Tiko Aryawardhana (kanan) mahu ambil tindakan terhadap bekas isternya.
Tiko Aryawardhana (kanan) mahu ambil tindakan terhadap bekas isternya.
Agensi

Jakarta: Suami kepada Bunga Cintra Lestari (BCL) iaitu Tiko Aryawardhana memohon proses audit dilakukan ke atas syarikat yang diusahakan olehnya bersama bekas isteri, Arina Winarto.

Dia mahu membersihkan semula namanya susulan dakwaan menyeleweng dana milik syarikat diusahakan bersama Arina iaitu PT Arjuna Advaya Sanjaya (AAS) berjumlah kira-kira 6.9 bilion rupiah (hampir RM2 juta).

Irfan Aghasar selaku peguam mewakili Tiko mendakwa anak guamnya itu tidak pernah diperiksa akauntan yang dinyatakan Arina.

Menurutnya, proses audit perlu dilakukan bersama Arina dengan diawasi polis.

"Anak guam kami belum pernah diperiksa akauntan dimaksudkan pengadu. Sebagai pengarah syarikat, kalau memang sumber datanya dari Tiko, maka seharusnya ada pengesahan daripada akauntan sama ada benar atau tidak data itu.

"Jangan sampai data tersembunyi yang muncul ke akauntan dan disajikan seolah-olah ada kerugian. Kita buat satu lagi audit dengan melantik polis yang dipersetujui daripada sisi rapat pemegang saham, pengadu dan orang yang diadu.

"Kita duduk dan buka data sama-sama. Jadi, kita dapat sahkan apakah ada penggunaan wang oleh Tiko. Dari situ, kita boleh minta kes dibuka Polda (Polis Daerah) Metro Jaya atau Bareskrim," katanya.

Dakwaan Arina bahawa Tiko menyeleweng wang syarikat itu juga menurut Irfan adalah tidak tepat.

Tiko tidak diberi peluang untuk menjelaskan soal perbezaan hasil laporan kewangan versinya dengan pasukan audit perusahaan.

Sebagai ahli lembaga pengarah, adakah dia (Arina) pernah bertanya perihal laporan itu kepada Tiko atau belum? Padahal, ketika itu, mereka masih bergelar suami isteri," katanya.

Irfan turut berkata pihaknya sedang mengumpul data dan akan membuat laporan polis ke atas pihak yang didapati memalsukan maklumat.

Terdahulu, Tiko didakwa menyeleweng dana milik syarikat diusahakan bersama bekas isteri, Arina Winarto iaitu PT Arjuna Advaya Sanjaya (AAS) berjumlah kira-kira 6.9 bilion rupiah (hampir RM2 juta).

Tiko didakwa melakukan kesalahan terbabit antara 2015 sehingga 2021 ketika memegang jawatan sebagai pengarah syarikat perusahaan makanan dan minuman itu.

Berikutan itu, Arina yang bertindak sebagai pemilik dan pemegang saham syarikat membuat laporan di Balai Polis Jakarta Selatan, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2024 @ 3:08 PM