Halimatussa'diah Mohd Daud atau lebih popular dengan panggilan Mak Wan Latah menafikan tindakannya yang dikatakan melakukan perkara syirik seperti mana yang terpapar dalam video yang tular di TikTok sejak semalam.
Halimatussa'diah Mohd Daud atau lebih popular dengan panggilan Mak Wan Latah menafikan tindakannya yang dikatakan melakukan perkara syirik seperti mana yang terpapar dalam video yang tular di TikTok sejak semalam.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Halimatussa'diah Mohd Daud atau lebih popular dengan panggilan Mak Wan Latah menafikan tindakannya yang dikatakan melakukan perkara syirik seperti mana yang terpapar dalam video yang tular di TikTok sejak semalam.

Mak Wan ketika dihubungi berkata, itu adalah latihan untuk lakonannya sebagai watak bomoh jahat.

"Benda itu benda lama. Yang saya baca-baca itu, untuk 'shooting'. Saya tak pernah berlakon watak jahat, untuk jadi bomoh," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sama ada dia mengenali individu yang didakwa sebagai bekas pengurus peribadinya itu, Mak Wan memilih untuk tidak membuka aib sesiapa dan menyentuh mengenai kesihatan mental individu itu.

"Saya tak nak buka aib sesiapa. Seperti yang pernah saya beritahu bekas suami saya, saya tak nak buka aib sesiapa. Biar sampai mati, saya tetap dengan pendirian saya.

"Otak dia tak betul. Dia akan tulis apa sahaja. Dia nak buat apa, itu hak dia. Kenapa sebelum ini dia puji saya? Sebab dia nak duit saya, kan?

"Kenapa bila saya dah tak nak dia, dia cerita macam-macam pasal saya? Manusia ini, bila kita dah tolong dia, kita digigit balik," katanya.

Dalam komen lain, Mak Wan juga memaklumkan sudah membuat laporan polis.

"Ya, saya tahu dia fitnah saya. Saya dah buat laporan polis. Itu bukan saya nak tunjuk saya hebat, tapi kerana saya nak lindungi diri kalau dia akan buat benda bukan-bukan lagi.

"Saya akan berdiam selagi Allah beri saya kekuatan. Saya tak mahu bercakap apa-apa lagi," katanya.

Dalam tiga video yang tular sejak semalam itu, terpapar luahan rasa individu itu mengenai sikap Mak Wan dan turut ditunjukkan bagaimana Mak Wan melakukan satu upacara aneh yang dianggap bertentangan dengan agama Islam.

Dalam satu video, terlihat seorang wanita dipercayai Mak Wan dalam keadaan tidak bertudung seperti biasa, sedang menyeru sesuatu.

"Pendampingku, kau datanglah kepadaku. Aku seru engkau datang kepadaku supaya kau halang mereka agar tidak pergi ke sana untuk mengubatkan apa yang telah aku buat kepada mereka," ucap wanita dalam video itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 12:43 PM