DRAMA bersiri Mencari Mubarak di TV1 bersiaran setiap hari jam 8.30 mulai 30 Jun.
DRAMA bersiri Mencari Mubarak di TV1 bersiaran setiap hari jam 8.30 mulai 30 Jun.
Oleh Michelle Gun

Melihat kesungguhan umat Islam di Xinjiang, China menunaikan kewajipan mereka pada Ramadan membuatkan jurugambar, Irfan insaf dan ingin kembali ke jalan sebenar.

Kebaikan itu ditemui ketika Irfan berada di negara berkenaan untuk menjalani sebuah penggambaran.

Sewaktu menjalani penggambaran di Pasar Turpan, lensa kamera Irfan tertangkap gambar seorang wanita yang mirip ibunya, Saerah yang menghilangkan diri sejak usia muda selepas bercerai dengan Datuk Hilal.

Ketika itu, Irfan berusia 15 tahun dan sebaik ibu bapanya bercerai, dia dikejutkan dengan kehadiran ibu tiri, Sherry yang tidak menyukainya.

Yakin wanita itu adalah ibunya, Irfan berusaha menjejakinya, namun gagal. Hakikatnya, tiada sesiapa tahu siapa wanita terbabit.

Irfan yang mengalami masalah penglihatan teringin melihat wajah ibunya buat kali terakhir sebelum menjadi buta.

Ejen pelancongan Malaysia, Melly yang dipertang­gungjawabkan menjaga Irfan dan rakannya, Ijoy di Xinjiang menyatakan hasrat ingin membantu mencari wanita itu, namun ditolak.

Sepanjang di Xinjiang, Irfan dan Ijoy tinggal di kediaman ibu saudara Melly iaitu Aunty Ros.

Ramadan menjelang tiba dan pada mulanya, Irfan terpaksa berpura-pura berpuasa, namun kemudian menceritakan kelemahan itu kepada Melly.

Ini kerana sejak pemergian ibunya, Irfan sentiasa menentang bapanya selain terpesong daripada agama.

Solat dan puasa langsung tidak dipedulikannya. Pemandu bapanya, Pak Chad prihatin terhadap keadaan Irfan dan cuba menasihati lelaki itu, namun apa yang diterimanya hanya kata-kata cacian.

Irfan semakin membenci bapanya selepas dia dihalau keluar daripada syarikat milik bapanya kerana didapati menyalahgunakan wang syarikat untuk menubuhkan perniagaan fotografi.

Suatu hari, ketika mencari wanita misteri itu, Irfan hampir pengsan dan segera dibawa ke klinik berdekatan oleh Melly untuk mendapatkan rawatan.

Malangnya, penglihatan Irfan gagal dipulihkan dan dia menjadi buta. Irfan melarikan diri daripada Melly kerana enggan menyusahkan gadis itu. Rupa-rupanya, dia sudah jatuh cinta dengan Melly.

Dapatkah Irfan menjejak wanita yang amat dirinduinya? Ikuti kesudahannya dalam drama bersiri berjudul Mencari Mubarak yang akan bersiaran di saluran TV1 pada setiap hari, jam 8.30 malam, mulai 30 Jun ini.

Drama 13 episod ini menampilkan barisan pelakon terkenal Shah Jaszle, Sari Yanti, Arjaa Lee, Boy Ngasri, Shereen Al, Mimi Lana, Hilal Azman, Zarina Zainuddin dan Mubarak Majid.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 10:53 AM