REZEKI buat keluarga, Shuk akui apa yang berlaku banyak memberi pengajaran.
REZEKI buat keluarga, Shuk akui apa yang berlaku banyak memberi pengajaran.
Norhayati Nordin


SEJAK Januari lalu hingga kini, nama pengacara dan pelawak, Shuk Sahar, 35, 'hangat' di media sosial dengan pelbagai cerita kontroversi dan sensasi termasuk gimik pemasaran sebagaimana dakwaan segelintir netizen. Namun, bapa dua anak perempuan ini tenang dan sama sekali tidak melatah dengan setiap dakwaan ke atasnya.

Shuk atau nama sebenar Mohammad Shukri Mohammed Sahar dilihat menepis segalanya secara matang.

Berdepan kontrak sebagai penyampai radio Hot FM ditamatkan pada 18 Februari lalu, Shuk akur rezekinya tidak panjang untuk terus berkhidmat di stesen radio. Pun begitu, dia kini bangkit mengatur langkah baharu.

"Apa yang sudah berlaku biar berlalu. Saya reda dan demi keluarga tidak boleh berasa kecewa. Ditambah lagi, percaturan rezeki kita ada

lah milik Allah.

"Jika saya terlalu bersedih dan kecewa, ia umpama tidak menerima apa yang Allah sudah tetapkan. Alhamdulillah, sekarang pun saya mula merancang perniagaan demi mendapatkan rezeki buat menyara keluarga.

"Syukur juga ada kenalan saya yang sudi bekerjasama untuk jadi rakan kongsi dalam projek perniagaan kami usahakan. Malah, saya juga tak sangka akan memberanikan diri menceburi perniagaan," katanya.

Baru-baru ini, Shuk melancarkan perniagaan kuetiau yang diberi nama Keowteow Sup Papa Shuk di Denai Alam dan akan datang pula dia bakal memperkenalkan kafe minuman di Wangsa Maju.

"Sekarang ini saya ambil apa saja peluang yang datang untuk perniagaan. Kalau dulu mungkin saya terbiasa berada di zon selesa, tapi kini situasi sudah berubah. Saya kena giatkan usaha untuk 'memulakannya' semula.

"Apapun, rezeki dalam kerjaya seni masih ada yang mana saya bersama Achey dan Mark Adam bergabung sebagai kumpulan MASHUK bersaing di pentas Muzikal Lawak Superstar yang diadakan selepas dihentikan seketika kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Selain itu, insya-Allah saya juga bakal terbabit untuk satu lagi program lawak berganding dengan Mamak Puteh dan Pencetus Ummah (PU) Rahmat sebagai kumpulan. Saya bersyukur dengan rezeki yang diperoleh," katanya.

Menurut Shuk, sebagai penggiat seni yang aktif jadual kerjanya masih padat hingga kini.

Katanya, selagi ada peluang ke arah rezeki untuk keluarga, dia tidak akan memilih atau menolak.

"Apa yang berlaku sebelum ini banyak memberikan pengajaran untuk saya berubah ke arah lebih baik. Kini, saya sangat utamakan aura persekitaran positif untuk produktif mencari rezeki halal buat keluarga dan terima kasih atas sokongan diberi.

"Pada netizen yang mengecam dan kata macam-macam, saya okay saja. Mana kritikan yang baik dan membina daripada mereka, saya terima manakala sebaliknya biarlah. Bagi saya, semua orang ada dugaan hidup masing-masing," katanya.

Shuk yang sudah mendapatkan semula keluarganya bertekad mahu membuat sebaik mungkin untuk isteri, Rossalennah Natassiah Asshaferah dan anak-anaknya.

Menurut anak jati Pulau Pinang ini, dia enggan mensia-siakan peluang kemaafan diterima.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 6:43 AM