SEBAHAGIAN persatuan seniman menziarahi Abu Bakar Juah. FOTO Persatuan Ssniman
SEBAHAGIAN persatuan seniman menziarahi Abu Bakar Juah. FOTO Persatuan Ssniman
Ridzuan Abdul Rahman

PELAKON veteran Abu Bakar Juah, 72, yang berdepan beberapa komplikasi penyakit termasuk kanser usus, kembali dimasukkan ke Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sejak Sabtu lalu untuk pemantauan doktor.

Pelakon versatil yang boleh melakonkan pelbagai watak ini berkata, dia juga perlu menjalani pembedahan berkaitan penyakit batu hempedu yang dideritainya.

“Esok doktor akan membuat pembedahan kecil bagi memasukkan 'stein' dalam hempedu.

“Selepas ini, saya perlu berehat lagi di hospital sebelum betul-betul sembuh dan dibenarkan keluar,” katanya dihubungi Harian Metro.

Terdahulu situasi kesihatan Abu Bakar dilaporkan tidak stabil dan lemah apabila mula sakit sejak 2017 dan menjalani rawatan di rumah.

Dia juga didapati mempunyai ketumbuhan dalam usus dan ‘blockage’ yang sudah dibuang.

Abu Bakar sudah menjalani proses kimoterapi selama 15 bulan dan bulan lalu, doktor mengesahkan hatinya sudah tidak boleh berfungsi kerana ada batu hempedu.

Sejak berita mengenai sakitnya tular, Abu Bakar tidak putus-putus dikunjungi oleh kenalan lama dan teman-teman artis.

“Ramai yang datang melawat saya antaranya Den Wahab serta persatuan artis seperti Seniman.

“Setiap orang boleh masuk melawat saya tanpa masalah. Lagipun, saya gembira dengan kehadiran mereka kerana masih boleh kenal orang.

“Cuma masalah lupa berlaku dalam satu atau dua jam kerana masalah hipoglisemia dalam badan. Sekarang saya dah okay dan tiada lagi masalah itu,” katanya yang kali terakhir muncul dalam drama Mr Grey pada 2018.

Menurutnya lagi, dia juga perlu bergerak perlahan-lahan memandangkan keadaannya masih lemah.

Pelakon berasal dari Taiping, Perak, berkahwin dengan Rusidah Mohd Yassin sejak 1980. Mereka mempunyai empat anak dan seorang cucu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 7:11 PM