PEMERIKSAAN pendawaian juga penting dalam memastikan aspek keselamatan seiring estetika ruang diberi penambahbaikan.
PEMERIKSAAN pendawaian juga penting dalam memastikan aspek keselamatan seiring estetika ruang diberi penambahbaikan.
Nurul Husna Mahmud

Pemilik rumah biasanya tidak terkecuali daripada melakukan kerja pengubahsuaian bagi membaik pulih bahagian atau ruang yang rosak.

Ia seiring dengan keperluan menaik taraf kediaman supaya sesuai dan selesa untuk didiami bersama penghuni yang semakin berkembang serta meningkat dewasa.

Bagi kebanyakan pemilik, terutama yang tinggal di rumah lama atau membeli rumah yang berusia lebih puluhan tahun, usaha mengubah suai dilihat paling bermakna.

Namun, sebelum struktur tambahan dinaikkan atau kerja mengubah suai dilakukan, terdapat beberapa langkah perlu dilaksanakan.

Menurut Ketua Unit Operasi Nadi Aleph Sdn Bhd (NASB), Raja Mohd Zafrirullah Zakaria, 36, pengalaman lapan tahun berkecimpung dalam industri pembinaan dan ubah suai, proses awal sebelum kerja mengubah suai perlu dilakukan menerusi kontraktor yang dilantik.

Katanya, selain proses dokumentasi dan pemohonan kebenaran seperti lantikan 'Prinsipal Submiting Person' (PSP) bagi penyediaan pelan serta permit dari pihak berkuasa tempatan, kerja awal sebelum pembersihan dan rawatan perosak juga amat penting.

KERJA awalan iaitu membersihkan bangunan antara kerja penting perlu dilaksanakan.
KERJA awalan iaitu membersihkan bangunan antara kerja penting perlu dilaksanakan.

"Dalam kerja ubah suai rumah yang biasa dilakukan terdapat dalam dua kategori iaitu ubah suai membabitkan struktur asal dan tidak membabitkan struktur asal.

"Perbezaannya ialah jika membabitkan struktur asal, ia adalah kerja ubah suai lebih rumit yang mana membabitkan kerja membesarkan atau penambahan ruang rumah. Lebih ekstrem mungkin daripada setingkat menjadi dua tingkat.

"Bagi kategori ubah suai kedua yang tidak membabitkan struktur asal ialah lebih kepada mencantikkan atau perincian pada struktur sedia ada seperti kabinet dapur, perincian siling kapur dan sebagainya.

"Kena faham batasan kerja pengubahsuaian rumah terutama kategori membabitkan struktur asal kerana perlu membabitkan proses yang rumit dan memahami beberapa aspek sebelum dapat dilakukan," katanya.

Tambah Raja Mohd Zafrirullah, pemilik terlebih dahulu perlu melantik kontraktor yang berdaftar dan mempunyai kredibiliti dalam membantu memahami situasi dalam kerja mengubah suai rumah.

UBAH suai tidak membabitkan struktur asal.
UBAH suai tidak membabitkan struktur asal.

"Saranan saya, penting untuk pemilik kediaman menyelidik terlebih dahulu latar belakang kontraktor yang melakukan kerja ubah suai termasuk status sama ada berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) ataupun sebaliknya. Selain meneliti trek rekod kerja yang pernah dilakukan.

"Mereka ini biasanya tidak akan ambil mudah proses pembersihan dan rawatan kediaman daripada perosak kerana keadaan itu menentukan jangka usia rumah untuk lebih selamat serta sejahtera didiami penghuni," katanya.

Dalam proses berkenaan kata Raja Mohd Zafrirullah, ada dua kaedah boleh dilakukan pemilik sama ada menerusi kontraktor ataupun pihak ketiga dalam melaksanakan kerja awal terbabit.

PERLU lantik kontraktor berdaftar dan ada kredibiliti.
PERLU lantik kontraktor berdaftar dan ada kredibiliti.

"Keputusan terbaik jika proses pembersihan, pemeriksaan pendawaian dan rawatan haiwan atau serangga perosak dilaksanakan kontraktor yang melakukan kerja ubah suai berkenaan.

"Ini kerana kontraktor terbabit dapat menilai dan memberikan penyelesaian ataupun cadangan (sebut harga) lebih kompetitif sebelum kerja ubah suai dilakukan.

"Jika tidak menerusi kontraktor berkenaan, pemilik kediaman masih boleh uruskan kerja awalan dengan mencari pihak tertentu yang menawarkan servis terbabit," katanya.

Mengakui punca ramai yang mengabaikan aspek kerja awalan, kata Mohd Raja Zafrirullah, faktor penyumbang termasuk bajet dan kontraktor yang dilantik kurang pengetahuan serta pengalaman.

"Mengabaikan kerja awal boleh meningkatkan kos penyelenggaraan pemilik pada masa akan datang. Sedangkan nilai untuk upah atau kerja awal hanya membabitkan sejumlah kecil daripada kos ubah suai rumah.

"Kontraktor berpengalaman tidak akan pandang remeh kerana ini turut membabitkan aspek keselamatan dan kesejahteraan penghuni rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 6:25 AM