Afieq Shazwan dan Baby Shima
Afieq Shazwan dan Baby Shima
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur : Penyanyi, Baby Shima menafikan dia bersikap pilih bulu dan menolak kerjasama untuk berduet dengan penyanyi, Afieq Shazwan.

Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli berkata, Afieq pernah menyuarakan hasrat untuk berduet dengannya dan dia sudah menyatakan persetujuan untuk bekerjasama.

"Saya bersetuju untuk berduet dengannya memandangkan kami sudah kenal lama dan pernah sama-sama menyertai program Big Stage dulu.

"Cuma apabila wakil syarikat rakaman Fantasia Music City (FMC) menghubungi pengurus saya, mereka kata nak gandingkan saya dengan penyanyi lain untuk lagu Resipi Berkasih dan bukannya Afieq.

"Selepas melalui proses perbincangan, pihak saya bersetuju dan saya kini hanya menunggu tarikh yang sesuai untuk rakaman," katanya kepada Harian Metro.

Menurut penyanyi lagu Pura-pura Bujang ini, FMC ada menghubungi pihaknya untuk menjalankan sesi rakaman lagu terbabit, namun masalah kesihatan yang membelenggunya tidak mengizinkan Shima meneruskan rakaman itu.

"Ketika itu saya demam dan saya tak mahu menjejaskan sesi rakaman. Keesokannya, saya ke Indonesia kerana memenuhi undangan nyanyian yang sudah ditetapkan lebih awal. Buat masa ini, saya hanya menunggu tarikh baharu untuk rakaman terbabit," katanya.

Terdahulu, FMC menerusi sebuah kenyataan menyebut Afieq meluahkan rasa kecewa apabila impiannya mahu berduet dengan Baby Shima tidak dipenuhi.

Sementara itu, Afieq mendedahkan, dia mendengar berkenaan projek lagu duet tribute – Resipi Berkasih dan segera mengajukan hasrat ini kepada Shima.

"Selepas itu saya pun panjangkan perkara ini kepada FMC agar lagu duet Resipi Berkasih diberikan kepada saya untuk berduet dengan Baby Shima.

"Tapi entah kenapa tak jadi pula. Memang saya agak kecewa juga. Sebabnya, secara peribadi saya inginkan sesuatu kelainan dan rakan duet baru.

"Apapun saya anggap mungkin belum masanya rezeki saya dan tunggu untuk single seterusnya," katanya.

Afieq kini muncul dengan lagu Insan Ku Sayang Kini Menghilang bersama Tajul Arif dan kumpulan Spin.

Lagu ini adalah nyanyian asal Allahyarham Achik Spin yang juga abang kepada Tajul.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 10:18 PM