SYAFEEK Ikhwan harap ada peluang rakam lagu tradisional dan irama Malaysia.
SYAFEEK Ikhwan harap ada peluang rakam lagu tradisional dan irama Malaysia.
Norhayati Nordin


MESKIPUN kini muncul dengan lagu Penjara, hasil ciptaan bersama komposer Sirkhan dan Sang Hitam, penyanyi baharu dikenali Syafeek Ikhwan ternyata sudah menimba banyak pengalaman menghiburkan penonton dari negara luar.

Buktinya, pengalaman menarik Syafeek apabila dia mendapat peluang menyanyi di hadapan masyarakat luar dengan memperkenalkan karya lagu-lagu Malaysia.

Menurut Syafeek atau nama sebenarnya Muhammad Syafiq Ikhwan Ghazali, dia sangat meminati muzik tradisional. Malah, katanya dia banyak menyanyikan lagu irama Malaysia ketika membuat persembahan di luar negara.

"Menyanyi adalah aktiviti kesukaan saya dan ketika melanjutkan pengajian di sebuah universiti di Perancis selama empat tahun dahulu, saya aktif membuat persembahan nyanyian.

"Jika ada tawaran menyanyi, saya terima ketana minat. Malah, selain menyanyikan lagu bahasa Inggeris, saya tidak lupa menghiburkan penonton dengan lagu Melayu terutama irama Malaysia. Tak sangka, ramai penonton menyukainya.

"Tujuan saya, apabila menyanyikan lagu Melayu dan irama tradisional itu untuk memperkenalkan seni dan budaya Malaysia kepada masyarakat negara luar. Alhamdulillah, berjaya," katanya.

Syafeek yang memiliki ijazah dalam bidang kejuruteraan berkata dia sentiasa bangga dan teruja menyanyikan karya lagu Malaysia kepada penonton luar negara. Ujarnya, seni dan budaya yang ada di negara ini sangat unik dan wajar diketengahkan kepada masyarakat antarabangsa.

"Sebenarnya, lagu-lagu irama Malaysia kita sangat diminati. Cuma ia perlukan platform yang betul untuk diketengahkan. Bagi saya, jika ada peluang pada masa akan datang berhasrat mahu rakamkan lagu tradisional yang mengangkat seni budaya Melayu.

"Bahkan, saya juga tidak kisah menjalin kerjasama dengan komposer baharu atau lama, asalkan lagu yang dihasilkan itu adalah karya tradisional dan irama Malaysia," katanya.

Jelas Syafeek, dia juga sangat suka pada lagu sentuhan komposer dan penyanyi Hael Husaini. Katanya, karya penyanyi lagu Mimpi itu ada nilai variasi tersendiri. Bagaimanapun, semoga ada peluangnya bekerjasama dengan Hael.

Berbicara lagi mengenai pengalamannya, Syafeek pernah mengalahkan 44 peserta dari seluruh dunia dalam pertandingan I Sing World 2018 di Paris, Perancis menerusi lagu Kau Kekasihku nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Apapun, mengulas lagu Penjara semestinya Syafeek mengharapkan taruhan yang dibuatnya berjaya dan karya itu mendapat perhatian peminat muzik di negara ini. Katanya, lagu Penjara memiliki melodi dan lirik yang indah.

Dilancarkan tiga bulan lalu, video muzik lagu Penjara yang turut mendapat suntikan lirik dalam bahasa Perancis, hingga kini mencatat lebih 103,000 tontonan di YouTube. Termasuk, banyak juga komen positif penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2020 @ 6:17 AM