tahun menetap di situ.

"Kami terpaksa keluar dari rumah sebab skop ubah suai yang dilakukan agak besar dan sehingga kini sudah membuat 12 kali pembayaran kepada kontraktor terbabit hingga mencecah lebih RM100,000.

"Apabila kami minta penjelasan kontraktor itu, dia akan beri pelbagai alasan, pernah dia beri alasan tidak ada duit (modal), tidak ada pekerja sedangkan pembayaran sudah dibuat. Ini tak masuk akal," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

WAN Azila. FOTO Ahmad Ukasyah
WAN Azila. FOTO Ahmad Ukasyah

Menurutnya, walaupun diugut dengan laporan polis dan tindakan undang-undang akan diambil tetapi lelaki itu kekal tenang malah tidak kelihatan takut.

Katanya, buntu dengan keadaan itu, dia mengambil keputusan membuat laporan polis pada Julai 2022 dengan harapan dapat menuntut kembali wang yang sudah diberikan kepada kontraktor berkenaan.

"Bila kami kata mahu buat laporan, dia (kontraktor) kata buatlah, malah notis hadir ke mahkamah pun dia tidak endahkan, tiada respon.

"Malangnya polis pula maklum kepada kami hanya tindakan sivil dapat diambil kerana kerja-kerja pembinaan sudah dijalankan dan tidak cukup bukti untuk membuka kes sebagai penipuan jenayah," katanya.

Wan Azila berkata, dia nekad untuk menuntut kembali wang yang sudah diberikan kepada kontraktor itu sehingga berjaya menjejak alamat keluarganya di Sungai Besar, Selangor selepas lelaki terbabit tidak memberi sebarang respon.

"Saya buat semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), saya tanya orang ramai dan akhirnya saya jumpa bapa dan bapa saudara dia tetapi mereka cuba mempertahankannya.

"Saya tidak pasti sama ada keluarganya tahu kegiatan dia sebab kontraktor ini bila jumpa memang nampak baik, tenang malah bila kita marah-marah pun dia macam tiada perasaan," katanya.

Menurutnya, selepas lebih setahun terbengkalai, mereka kini terpaksa menanggung kos sewa rumah walaupun memiliki rumah sendiri malah harga untuk meneruskan kerja ubah suai juga semakin bertambah.

Menurutnya, hasil kerja secara cincai yang ditinggalkan menyebabkan kos untuk mengupah kontraktor baru bertambah dua kali ganda daripada bajet asal sehingga mencecah RM150,000.

Rugi RM100,000 ditipu kontraktor durjana

Impian memiliki kediaman impian musnah, malah terpaksa pula menanggung kerugian lebih RM100,000 akibat terjerat janji manis kontraktor yang ditemukan menerusi media sosial.

Wan Nor Halina Wan Mohd Najib berkata, syarikat kontraktor terbabit dipercayai didalangi seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang tidak gentar walaupun beberapa laporan polis sudah dibuat terhadapnya.

Penjawat awam itu berkata, dia tertarik dengan rekaan yang dimuat naik menerusi akaun media sosial syarikat kontraktor terbabit lalu menghubunginya untuk kerja ubah suai rumah teres di Taman Batu, Jalan Kuching, di sini.

"Dia mulakan kerjanya pada Disember 2021 dan minta bayaran lima peratus iaitu kira-kira RM8,000 untuk buat rekaan tetapi enggan memberikan rekaan akhir kepada saya apabila diminta.

"Dia mulakan kerja sedikit sebelum cabut lari, dia cuma buat kerja-kerja pada bahagian jubin sahaja, itu pun hasil kerjanya sangat cincai, ikut suka hati dia saja," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

WAN Nor Halina. FOTO Ahmad Ukasyah
WAN Nor Halina. FOTO Ahmad Ukasyah

Menurutnya, dia terpaksa mengupah syarikat lain bagi membaiki semula kerosakan yang dilakukan kontraktor berkenaan menyebabkan kerugian berganda pada pihaknya.

Situasi sama dihadapi pemilik butik pakaian, Mohd Ahassolehin Mohd Ahadlin, 31, apabila mengalami kerugian mencecah RM90,000 selepas menjadi mangsa modus operandi sama oleh sebuah syarikat kontraktor.

Waspada tawaran harga terlalu murah

Polis memberi jaminan siasatan terperinci akan dijalankan bagi setiap laporan yang diterima berkaitan penipuan kontraktor pembinaan untuk mengenal pasti elemen jenayah dilakukan mereka.

Ia susulan beberapa individu tampil membuat laporan polis selepas rumah mereka terbengkalai akibat ditipu kontraktor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pemilik rumah dinasihatkan supaya tidak membuat keputusan terburu-buru terutama bila mendapat tawaran harga yang terlalu murah bagi membuat proses pengubahsuaian.

"Jika tiada rujukan, jangan ambil risiko, ini penting untuk meminimumkan risiko ditipu bagi mengelakkan kerugian, bak kata pepatah 'untung secupak, rugi segantang.

"Isu berkaitan rumah terbengkalai atau kegagalan kontraktor untuk menyiapkan kerja pembinaan atau pengubahsuaian merupakan antara isu yang dilaporkan kepada kami.

"Sekiranya didapati wujud elemen jenayah di dalam laporan polis terbabit, siasatan lanjut akan dilaksanakan selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkaitan," katanya.

RAMLI. FOTO Arkib NSTP
RAMLI. FOTO Arkib NSTP

Bagaimanapun, beliau berkata, jika siasatan awal mendapati tiada elemen jenayah penipuan, aduan berkenaan akan disalurkan kepada agensi atau badan berkaitan untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, pemilik rumah perlu membuat pemeriksaan latar belakang syarikat menerusi badan berkaitan sebelum mengupah kontraktor.

Katanya, pendaftaran syarikat adalah penting bagi mengelakkan kontraktor terbabit lari meninggalkan projek mereka di kediaman pelanggan.

"Pastikan kontraktor dilantik berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

"Sekiranya berlaku sebarang masalah berkenaan kontraktor terbabit, anda boleh membuat aduan kepada CIDB untuk melaporkan salah laku kontraktor bagi tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 12:01 PM