YAKIN Tango dapat sambutan.
YAKIN Tango dapat sambutan.
Zaara Talita


AMIR Hasan yang juga bekas peserta program Big Stage musim ketiga tampil dengan single terbaru berentak hip hop berjudul Tango.

Sejak mula menceburi industri muzik pada 2014, Amir mula memukau penggemar muzik tempatan dengan lagu-lagunya yang rancak.

Tango menjadi bukti kebolehan Amir sebagai seorang artis dan mempamerkan fleksibiliti dalam gaya muziknya.

Amir yang tertarik dengan muzik hip hop sejak berusia 12 tahun banyak dipengaruhi legenda hip hop tempatan seperti Joe Flizzow dan Malique (Too Phat) serta artis hip hop antarabangsa seperti Eminem.

Pengaruh ini membentuk kemahirannya dalam nyanyian gaya bebas dan memberi inspirasi kepadanya untuk meneroka genre ini.

Amir teruja untuk menyahut cabaran ini dan mengembangkan lagi identiti muziknya.

"Lagu ini bercerita mengenai bukti kepada diri kita bahawa setiap orang mampu mengatasi sebarang cabaran dalam hidup. Malah, bukan dari mana asal usul kita, tetapi kejayaan ini dapat diukur dengan usaha gigih yang dilakukan.

"Malah, jangan ada perasaan tidak percaya pada diri sendiri kerana itu adalah aspek negatif dan halangan untuk diri maju ke hadapan," katanya.

Penghasilan Tango bermula dengan sesi 'freestyle' spontan bersama rakan industri, Rebel Asia. Proses rakaman hanya mengambil masa lima jam untuk menghasilkan persembahan lagu yang sempurna.

Bagaimanapun, Amir mengakui peralihan daripada penyanyi pop kepada hip hop mungkin menimbulkan cabaran dan keraguan dalam kalangan peminatnya.

MINAT hip hop sejak berusia 12 tahun.
MINAT hip hop sejak berusia 12 tahun.

Namun, dia bersedia mengambil risiko demi perkembangan kerjayanya.

"Melalui pertemuan spontan bersama Rebel Asia, kami melakukan 'freestyle' berdasarkan perjalanan dan pengalaman dalam dunia muzik kami.

"Kemudian lagu ini pun muncul dengan sendirinya dan akhirnya kami mengambil keputusan untuk mengeluarkan single di bawah syarikat rakaman Sony Music Malaysia," katanya.

Di sebalik potensi cabaran penerimaan daripada pendengar dengan peralihan genre, Amir yakin Tango akan memenangi hati dan menerima sambutan hangat.

Lagu itu bukan saja kekal relevan dengan trend semasa tetapi juga memenuhi cita rasa pendengar masa kini, terutamanya di platform media sosial seperti TikTok.

"Saya akan mengharungi beberapa cabaran seperti penerimaan pendengar dan peminat terhadap lagu Tango kerana ini genre yang berbeza berbanding lagu-lagu sebelum ini.

"Namun, saya juga sangat yakin dengan lagu ini bakal memenangi hati dan mendapat sambutan daripada peminat kerana karya ini bukan saja mengekalkan relevan dengan trend terkini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 6:30 AM