NOTA yang ditinggalkan Ahmad kepada anak dan isterinya. FOTO Ihsan FB Fika Maira.
NOTA yang ditinggalkan Ahmad kepada anak dan isterinya. FOTO Ihsan FB Fika Maira.
Zahratulhayat Mat Arif

Ipoh: "Tolong doa dan terus solat hajat. Abah minta maaf. Jaga diri semua"

Itu kata-kata terakhir Ahmad Mohamad Talib, 58 kepada isteri dan anak-anaknya sebelum meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, Rabu lalu.

Gambar pesanan bapanya yang ditulis di atas dua helai kertas viral di media sosial selepas dikongsi anaknya Syafiqa Humairak, 32, di laman Facebook miliknya.

Syafiqa Humairak berkata, mereka sekeluarga tidak dibenarkan menyimpan kertas yang mengandungi pesanan bapa kerana dikhuatiri mengandungi virus Covid-19.

Menurutnya, bapanya yang menghidap penyakit buah pinggang disahkan positif Covid-19 Khamis minggu lalu, sebelum dihantar ke HRPB untuk dikuarantin dan mendapat rawatan lanjut.

"Abah tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif (selepas dimasukkan ke hospital). Keadaannya juga bertambah teruk dan doktor memutuskan supaya abah dikomakan, Isnin lalu.

"Abah menulis nota itu sebelum dikomakan. Dia juga tidak mampu bercakap. Namun, kami sempat berhubung dengan panggilan video sebelum abah dikomakan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Syafiqa Humairak berkata, semua ahli keluarga termasuk anak saudaranya yang berusia sebulan turut disahkan positif Covid-19, dan tidak berpeluang menghadiri majlis pengebumian bapanya.

Bagaimanapun, Syafiqa Humairak tidak dijangkiti virus berkenaan kerana dia tinggal di Pulau Pinang.

"Hanya saya yang dibenarkan hadir ke majlis pengebumian. Saya sangat sedih kerana tidak dapat mencium abah buat kali terakhir.

"Saya juga hanya dapat melihat jenazah arwah abah dari jauh. Covid-19 sangat bahaya, hanya dalam tempoh beberapa minggu ia 'membunuh' abah," katanya.

Sehubungan itu, katanya, masyarakat diminta sentiasa mengambil berat mengenai langkah keselamatan yang sudah ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, arwah bapanya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Bendahara di sini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 11:52 AM