GOT7 menakluk pentas dengan cukup selesa.
GOT7 menakluk pentas dengan cukup selesa.
Oleh Georgie Joseph


Kehadiran kumpulan K-Pop yang semakin popular GOT7 ke negara ini sempena acara GOT7 1st Fan Meeting in Malaysia 2015 di KL Live, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, meninggalkan impak tersendiri.

Ketika membuat persembahan, kumpulan dianggotai Jackson, Mark, JB, Yugyeom, Youngjae, BamBam dan JR itu mencipta kejutan apabila melakukan tarian zapin di depan lebih 1,500 peminat yang hadir.

Dihoskan sensasi YouTube tempatan Jinnyboy, kumpulan berkenaan dicabar mempersembahkan tarian tradisional tempatan itu selepas Jinnyboy meminta mereka menghafal gerak-geri penari zapin menerusi video.

Yang pasti, mereka jelas teruja diberikan cabaran itu dan belum pun disuruh menari, sesetengah mereka sudah menunjukkan kehebatan masing-masing. Tidak mengecewakan, tarian mereka nampaknya berjaya menghiburkan peminat.

Walaupun sudah berkunjung ke negara ini tahun lalu, tetapi inilah pertama kali GOT7 bertemu peminat mereka di Malaysia.

Tahun lalu, mereka hadir untuk penggambaran klip video di sekitar Selangor dan tanpa sebarang aktiviti dengan peminat.

Apa yang pasti, kehadiran GOT7 kelmarin memang dinanti-nanti peminat di sini. Buktinya setiap nama anggotanya dijerit kuat sebahagian besar penonton.

Paling mendapat sorakan ialah Jackson. Dia yang berasal dari Hong Kong sempat bertutur dalam bahasa Kantonis buat peminatnya.

Bukan setakat itu, pe-nganjur Erama Creative turut membuat kejutan buat Jackson yang kebetulan menyambut hari jadinya baru-baru ini.

Apa yang pasti, setiap anggota GOT7 memiliki aura tersendiri. Bukan sekadar tampan, tetapi mereka cukup bersahaja, ‘sporting’ dan sesekali melakukan aksi-aksi kelakar dengan selamba.

Barangkali disebabkan itulah mereka menjadi kegilaan peminat yang terbukti fanatik.

Tidak ada sesaat pun peminat tidak menjerit dan begitulah keadaannya sepanjang hampir dua jam kumpulan itu berada di pentas.

Demikian juga aura penghibur mereka kerana masing-masing di pentas tidak kelihatan kekok pun dan cukup selesa menari serta menari mempersembahkan lagu-lagu terbaik mereka.

Peminat juga tidak ketinggalan menyanyikan hampir semua lagu mereka yang semestinya menaikkan lagi keghairahan GOT7 menggamatkan pentas dengan aksi terbaik.

Memilih rangkaian lagu yang paling mengangkat nama mereka, GOT7 cukup energetik sewaktu mendendangkan lagu seperti Stop, Stop, Stop; Give Me, Moon Like, Forever Young, A dan Girls, Girls, Girls.

Sebelum menyanyikan lagu ‘encore’ mereka berjudul Bounce, Jackson sempat menyampaikan hajat mewakili yang lain untuk kembali lagi ke sini dan mengadakan konsert pula.

“Terima kasih kepada yang menyambut kami sejak di lapangan terbang lagi sehinggalah pada acara hari ini. Kami berjanji akan kembali dengan konsert besar pula selepas ini di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 1:51 PM