ALI bersama isterinya.
ALI bersama isterinya.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, keadaan suami semakin baik dan dia sudah boleh bernafas seperti biasa dan tidak semput lagi," kata isteri penyanyi, Ali XPDC, 56, iaitu Sharifah Azuwanna Syed Joned, 52, mengenai perkembangan kesihatan suaminya ketika ini.

Semalam, Ali dikejarkan ke wad kecemasan, Hospital Sultan Idris Shah, Serdang kerana mengalami sesak nafas di kediamannya di Bandar Baru Salak Tinggi jam 11 pagi.

Ali mengalami sesak nafas ketika majlis penyerahan sumbangan kerusi roda yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Pembangunan Bandar Lestari, Kebudayaan, Adat Istiadat Melayu dan Warisan Selangor, Borhan Aman Shah.

Sharifah Azuwanna berkata, Ali memberi tindak balas yang baik dengan ubat yang diberikan doktor.

"Selepas doktor beri ubat, suami juga buang air dengan banyak dan doktor juga sudah keluarkan air dari paru-parunya.

"Sebelum ini, wayar penuh di dada dan perutnya tetapi sekarang dia sudah boleh bernafas seperti biasa tanpa alat bantuan pernafasan lagi," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mengenai keadaan jantung Ali pula, kata Sharifah Azuwanna, suaminya kini dipindahkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) kerana masalah jantungnya yang bengkak.

Katanya, hasil pemeriksaan, doktor beritahu Ali ada masalah bengkak sedikit di jantung dan perlu ditahan kira-kira lima hari lagi di wad.

"Saya masih menunggu laporan dari doktor pakar mengenai keadaan jantung suami yang bengkak itu sama ada perlu dirawat dengan antibiotik dan sebagainya lagi," katanya.

Sementara itu, Sharifah Azuwanna turut kesal dengan laporan yang mendakwa suaminya dimasukkan ke hospital kerana serangan jantung.

"Saya ada terbaca laporan yang tidak betul mengenai suami dapat serangan jantung di Facebook sedangkan dia dikejarkan ke hospital semalam kerana sesak nafas dan semput.

"Pada masa sama, saya juga berharap semua peminat sama-sama mendoakan semoga suami cepat sembuh dan boleh keluar segera dari hospital," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 2:31 PM